A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Kaedah Bantuan Persenyawaan

Kaedah Bantuan Persenyawaan

Pengenalan

Secara umumnya, teknologi ini merujuk kepada prosedur yang dijalankan untuk membantu pasangan  bagi mendapatkan zuriat di mana persenyawaan berlaku di luar tubuh badan iaitu di makmal dan kemudiannya dipindahkan semula ke dalam rahim. Ia biasanya dijalankan ke atas pasangan yang mengalami masalah kesuburan akibat penyakit pelvis wanita seperti endometriosis yang teruk, masalah pada tiub peranakan (Tiub Fallopio) atau masalah sperma lelaki yang teruk mahupun disebabkan kegagalan rawatan kesuburan yang lain seperti kaedah permanian berhadas (IUI).

Sejarah

Kaedah ini mula diperkenalkan seawal 50 tahun yang lalu namun bayi yang pertama berjaya dilahirkan melalui prosedur ini adalah pada tahun 1978. Sejak itu terdapat kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam teknologi ini.  

Prosedur

Pada masa sekarang terdapat dua kaedah yang digunakan dalam teknologi ini iaitu persenyawaan luar rahim (in-vitro) / in-vitro fertilization (IVF) dan suntikan sperma intra-sitoplasmik / intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI). Di dalam kedua-dua kaedah ini, wanita akan menjalani rangsangan ovari bagi membentuk folikel telur yang banyak di dalam ovari. Ia dilakukan dengan pemberian suntikan dan perkembangan folikel telur akan dipantau melalui imbasan ultrasound. Suntikan diberikan di bawah kulit dan ujian darah akan dilakukan pada hari –hari yang tertentu bagi memantau paras hormon. Sejurus folikel telur mencapai tahap kematangan, satu pembedahan kecil akan dilakukan di mana cecair folikel tersebut akan disedut keluar dari ovari menerusi faraj dengan bantuan imbasan ultrasound. Prosedur ini biasanya dilakukan di dalam Dewan Bedah yang mempunyai kemudahan makmal ART. Telur atau oocyte dari cecair folikel akan dikenalpasti dan disimpan di dalam inkubator.

Sperma suami kemudiannya akan diproses dan sperma yang baik akan dikumpulkan. Dalam kaedah persenyawaan in-vitro, setiap telur yang dikeluarkan akan diletakkan bersama sejumlah sperma bagi membenarkan persenyawaan yang semulajadi berlaku. Sementara itu, menerusi kaedah suntikan sperma (ICSI), telur akan dibersihkan dan disuntik dengan sperma yang dianggap normal dan hidup. Kaedah suntikan sperma ini memerlukan peralatan yang lebih canggih dan kepakaran.  Ini adalah sangat penting terutamanya dalam kes-kes di mana sperma yang diperolehi adalah terlalu sedikit. Biasanya, kadar persenyawaan adalah lebih tinggi dengan kaedah ICSI tetapi pemilihan secara semulajadi  tidak berlaku di dalam proses ini.

Embrio kemudiannya akan dinilai setiap hari bagi menentukan tahap perkembangan dan digredkan mengikut rupa bentuknya. Secara amnya, satu ke tiga embrio akan dipindahkan semula ke dalam rahim selepas dua ke tiga hari. Prosedur pemindahan embrio adalah hampir serupa dengan prosedur kaedah permanian berhadas (IUI) di mana embrio akan diletakkan di dalam satu kateter/tiub yang halus dan ditempatkan ke dalam rahim menggunakan bantuan imbasan ultrasound. Embrio yang berlebihan boleh dibekukan untuk kegunaan di masa akan datang. Wanita biasanya akan dibekalkan dengan ubatan untuk menggalakkan kehamilan berlaku dan ujian kehamilan akan dijalankan selepas 2 minggu.

Pengambilan Telur  
Gambarajah 1: Pengambilan telur        Gambarajah 2: Pemindahan Embrio

 

Perkembangan teknologi

Terdapat perkembangan terbaru dalam teknologi ini khususnya dalam aspek pembekuan embrio, menggalakkan perkembangan embrio sehingga ke peringkat hari ke 5 perkembangan atau dikenali sebagai blastosis and ujian genetik.

Kadar keberkesanan

Kadar keberkesanan rawatan secara keseluruhannya adalah berbeza-beza bergantung khususnya pada umur wanita and faktor – faktor penyumbang yang lain. Amnya, satu pertiga yang menjalani kaedah ini akan hamil. Kadar akan menurun dengan peningkatan umur dan kebanyakan pusat rawatan tidak menawarkan perkhidmatan ini kepada wanita yang berusia lebih dari 42 tahun. Faktor lain termasuklah masalah sperma lelaki yang teruk di mana kemungkinan terdapat masalah atau keabnormalan genetik pada pasangan lelaki atau pada sperma itu sendiri. Masalah kegemukan atau obesiti juga boleh memudaratkan hasil persenyawaan dari kaedah ini.

Risiko

Terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku termasuklah sindrom hiperstimulasi ovari, kehamilan kembar yang berisiko dan lain – lain masalah semasa kehamilan. Di dalam masalah hiperstimulasi ovari, berlaku pembentukan folikel telur yang terlalu banyak dan boleh mengakibatkan ovari membesar serta pengumpulan cecair di ruang abdomen. Dalam keadaan yang teruk, cecair yang banyak ini boleh memasuki ruang paru-paru dan menyebabkan kesukaran bernafas di mana bantuan pernafasan mungkin diperlukan. Terdapat risiko pembentukan beku darah apabila cecair keluar dari sistem pengaliran darah ke dalam ruangan abdomen.  Ini merupakan sebab mengapa ART memerlukan kaunseling secara mendalam, pemeriksaan secara menyeluruh dan pemantauan yang berterusan.  

 

Semakan Akhir : 20 Januari 2014
Penulis : Dr. Kannappan a/l Palaniappan

 

Artikel Berkaitan

I

Tiada Ilustrasi

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,315,167

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia