A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Jangkitan Selaput Otak

Apa itu meningitis?

  • Meningitis adalah jangkitan selaput otak (meninges) yang disebabkan oleh kuman (bakteria, virus, tuberculous dan lain-lain). Bakteria yang paling kerap menyebabkan meningitis di kalangan kanak-kanak ialah dari spesis Haemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitides. Lebih daripada 90% kes melibatkan kanak-kanak kurang daripada 5 tahun dan 50% adalah di kalangan bayi kurang daripada 6 bulan.
alt

Bagaimanakah Meningitis menjangkiti kanak-kanak?

  • Meningitis biasanya terjadi kerana seseorang itu mendapat jangkitan kuman di dalam darah. Kuman atau bakteria boleh memasuki darah seseorang melalui saluran pernafasan. Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak yang mendapat jangkitan saluran pernafasan akan mendapat jangkitan darah. Sekiranya terdapat jangkitan darah sekalipun, jangkitan otak tidak semestinya berlaku kerana terdapat perlindungan dari sempadan darah-otak (blood-brain barrier).
  • Kadang-kala meningitis juga boleh berlalu disebabkan kuman yang merebak dari jangkitan telinga (otitis media) atau sinus (sinusitis) yang teruk.
  • Seseorang juga boleh mendapat meningitis disebabkan kecederaan atau pembedahan pada bahagian muka atau kepala.

Apakah tanda-tanda dan gejala?

Tanda-tanda meningitis kanak-kanak adalah bergantung kepada umur pesakit, jenis bakteria, sama ada antibiotik telah dimulakan dan jangka masa seseorang kanak-kanak itu telah dijangkit.

Gejala-gejala awal:

  • Demam tinggi.
  • Rasa kurang selesa, merengek.
  • Kurang bermaya, kurang menyusu.
  • Sakit kepala dan bermuntah-muntah.
  • Ruam atau bintik-bintik merah yang merebak dengan cepat ke seluruh badan (jika dijangkiti bakteria Neisseria meningitides).

Gegala-gejala lewat:

  • Ubun-ubun berbonjol (Bulging fontanelle).
  • Kekejangan leher.
  • Sawan.
  • Kurang tahap kesedaran diri dan kurang bertindak balas.
  • Koma.

Bagaimana meningitis boleh dipastikan?

Jangkitan meningitis hanya boleh dipastikan dengan sepenuhnya melalui pemeriksaan cecair tulang belakang (Lihat topic ‘Lumbar Puncture’). Pemeriksaan ini juga penting untuk memastikan jenis kuman yang dijangkiti supaya pesakit boleh dirawat dengan antibiotik yang betul.

Apakah komplikasi meningitis?

Meningitis adalah pemyakit yang amat serius. Ia boleh mendatangkan maut dalam 10% kes dan 30% lagi boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang. Rawatan awal dengan antibiotik yang tepat dan jangka waktu yang cukup adalah penting untuk mengelak atau mengurangkan komplikasi-komplikasinya.

Komplikasi jangka panjang yang boleh berlaku termasuk:

  • Nanah di dalam kepala atau otak (subdural effusion/brain abscess).
  • Hydrocephalus (pengaliran cecair serebrospinal tersekat dan menyebabkan kepala membesar dengan mendadak).
    • Dalam dua keadaan di atas, pesakit mungkin perlu menjalani rawatan pembedahan.
  • Sawan.
  • Lewat atau kemerosotan perkembangan.
  • Kurang upaya pendengaran/pertuturan.
  • Kurang upaya penglihatan.
  • Lumpuh/Cerebral palsi.

Bagaimana meningitis boleh dirawat?

  • Lazimnya, antibiotik yang sesuai akan diberi selama satu hingga dua minggu bergantung kepada jenis bakteria yang dijangkiti dan respon pesakit kepada rawatan yang diberi.
  • Pesakit yang tidak sedar diri atau mempunyai sawan yang susah dikawal lazimnya memerlukan rawatan di unit rawatan rapi dengan pertolongan alat pernafasan, rawatan khusus untuk mengawal sawan, mengurangkan bengkak dan tekanan dalam otak dan lain-lain rawatan sokongan yang perlu.

Bagaimana meningitis boleh dicegah?

  • Sesetengah jenis meningitis bakteria boleh dicegah melalui suntikan pelalian kanak-kanak. Minta nasihat doktor.
  • Untuk mengelakkan jangkitan meningitis daripada merebak kepada ahli keluarga terutamanya kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun, antibiotik yang tertentu akan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi terutamanya jika kanak-kanak itu dijangkiti oleh bakteria Haemophilus influenzae atau Neisseria meningitides.
Semakan akhir : 27 April 2012
Penulis : Dr. Khoo Teik Beng
Penyemak : Dr. Nor Azni b. Yahaya

Artikel Berkaitan

Epilepsy

Pergerakan aneh, pengsan dan sawan Sawan atau tarik adalah rangsangan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,875

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia