Home > Ubat & Anda > Lain-Lain > Jenis-jenis dosej ubat

Jenis-jenis dosej ubat

Pengenalan

Ubat dimasukkan ke dalam badan manusia melalui pelbagai jenis laluan bergantung kepada kaedah penyerapannnya. Ubat sampai ke tempat sasaran untuk bertindak melalui jenis-jenis dosej ubat yang tertentu. Berikut adalah jenis-jenis dosej ubat yang biasa digunakan:

  1. Tablet

    Tablet adalah sejenis persediaan ubat berupa pepejal untuk kegunaan dalam badan. Ia mengandungi satu atau lebih jenis ubat yang dimampatkan bersama bahan lain seperti agen pengawet, perisa serta pengikat. Ia terdiri daripada daripada pelbagai bentuk dan warna. Berikut adalah jenis-jenis tablet:

    • Tablet eferversant

      Tablet ini akan larut apabila bersentuhan dengan air disebabkan pembebasan gas. Gas dihasilkan daripada tindakan bikarbonat dengan asid sitrik atau tartarik bagi memudahkan proses perlarutan ubat. Contohnya: tablet vitamin C.

    • Tablet kunyah

      Tablet ini perlu dikunyah untuk menghancurkannya kepada ketulan yang lebih kecil. Proses ini akan meningkatkan luas permukaan yang terdedah untuk proses pelarutan. Oleh itu, ubat yang dibebaskan akan diserap dengan lebih cepat. Kebiasaannya, tablet ini diberi kepada pesakit yang sukar untuk menelan seperti orang tua dan kanak-kanak selain digunakan jika dos yang hendak diberikan terlalu besar. Contohnya: tablet kunyah multivitamin.

    • Tablet sublingual

      Tablet yang direka bentuk untuk diletakkan di bawah lidah supaya diserap terus ke dalam peredaran darah melalui mukosa. Kaedah ini menghasilkan kesan terapeutik yang lebih cepat berbanding pemberian secara oral. Contohnya: tablet gliceryl trinitrate.

    • Tablet salut enterik

      Sejenis tablet yang mempunyai lapisan khusus yang tidak larut dalam perut tetapi akan larut dalam usus. Ia digunakan untuk mengelak ubat daripada didegradasi oleh jus gastrik dalam perut. Selain itu, ubat ini akan diserap di dalam usus.

  2. Kapsul

    Sejenis persediaan dalam sarung kecil yang boleh dimakan dan biasanya diperbuat daripada gelatin yang boleh diisi dengan ubat untuk menghasilkan satu unit dos bagi kegunaan oral.

  3. Serbuk

    Serbuk ubat untuk kegunaan oral biasanya dibancuh dalam air dan kemudiannya diminum oleh pesakit untuk tindakan terapeutik. Selalunya, ia dibekalkan dalam paket kecil. Contohnya: Garam rehidrasi oral.

  4. Lozenges

    Lozenges adalah persediaan pepejal berubat yang perlu dihisapdalam mulut sehingga larut. Biasanya, ia digunakan untuk melegakan batuk dan sakit tekak.

  5. Ubat minum

    Ubat minum adalah persediaan dalam bentuk cecair yang mengandungi bahan aktif ubat yang dilarutkan ke dalam medium pelarut yang sesuai dan diminum mengikut dos yang telah ditetapkan. Contohnya: ubat batuk dan ubat demam (sirap paracetamol)

  6. Implan

    Implan merupakan alat pemberian ubat yang ditanam di dalam badan (biasanya di bawah kulit) untuk memasukkan ubat ke dalam tubuh secara perlahan-lahan dan berterusan dalam tempoh masa yang tertentu. Alat ini biasanya digunakan untuk pemberian hormon atau kontraseptif. Contohnya: Implanom.

  7. Larutan pembersih

    Ia adalah larutan steril dan bebas kuman yang kebiasaannya digunakan untuk membersihkan rongga badan, bahagian tubuh yang dibedah, luka atau sistem urogenital. Contohnya: larutan salin.

  8. Losen

    Losen bersifat seperti cecair dan licin. Ia tidak boleh diambil secara oral dan hanya digunakan untuk kegunaan luar sahaja iaitu disapu ke atas permukaan kulit. Contohnya: losen penghalang sinaran matahari.

  9. Ubat kumur

    Ia digunakan pesakit untuk berkumur bagi menjaga kebersihan dan merawat jangkitan mulut. Contohnya: ubat kumur chlorhexidine.

  10. Ubat titis

    Ubat titis merupakan cecair yang mengandungi ubat tertentu dan dititiskan ke dalam rongga badan seperti mata, lubang hidung dan telinga untuk memberikan kesan terapeutik.

  11. Salap

    Salap adalah persediaan separa pepejal yang berasaskan minyak dan mengandungi ubat tertentu. Ia digunakan ke atas anggota luaran seperti permukaan kulit, rektum mahupun mata bagi melegakan kerengsaan. Salap sukar dihilangkan dengan air, peluh dan rembesan badan yang lain serta tahan lama di atas permukaan kulit. Justeru, salap turut digunakan sebagai pelembab serta bertindak sebagai lapisan pelindung kepada kulit.

  12. Krim

    Krim adalah bentuk dos separa pepejal yang mengandungi satu atau lebih jenis ubat untuk kegunaan luar. Contohnya: krim gatal.

  13. Suntikan

    Suntikan adalah larutan steril yang mengandungi ubat yang dimasukkan ke dalam saluran darah, tisu dan organ tubuh menggunakan jarum dan picagari. Jenis suntikan dikategorikan mengikut laluan masuk ke dalam badan, contohnya:

    • Suntikan intraotot

      Kaedah penyampaian ubat secara setempat ataupun sistemik melalui suntikan ke dalam otot khususnya otot deltoid (bahu), otot gluteus maksimus (pinggul) dan otot kuadrisep femoris ( hadapan peha).

    • Suntikan subkutaneus

      Kaedah penyampaian ubat ke peredaran sistemik secara suntikan ke bahagian bawah kulit yang berlemak antara permukaan kulit dan otot. Cara ini biasanya digunakan untuk pemberian insulin, vaksin, opiat dan hormon.

    • Suntikan intravena

      Kaedah penyampaian ubat ke peredaran sistemik secara suntikan ke dalam vena (salur darah). Cara ini biasanya digunakan untuk pemberian infusi larutan salin dan emulsi.

  14. Supositori

    Sejenis dosej ubat yang dimasukkan ke dalam badan melalui dubur. Jenis dosej ini dibuat daripada bahan yang boleh mencair pada suhu badan.Ia digunakan terhadap pesakit yang sukar mengambil ubat secara oral seperti bayi dan orang tua. Contohnya: supositori paracetamol.

  15. Tampalan transdermal

    Sejenis formulasi ubat yang dilekatkan pada permukaan kulit supaya ubat tersebut terserap ke dalam darah untuk menghasilkan kesan setempat. Contohnya: tampalan nikotin.

  16. Inhaler (ubat sedut) Inhalasi

    Inhaler (ubat sedut) biasanya terdiri daripada dua jenis iaitu aerosol ataupun serbuk.

    Istilah aerosol merujuk kepada semburan yang terhasil daripada sesuatu sistem / alat yang bertekanan tinggi. Semburan ini mengandungi ubat tertentu yang disembur ke dalam mulut.

    Terdapat juga serbuk ubat yang dibekalkan dalam kapsul dan pesakit akan memasukkan kapsul tersebut ke dalam alat sedut khas yang berupaya memecah kapsul tersebut supaya pesakit dapat menyedut ubat ke dalam saluran pernafasan melalui mulut.

  17. Pesari

    Pesari biasanya berbentuk seperti tablet bujur yang dimasukkan ke dalam faraj menggunakan alat khas untuk merawat jangkitan pada vagina Bentuk dos ini biasanya diperbuat daripada campuran bes gliserol dan gelatin.

  18. Enema

    Cecair yang dimasukkan ke dalam dubur untuk tujuan membersihkan usus besar ataupun untuk memudahkan buang air besar.

Semakan Akhir : 15 November 2013
Penulis: : Nurhazwani bt. Mohd Noor

 

(Visited 1,606 times, 1 visits today)