Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Kaedah Angkat Bibir

Kaedah Angkat Bibir

Pengenalan

Kesihatan mulut yang baik adalah penting untuk tumbesaran dan kesihatan menyeluruh kanak-kanak. Gigi desidus (susu) adalah penting bagi anak yang sedang membesar. Selain daripada mengunyah makanan dengan betul dan membantu tumbesaran dan pembentukan tulang rahang dengan baik, gigi susu menyediakan ruang untuk pertumbuhan gigi kekal. Gigi susu turut penting untuk pembentukan percakapan dan jika dijaga dengan baik ia akan berfungsi di dalam mulut anak tersebut hingga mencapai usia 12-13 tahun. Kanak-kanak yang mempunyai set gigi yang baik menyumbang kepada keyakinan diri mereka. Gigi susu yang pertama akan tumbuh apabila bayi berusia dalam lingkungan 6 bulan dan apabila mencecah 1 tahun, anak tersebut mungkin telah mempunyai 8 gigi di dalam mulut.

Karies di awal usia kanak-kanak, Early Childhood Caries (ECC) boleh menjejaskan gigi anak anda sebaik sahaja gigi mula tumbuh dalam mulut. Pereputan gigi, rasa sakit, jangkitan dan kehilangan awal gigi susu boleh terjadi jika dibiarkan begitu sahaja tanpa menerima rawatan. Tanda-tanda awal gigi berlubang selalunya boleh dikenal pasti di dalam mulut. Selalunya, gigi hadapan rahang atas adalah gigi yang pertama akan terlibat. Gigi-gigi ini boleh diperiksa dengan mudah dengan kaedah “angkat bibir”. Proses pereputan gigi boleh dihentikan atau dikembalikan ke keadaan gigi asal jika ia dikesan pada peringkat awal. Maka, ibu bapa perlu menggunakan kaedah mudah secara ‘angkat bibir’ untuk memeriksa mulut anak mereka. Ibu bapa juga perlu mengambil tahu dan memastikan gigi anak mereka dalam keadaan yang sihat sebaik sahaja gigi tumbuh. Kaedah angkat bibir perlu kerap dilakukan bagi melihat sebarang perubahan keadaan gigi.

Bagaimana melakukannya?

  • Pastikan tangan anda dalam keadaan bersih.
  • Dua orang dewasa duduk menghadap lutut ke lutut antara satu sama lain. Posisikan atau pangku anak kecil di riba atau di atas paha secara terlentang. Dengan berhati-hati, pastikan kedudukan anak disokong dengan meletakkannya pada perut, dan seorang lagi bantu memegang anak tersebut (Gambar 1).


(Gambar 1- Posisi lutut ke lutut)

  • Atau letakkan anak di atas lantai sambil memandang anda. Kanak-kanak yang lebih besar boleh diperiksa sambil duduk rapat secara berhadapan dengan anda (Gambar 2).


(Gambar 2- Kanak-kanak yang lebih besar boleh diperiksa sambil duduk rapat dan menghadap anda)

  • Angkat bibir atas secara berhati-hati dan periksa empat gigi atas di permukaan hadapan dan belakang. Ia adalah kawasan gigi yang kerap berlubang.
  • Periksa gigi yang baru tumbuh dengan kaedah yang sama.

Apa yang perlu diperiksa?

  • Perhatikan bilangan gigi yang telah tumbuh di dalam mulut.
  • Periksa keadaan gigi tersebut sama ada ia bersih atau tidak. Perhatikan jika ada plak dan debri (kotoran) dalam mulut. Pereputan boleh bermula di bawah plak yang tidak dibersihkan secara berkala.
  • Periksa jika ada garisan putih kekapuran atau bintik-bintik sepanjang gigi bersebelahan gusi. Ia mungkin merupakan tanda awal pereputan gigi (Gambar 3).


Gambar 3- Bintik-bintik putih kekapuran atau garisan-garisan di sepanjang gigi bersebelahan gusi)

  • Perhatikan juga bintik-bintik berwarna coklat dan lubang atau kaviti yang merupakan tanda-tanda pereputan gigi yang teruk (Gambar 4 dan Gambar 5).


(Gambar 4- Bintik-bintik coklat/tompok-tompok atau lubang/kaviti adalah tanda-tanda pereputan gigi yang teruk)


(Gambar 5- Karies di awal usia kanak-kanak (ECC) yang teruk pada seorang anak berusia 3 tahun)

  • Jika anda mendapati sebarang bintik-bintik atau lubang-lubang, sila bawa anak anda ke klinik pergigian secepat mungkin.

Pastikan gigi anak anda sihat. Jangan lupa untuk:

  • Angkat bibir sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk memeriksa gigi hadapan anak tersebut.
  • Periksa tanda-tanda awal pereputan gigi.
  • Jangan sesekali menidurkan bayi dengan menggunakan botol susu kecuali jika ia hanya mengandungi air kosong.
  • Hentikan penggunaan botol susu pada usia 12-14 bulan.
  • Bersihkan gigi anak anda setiap hari.
  • Bawa anak anda untuk pemeriksaan gigi apabila mencapai usia satu tahun.
Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Chew Yoke Yuen
Penyemak : Dr. Faizah bt. Kamaruddin