A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Kaedah online periksa kesihatan

Kaedah online periksa kesihatan

Berita Harian

Khamis, 23/06/2011

Kaedah online periksa kesihatan
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Nazura Ngah dan Hanneeyzah Bariah Baharin

Kementerian bangunkan sistem elak pemohon GDL, PSV palsu dokumen.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem online bagi pemeriksaan kesihatan pemohon Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi mengelak kes pemalsuan dokumen membabitkan pihak ketiga.

Sistem dibangunkan sejak dua tahun lalu kini pada peringkat penelitian Kementerian Pengangkutan yang mendapat garis panduan daripada Kementerian Kesihatan.

Menerusi sistem diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan sejak tahun lalu itu, doktor yang memeriksa pemohon GDL dan PSV akan menyerahkan maklumat kesihatan terus kepada Jabatan Pengangkutan Jalan secara online tanpa melalui orang ketiga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan memandang serius kepentingan pemeriksaan kesihatan bagi pemandu pengangkutan awam demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan kini bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk membangunkan sistem lebih berkesan.

Katanya, doktor yang memalsukan dokumen bukan saja tidak mematuhi etika kedoktoran, malah boleh dikenakan tindakan tegas Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kes yang dilaporkan tidak membabitkan doktor, sebaliknya pihak ketiga sama ada yang bertugas di klinik atau pihak luar.

"Kebanyakan kes memalsukan dokumen dilakukan pemandu sendiri tetapi kita tidak mahu buat tuduhan melulu dan kita akan meneliti kes ini.

"Dulu ada dakwaan seperti ini, apabila kita siasat, kita dapati bukan doktor tetapi pemandu yang memalsukan dokumen," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (NCCR) 2011 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Muka depan Berita Harian semalam melaporkan beberapa klinik swasta dikesan membuat pengesahan kesihatan pemohon GDL dan PSV dengan hanya mengenakan bayaran serendah RM4 tanpa perlu menjalani pemeriksaan doktor.

Perbuatan itu didedahkan beberapa pemohon lesen berkenaan kepada wartawan Berita Harian yang membuat siasatan di beberapa klinik di Kuala Terengganu selepas mendapat maklumat kegiatan itu.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman yang ditemui selepas itu berkata kebanyakan kes yang disiasat membabitkan pemalsuan dokumen oleh pihak ketiga yang menyamar dan menggunakan cop klinik.

"Sistem online dibangunkan itu seperti sistem digunakan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) untuk pemeriksaan kesihatan pekerja asing," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, ketika dihubungi berkata pihaknya memandang serius dakwaan kes itu kerana membabitkan perbuatan salah di sisi undang-undang.

Di Kuala Terengganu, Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Syarifah Azizah Syed Muhd Shidli, berkata pihaknya akan membuat siasatan terperinci berhubung isu itu.

 

  {module berita:news}

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,212,789

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia