A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Interaksi Ubat dan Makanan

Interaksi Ubat dan Makanan

Pendahuluan

Anda yakin bahawa anda tidak pernah tertinggal atau terlupa mengambil ubat, namun ubat masih tidak berkesan atas sebab yang tidak diketahui. Apabila keadaan ini berlaku, anda mula terfikir faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan rawatan dan sebagai permulaan, interaksi ubat dan makanan seharusnya terlintas di fikiran anda.

alt

Ia boleh berlaku apabila makanan yang dimakan memberi kesan kepada bahan dalam ubat yang sedang diambil, menyebabkan ubat tersebut tidak bertindak seperti mana yang sepatutnya. Kepentingan interaksi antara ubat dengan ubat sering ditekankan kepada profesional kesihatan dan pesakit. Walau bagaimanapun, kurang perhatian diberikan kepada interaksi ubat dan makanan meskipun ia mampu menjejaskan kesihatan atau mengancam nyawa individu.

The significSelain itu, kebanyakan individu di seluruh dunia termasuklah warga Malaysia mempunyai kepercayaan bahawa herba adalah tumbuhan yang tidak berbahaya tanpa mengetahui bahawa terdapat sesetengah ubat-ubatan yang diperolehi daripada tumbuhan seperti morfin, atropine dan juga ubat kemoterapi.

Oleh sebab kepercayaan ini serta kebimbangan untuk mengakui amalan mereka kepada profesional kesihatan, pesakit lazimnya tidak memaklumkan sejarah pengambilan herba dengan ubat-ubatan yang diambil.

Jenis Interaksi Ubat dan Makanan

Interkasi ubat dan makanan adalah saling tindak balas yang terjadi apabila ubat diambil bersama-sama sesetengah jenis makanan. Ia boleh berlaku apabila makanan yang dimakan memberi kesan kepada bahan dalam ubat yang sedang diambil, menyebabkan ubat tersebut tidak bertindak seperti mana yang sepatutnya. Interaksi ubat dan makanan boleh:

  • Menghalang tindakan ubat yang sepatutnya
  • Meningkatkan atau mengurangkan keberkesanan ubat
  • Menyebabkan kesan sampingan

Terdapat dua kategori interaksi makanan iaitu interaksi nutrien dan ubat serta interaksi herba dan ubat.

Interaksi nutrient dan ubat berlaku apabila makanan yang dimakan memberi kesan terhadap ubat. Faktor-faktor seperti masa pengambilan ubat dan jenis makanan yang dimakan perlu ditekankan untuk mengelakkan kesan yang memudaratkan. Antara jenis interaksi ubat dengan makanan yang lazim berlaku adalah dengan alkohol, makanan yang mengandungi tyramine (contohnya tapai, coklat, keju) dan minuman berkafein (Rujuk Jadual 1).

JADUAL 1 : INTERAKSI UBAT DAN MAKANAN

PENYAKIT
KUMPULAN UBAT
INTERAKSI MAKANAN
CONTOH UBAT & (NAMA JENAMA)
ALERGI Antihistamin Ambil tanpa atau dengan makanan.
‘Bioavailability’(tempoh masa ubat bertindak) berkurangan dengan jus epal, oren dan limau gedang.
  • Diphenhydramine
    (BENADRYL)
  • Loratadine
    (CLARITIN)
  • Cetrizine
    (ZYRTEC)
ARTHRITIS/KESAKITAN Analgesik Ambil semasa perut kosong untuk kelegaan pantas.
  • Paracetamol
    (PANADOL)
ARTHRITIS/KESAKITAN Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDs) Ambil dengan makanan atau susu untuk mengurangkan ketidakselesaan perut.
  • Aspirin
  • Ibuprofen
    (Brufen)
ARTHRITIS/KESAKITAN Kortikosteroid Ambil dengan makanan atau susu untuk mengurangkan ketidakselesaan perut.
  • Prednisolone
ASMA Bronchodilators Makanan yang tinggi dengan kandungan lemak boleh meningkatkan jumlah theophylline dalam badan, manakala makanan yang kaya dengan karbohidrat akan mengurangkannya. Elakkan makan / minum makanan / minuman berkafein dalam jumlah yang banyak.
  • Theophylline
  • Salbutamol
PENYAKIT KARDIOVASKULAR Diuretik Ambil semasa perut kosong atau bersama-sama susu untuk mengurangkan ketidakselesaan perut.
  • Frusemide
  • Bumetanide
  • Hydrochlorothiazide
PENYAKIT KARDIOVASKULAR Beta Blockers Ambil bersama-sama makanan untuk meningkatkan bioavailability.
  • Atenolol
  • Metoprolol
  • Propranolol
PENYAKIT KARDIOVASKULAR Nitrates Ambil semasa perut kosong.
  • IsosorbideDinitrate
    (ISORDIL)
  • Nitroglycerin
PENYAKIT KARDIOVASKULAR Angiotensin Coverting Enzymes Inhibitors(ACEI) Ambil semasa perut kosong.Pastikan pengambilan air yang mencukupi. Elakkan makanan bergaram.
  • Captopril
  • Perindopril
  • Lisinopril
  • Enalapril
PENYAKIT KARDIOVASKULAR MNG-CoA Reductase inhibitors (Statins) Elakkan limau gedang / buah sitrus. Elakkan makanan tinggi serat. Seeloknya diambil sebelum waktu tidur.
  • Atorvastatin
    (LIPITOR)
  • Simvastatin
    (ZOCOR)
PENYAKIT KARDIOVASKULAR Antipenggumpalan Hadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan vitamin K seperti brokoli, sayur hijau, kobis bunga kerana ia menghasilkan bahan penggumpalan darah yang boleh mengurangkan keberkesanan ubat. Vitamin E (400 IU atau lebih) mungkin memanjangkan tempoh penggumpalan darah hingga boleh menyebabkan pendarahan.
  • Warfarin
JANGKITAN Penicillin/Quinolones/Cephalosporins Ambil ketika perut kosong (1 jam sebelum makan atau 2 jam selepas makan). Sekiranya ia mengganggu perut, ambil dengan makanan, tetapi bukan dengan produk tenusu atau yang mengandungi kalsium.
Quinolone: Elakkan kafein kerana ia boleh menyebabkan lebih teruja serta kebimbangan.
  • Penicillin:Penicillin V,
    Amoxicillin
  • Quinolones:Ciprofloxacin,
    Ofloxacin
  • Cephalo: Cephalexin,
    Cefuroxime
JANGKITAN Macrolides Boleh diambil bersama-sama makanan untuk mengurangkan kesan gastrointestinal.
Elakkan makanan sitrus, minuman berkarbonat dan jus sitrus.
  • Azithromycin
  • Erythromycin
  • Clathromycin
JANGKITAN Sulfonamides Ambil bersama-sama makanan dan sekurang-kurangnya 8 auns air.
  • Sulfamethoxazole/
    Trimethoprim
    (BACTRIM)
JANGKITAN Tetracycline Ambil bersama-sama makanan dan sekurang-kurangnya 8 auns air. Elakkan mengambilnya dengan produk tenusu, antacid, suplemen vitamin yang mengandungi zat besi kerana ia boleh mengganggu kesan ubat.
  • Tetracycline
  • Doxycycline
JANGKITAN Nitromidazole Boleh diambil bersama-sama makanan untuk mengurangkan kesan gastrointestinal.
  • Metronidazole
    (FLAGYL)
JANGKITAN Antikulat Diambil bersama-sama makanan untuk meningkatkan kadar serapan ubat.
Jangan ambil itraconazole dengan buah sitrus.
  • Fluconazole
  • Ketoconazole
  • Itraconazole
MOOD DISORDER Monoamine Oxidase (MAO) Inhibitors Jangan ambil makanan atau minuman beralkohol yang mengandungi tiramina (tyramine),(contohnya, keju, tapai, kicap, tofu, pisang, kismis, kafein) apabila mengambil ubat ini dan dua minggu selepas berhenti mengambil ubat ini.
  • Selegiline
MOOD DISORDER Anti-Anxiety Boleh diambil bersama-sama makanan untuk mengurangkan kesan gastrointestinal. Pengambilan kafein mungkin boleh menyebabkan lebih teruja dan mengurangkan kesan anti-keresahan ubat tersebut.
  • Alprazolam
  • Diazepam
MOOD DISORDER Antidepresi Diambil bersama-sama atau tanpa makanan.
  • Sertraline
    (ZOLOFT)
  • Fluoxetine
    (PROZAC)
SAKIT PERUT Histamine Blockers Diambil bersama-sama atau tanpa makanan. Pengambilan kafein mungkin boleh mengganggu perut.
  • Cimetidine
    (TAGAMET)
  • Ranitidine
    (ZANTAC)

Interaksi herba dan ubat berlaku apabila pengguna mengambil herba tersebut dan menyebabkan kesan yang tidak diingini, meliputi daripada reaksi alergi sehingga kepada kesan toksik pada sistem kardiovaskular, hepatik, renal, neurologikal dan dermatologikal. Kecenderungan untuk mengambil herba pada dos yang tinggi atau dalam tempoh yang berpanjangan semasa pengambilan ubat (dalam jangka masa yang lama) boleh menyebabkan kemudaratan. Contoh sediaan herba yang boleh menyebabkan interaksi dengan ubat adalah ginseng, kunyit, bawang putih, gingko biloba, halia, dong quai, neem, tulasi dan banyak lagi (Rujuk Jadual 2).

JADUAL 2: INTERAKSI UBAT DAN HERBA

Herba / Suplemen
Ubat
Interaksi /
Kesan Yang Mungkin Berlaku
Ginseng

meransang kelenjar adrenal yang akan meningkatkan tenaga dan mengurangkan kandungan gula dalam darah

Warfarin Boleh mengurangkan keberkesanan ubat
Kortikosteroids Boleh memperkuat dan meningkatkan kesan ubat
Antihypertensive Boleh meningkatkan tekanan darah
MAOIs Boleh meningkatkan insomnia, sakit kepala, dan menggeletar.
Gingko Biloba

untuk rawatan demensia dan menguatkan daya ingatan

Aspirin Pendarahan
Warfarin Pendarahan
Thiazide Darah tinggi
Bawang putih

mengurangkan tekanan darah dan kolesterol

Warfarin Meningkatkan keberkesanan warfarin sehingga boleh menyebabkan pendarahan.
Halia

untuk loya dan kejang otot

Warfarin Meningkatkan keberkesanan warfarin sehingga boleh menyebabkan pendarahan.
Dong Quai

untuk mengawal symptom menopaus

Warfarin Meningkatkan keberkesanan warfarin sehingga boleh menyebabkan pendarahan.
St. John’s wort

bahan anti-kemurungan semula jadi untuk depresi

Amitriptyline Menjadikan kemurungan semakin bertambah teruk kerana ia mengurangkan kepekatan ubat dalam darah.
Digoxin Mengurangkan kepekatan digoxin lalu menyebabkan berkurangnya keberkesanan digoxin
Theophylline Menyebabkan tanda-tanda dan symptom asma semakin buruk kerana ia mengurangkan kepekatan ubat dalam darah.
Oestrogen Menyebabkan breakthrough bleeding (pendarahan dari vagina yang berlaku antara haid).
Teh Hijau

sebagai antioksida

Kalsium Mengurangkan penyerapan kalsium
Warfarin Aktiviti warfarin berkurangan kerana kandungan vitamin K yang tinggi dalam herba.
Kunyit

sebagai anti inflamatori untuk merawat masalah usus dan hati serta penyakit kulit dan luka

NSAIDs Boleh menyebabkan pendarahan dan iritasi perut
Warfarin, Aspirin Meningkatkan keberkesanan ubat ini sehingga boleh menyebabkan pendarahan
Ranitidine,Omeprazole Boleh meningkatkan penghasilan asid dalam perut
AzadirachtaIndica (Neem)

antiseptik, antiviral, antipiretik, antiinflamasi, antiulser

Insulin Boleh merendahkan lagi kandungan gula dalam darah
Immunosuppressants (Cth: :Cyclosporine Azathioprine) Boleh meningkatkan sistem imun hingga menyebabkan kurangnya keberkesanan ubat.
Ocimumtenuiflorum
(tulasi)

untuk selsema, sakit kepala

Antipenggumpalan darah, antiplatelet Boleh memperlahankan penggumpalan darah sehingga menyebabkan pendarahan
Eurycoma Longifolia (Tongkat Ali)

meransang hormone lelaki, meningkatkan libido

Immunosuppressants Boleh melemahkan lagi sistem imun.

Mekanisma Interaksi Ubat dan Makanan

Memahami mekanisme interaksi ubat dan makanan, adalah salah satu langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kesan yang tidak dikehendaki, dan seterusnya memastikan anda mendapat semua faedah yang diperlukan daripada pengambilan ubat tersebut.

Mekanisme ini adalah dikategorikan kepada dua jenis iaitu mekanisme farmakokinetik dan farmakodinamik.

Beberapa mekanisme farmakokinetik mungkin berlaku apabila terdapat peningkatan atau pengurangan dalam:

  • Penyerapan ubat ke dalam badan
  • Penyebaran ubat di dalam badan
  • Ubat di dalam badan
  • Penyingkiran ubat dari badan

Aktiviti ubat yang semakin meningkat akibat pengambilan makanan adalah contoh klasik bagi interaksi farmakodinamik. Sebagai contoh, kesan antipenggumpalan oleh warfarin semakin bertambah dengan pengambilan gingko biloba dan mungkin juga herba-herba yang lain.

Kesan Interaksi Ubat dan Makanan

Terdapat dua jenis implikasi kepada tubuh badan, sama ada boleh memberi kesan yang baik atau memudaratkan. Kesan yang memudaratkan perlu diberi perhatian memandangkan ia boleh mengurangkan kesan terapeutik yang diharapkan atau meningkatkan kesan advers yang dialami.

Apabila penyerapan ubat berkurang akibat pengambilan makanan, ubat ini perlu diambil ketika perut kosong. Selain itu, makanan yang mengurangkan penyerapan atau meningkatkan metabolisma metabolisme atau penyingkiran ubat mempunyai kecenderungan untuk mengurangkan keberkesanan ubat. Perkara ini boleh menyebabkan kegagalan terapi dan boleh meningkatkan risiko kesan sampingan.

Oleh yang demikian, adalah wajar bagi pengguna untuk mengambil tahu berkenaan kesan interaksi ubat yang mungkin boleh berlaku (Rujuk Jadual 2).

Langkah-Langkah Keselamatan Pengubatan

9 tips untuk mengelakkan interaksi ubat dan makanan:

  • Sentiasa BACA LABEL pada sampul ubat dan sisip bungkusan (arahan pengambilan, peringatan, interaksi, langkah berjaga-jaga) yang dilampirkan bersama-sama bekas ubat.
  • Adalah sangat penting untuk MEMATUHI ARAHAN yang diberikan berkenaan cara pengambilan ubat yang selamat seperti yang telah diterangkan oleh ahli profesional kesihatan.
  • Ambil ubat bersama-sama segelas AIR KOSONG. Jangan campur ubat ke dalam minuman panas kerana suhu yang tinggi boleh mengurangkan keberkesanan sesetengah ubat.
  • JANGAN CAMPUR ubat ke dalam makanan kecuali diarahkan berbuat demikian.
  • JANGAN ambil herba pada MASA YANG SAMA ketika mengambil ubat.
  • JANGAN ambil ubat bersama-sama ALKOHOL.
  • SENTIASA MAKLUMKAN doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat-ubatan serta herba / yang sedang diambil.
  • MAKLUMKAN ahli profesional kesihatan berkenaan sebarang PERUBAHAN dalam rutin harian (senaman, diet, pengambilan alkohol)
  • Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkenaan interaksi ubat-ubatan yang mungkin berlaku, BERTANYALAH PADA DOKTOR / AHLI FARMASI.

Kesimpulan

Keberkesanan ubat adalah penting bagi memastikan penyakit yang dialami adalah terkawal atau sembuh. Oleh yang demikian, ingatlah sebarang interaksi ubat dan makanan yang mungkin berlaku apabila anda mengambil ubat. Pastikan anda mengamalkan tips yang diberi untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini dan memastikan ubat yang dimakan adalah berkesan. Jangan ragu-ragu untuk mendekati ahli profesional kesihatan, kerana kami sedia membantu anda!

Rujukan

  1. C.A.Santos& J.I. Boulatta. An Approach to Evaluating Drug-Nutrient Interactions (2005) Pharmacotherapy, 25(12):1789-1800.
  2. J.Anderson&J.Roach. Nutrient-Drug Interactions and Food (2008) Colorado State University
  3. L.Miller. Herbal Medicinals,(1998) Archives of Internal Medicine,158:2200-2209.
  4. M.A. Kuhn: Herbal Remedies. Drug-Herb Interactions( 2002) Critical Care Nurse Journals,22-32.
  5. S.E.Bland. Drug Food interactions:Pharmacotherapy Perspectives (1998) Journal of the Pharmacy Society of Wisconsin
  6. V.Parmar. Herbal Medicines:Its Toxic Effects & Drug Interactions (2005) The Indian Anaesthetists’ Forum.
Semakan Akhir : 04 Disember 2014
Penulis : Puteri Juanita bt. Zamri
Penterjemah : Hazlin bt. Othman
Akreditor : Munira bt. Muhammad
Reviewer : Che Pun bt. Bujang

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,189

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia