Kurang Pendengaran dikalangan Kanak-kanak

Apakah dia kurang pendengaran?

Kurang pendengaran didefinisikan sebagai pendengaran yang tidak jelas atau tidak dapat mendengar dengan sepenuhnya disebabkan kerosakan satu atau kedua-dua belah telinga.

Kurang pendengaran mungkin berlaku ke atas kanak-kanak di dalam pelbagai situasi. Kadang-kala kekurangan ini dapat dikesan oleh ibu bapa atau guru pendidik.

Apakah tahap-tahap dan jenis-jenis kurang pendengaran?

Terbahagi kepada 5 tahap keterukan (bergantung kepada ujian pendengaran);

  • Gangguan pendengaran.
  • Hilang pendengaran yang sederhana.
  • Hilang pendengaran yang sederhana dan serius.
  • Hilang pendengaran yang serius.
  • Hampir pekak.

Ada 3 jenis hilang pendengaran:

  • Hilang pendengaran konduktif.
  • Hilang pendengaran sensorineural.
  • Hilang pendengaran kombinasi konduktif dan sensorineural.

Apakah sebab hilang pendengaran?

Terdapat banyak sebab hilang pendengaran, ia termasuklah:

  • Sebab keturunan semasa kehamilan (gejala yang telah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kehilangan pendengaran adalah ‘Waardenburg s syndrome, Alport’s syndrome, Klippel-Feil syndrome, Usher’s syndrome). Pesakit dilahirkan di dalam keadaan ketiadaan saluran telinga.
  • Sebab semasa kehamilan (insiden berlaku sebelum dan semasa kelahiran) seperti jaundis yang teruk, pramatang yang teruk dan terlalu kecil sewaktu dilahirkan. Jangkitan yang berlaku semasa kehamilan seperti campak, jangkitan telinga tengah yang berulang kali dan jangkitan di otak.
  • Kecederaan pada kepala.
  • Kesan ubat-ubatan terhadap pendengaran seperti (kanamycin, gentamycin, streptomycin).
  • Terdedah pada bunyi bising yang kuat dan berpanjangan.
  • Bocor/pecah pada gegendang telinga.

Bilakah masanya hilang pendengaran patut disyaki?

Berikut adalah indikasi kanak-kanak yang mengalami hilang pendengaran:

  • Tidak bertindak balas sama ada kepada bunyi perlahan atau pun kuat.
  • Menunjukkan masalah perilaku yang berubah sebagai contoh: tidak menurut perintah disebabkan tidak mendengar arahan atau pun bebal, meragam dan kencing malam.
  • Tidak dapat bertutur mengikut peringkat umur.
  • Gagal bertutur dengan normal.
  • Lembab dalam pembelajaran (tidak berupaya untuk belajar).
  • Pencapaian yang tidak memuaskan.

Tanda-tanda amaran adalah:

  • Tiada perkataan yang difahami ketika berusia 18 bulan.
  • Tidak boleh bercakap pada usia 30 bulan.

Bagaimanakah hilang pendengaran dirawat?

Semua kanak-kanak perlu menjalani ujian saringan pendengaran. Rawatan adalah bergantung kepada jenis, punca jangkitan dan tahap hilang pendengaran. Rawatan secara perubatan atau pembedahan.

Pendekatan perubatan melibatkan:

  • Sesi terapi pertuturan.
  • Memakai alat bantuan pendengaran.
  • Menggunakan bahasa isyarat bagi pekak yang kekal (yang tidak dapat dirawat dengan cara perubatan atau pembedahan).

Pendekatan pembedahan melibatkan:

  • Implan Koklea (bagi mereka yang gagal bertindak balas dengan bantuan pendengaran). Alat elektronik ditanam di dalam koklea melalui pembedahan. Walau bagaimanapun alat ini hanya berfungsi secara optima jika pembedahan ini dilakukan ketika bayi berumur kurang dari 3 tahun.

Bagaimanakah menolong memulihkan kanak-kanak yang kurang pendengaran?

Kanak-kanak ini perlu didaftarkan sebagai kanak-kanak yang berkeperluan khas dengan Jabatan Kebajikan dan Jabatan Pendidikan untuk:-

  • Sekolah Khas.
  • Penempatan persekolahan – kelas khas.
  • Terapi pertuturan dengan pakar pertuturan.

Apakah yang dapat dilakukan bagi mengelakkan hilang pendengaran?

Langkah pencegahan termasuk:

  • Memberi imunisasi bagi mengelak penyakit haemophilus meningitis and jangkitan campak.
  • Melakukan saringan ujian pendengaran untuk semua kanak-kanak.
  • Amalkan gaya hidup sihat bagi mengelak jangkitan telinga berulang.
  • Lakukan pemeriksaan telinga secara berkala.
  • Guna pencair kahak bagi batuk, selsema dan hidung berhingus.
  • Elakkan daripada menggunakan putik kapas untuk mengeluarkan tahi telinga.
Semakan akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Norrashidah Hj. Abd Wahab
  : Dr. Nor Mahani Harun
Penyemak : Dr. Norzila bt. Mohamed Zainudin