A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Paru-paru
  6. /
  7. Jangkitan Kroup dikalangan Kanak-kanak

Jangkitan Kroup dikalangan Kanak-kanak

Jangkitan yang kerap dialami oleh kanak-kanak adalah jangkitan saluran pernafasan. Dianggarkan lebih kurang 15% jangkitan saluran pernafasan adalah disebabkan jangkitan kroup (croup). Ia juga dikenali sebagai akut laryngotrakeobronkitis. Seperti digambarkan oleh namanya, ia adalah jangkitan di saluran larink, trakea dan bronkus. (Rajah 1,2)


Rajah 1: Ilustrasi kedudukan anatomi jangkitan kroup


Rajah 2 : Ilustrasi saluran pernafasan kanak-kanak

Walaupun jangkitan ini berlaku di kalangan kanak-kanak berumur enam bulan hingga dua belas tahun, ia lebih kerap menyerang kanak-kanak yang berusia muda terutama sekitar dua tahun.

Insiden tahunan untuk kanak-kanak berumur kurang enam tahun adalah sehingga enam kes setiap seratus kanak-kanak. Ia juga adalah penyebab utama masalah penyempitan saluran pernafasan akut. Nisbah kanak-kanak lelaki kepada perempuan yang dijangkiti adalah 1.5 kepada 1.

Gejala dan Tanda Penyakit

Pada 12-72 jam pertama jangkitan, kanak-kanak akan mengalami demam, selesema dan sedikit batuk. Ini akan diikuti oleh pertukaran suara dan tangisan menjadi serak dan pernafasan akan mula mengeluarkan bunyi menandakan saluran pernafasan mula mengecut.

Tanda-tanda lain adalah seperti kesukaran bernafas atau bernafas dengan laju. Kanak-kanak juga akan menjadi kurang aktif dan pemakanan dan minuman mereka boleh terganggu.

Kes-kes yang lebih serius yang menandakan penyempitan saluran pernafasan yang lebih kritikal akan mengalami lebih kesukaran pernafasan dan warna bibir atau jejari menjadi biru. Ini menandakan berlaku kekurangan oksigen di dalam badan.

Kebiasaannya, pesakit akan pulih dalam tempoh masa seminggu.

Kuman Penyebab

Kebiasaannya adalah jangkitan disebabkan oleh virus seperti Parainfluenza, Influenza, Measles dan RSV.

Komplikasi

Penyempitan saluran pernafasan yang kritikal akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam badan dan mengganggu organ-organ lain seperti otak, jantung dan lain-lain. 15% pesakit mengalami komplikasi jangkitan ke bahagian lain seperti telinga (Otitis), paru-paru (pneumonia) dan dehidrasi.

Jangkitan kedua oleh kuman bakteria juga boleh berlaku.

Rawatan

Prinsip rawatan adalah memastikan pesakit terbabit mengalami hidrasi yang baik dan tiada masalah kekurangan oksigen.

Rawatan ubatan yang boleh diberikan untuk mengurangkan penyempitan saluran pernafasan adalah steroid dan adrenalin.

Rawatan antibiotik tidak diperlukan kecuali kakak-kanak terbabit mempunyai tanda jangkitan bakteria. Kes-kes yang sederhana atau sangat teruk perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan penyakit.

Pencegahan

Prinsip asas adalah penjagaan kebersihan dan nutrisi yang baik. Imunisasi seperti Influenza boleh mengurangkan risiko jangkitan.

Mengenal tanda-tanda awal jangkitan dan mendapatkan rawatan awal adalah penting untuk mencegah masalah kekurangan oksigen yang serius.

Semakan akhir : 19 Jun 2014
Penterjemah : Dr. Asiah bt. Kassim
Akreditor : Dr. Norzila bt. Md. Zainuddin
Penyemak : Dr. Irene Cheah Guat Sim

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,220,249

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia