Home > Ubat & Anda > Kawalan Iklan > Iklan perkhidmatan kesihatan

Iklan perkhidmatan kesihatan

Sebut sahaja iklan perkhidmatan kesihatan di media cetak, elektronik dan laman sosial pasti tergambar di minda kita iklan servis pemeriksaan kesihatan, perkhidmatan patologi, perkhidmatan kecantikan, mesin terapi, rawatan mata dan sebagainya. Ditambah pula dengan pelbagai testimoni dan gambar dan visual menunjukkan keadaan sebelum dan selepas pengguna yang menjalankan perkhidmatan kesihatan tersebut pasti hati terpikat untuk mencuba perkhidmatan yang ditawarkan. Sudah pasti, dari pihak pengiklan, strategi yang menarik perlu digunakan untuk menambat hati orang awam di luar sana agar mereka mendapatkan servis yang diiklankan.

Taktik yang biasa digunapakai oleh pengiklan ialah menggunakan taktik gambar sebelum dan selepas. Dengan teknologi yang kian membangun, banyak gambar boleh diubah seperti teknik ‘superimposed’, teknik ‘editing dan sebagainya. Selain itu teknik pencahayaan, mimik muka, antara cara yang digunakan bagi pesakit yang menjalani rawatan untuk menampakkan perbezaan gambar sebelum dan selepas. Berikut adalah contoh-contoh kriteria gambar sebelum dan selepas yang kerap digunakan oleh pengiklan. Oleh yang demikian, orang awam diminta jangan terus percaya dengan iklan yang dilihat.

GAMBAR SEBELUM
GAMBAR SELEPAS
  • Saiz badan yang besar dan menggeleber
  • Warna pakaian yang agak suram
  • Wajah yang muram tanpa sebarang make-up
  • Pencahayaan yang malap
  • Saiz kembali langsing dan anggun
  • Warna pakaian yang terang dan ceria
  • Wajah yang ceria dengan make-up
  • Pencahayaan yang terang

Banyak pusat perubatan menawarkan rawatan mata termasuklah membetulkan penglihatan, rawatan katarak, glaucoma dan seumpamanya. Tidak ketinggalan perkhidmatan rawatan mengubati penyakit 3 serangkai (contohnya kencing manis, darah tinggi dan jantung) khususnya penggunaan mesin terapi juga ada diiklankan. Orang awam dinasihatkan agar pergi mendapatkan rawatan daripada mereka yang bertauliah dan bukannya hanya mendapatkan rawatan di kiosk-kiosk pasaraya atau di pasar-pasar malam. Rawatan yang diberikan oleh orang yang tidak bertauliah boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan malah boleh menerukkan lagi keadaan. Dapatlah rawatan dari pengamal perubatan dan usah percaya agen-agen jualan yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan rawatan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka.

KKLIU

Dari sudut perundangan, apabila sesuatu perkhidmatan kesihatan itu hendak diiklankan, ia perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU), Kementerian Kesihatan Malaysia. Akta Ubat (Iklan & Penjulan) 1956 menetapkan bahawa mana-mana premis klinik/hospital swasta, makmal patologi swasta atau radiologi swasta yang menawarkan perkhidmatan kepada orang awam yang merangkumi perkhidmatan merawat, mencegah atau mendiagnosis ia perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada LIU. Bukan itu sahaja, sekiranya premis tersebut juga ingin iklankan produk, maka produk tersebut juga perlu mendapatkan kelulusan daripada LIU. Ini bagi memastikan agar fakta atau tuntutan perubatan yang digunakan dalam iklan tersebut diakui sahih, benar dan bukannya direka-reka demi melariskan sesuatu perkhidmatan yang ditawarkan.

Sehinggakan penggunaan ayat superlatif seperti ‘PERALATAN TERCANGGIH’, ‘RAWATAN TERBAIK’, ‘NO. 1 DI MALAYSIA’, ‘TEKNIK PALING UNIK’ akan disaring oleh LIU agar ia tidak mengelirukan orang ramai. Sekiranya sesuatu iklan tersebut tiada kelulusan LIU, sudah tentu fakta dan kenyataan tuntutan perubatan di dalamnya tidak disaring dan diragui kesahihannya. Untuk mengetahui samada iklan tersebut telah diluluskan oleh LIU, para pengguna perlu memastikan nombor KKLIU (contoh: KKLIU 1234/2014) dipaparkan pada iklan yang disiarkan tidak kira samada di media cetak atau elektronik dan tak terkecuali di internet dan media-media sosial.

Wanita & Kecantikan

Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Setiap wanita inginkan kecantikan. Walau bagaimanapun, persepsi cantik di mata setiap orang adalah berbeza. Cantik tidak hanya pada luaran sahaja tetapi cantik yang lebih penting adalah cantik dalaman termasuklah budi pekerti, akhlak yang baik, sopan santun dan sebagainya. Tidak dinafikan ada di kalangan wanita yang agak obses dengan kecantikan luaran sehingga sanggup menggadai nyawa untuk kelihatan cantik luaran. Mereka sanggup berhabis-habisan semata-mata untuk mencantikkan lagi bentuk badan mereka termasuklah memperbaiki bentuk hidung, membesarkan payu dara dan punggung, menegangkan kulit muka, menyedut lemak dan suntikan pada muka dan pelbagai kaedah estetik yang lain. Aliran semasa kini ada di kalangan kita mahu menjadi seperti bintang K-pop. Mereka sanggup melabur duit untuk meruncingkan bentuk muka, memutihkan muka, dan beberapa kriteria lain semata-mata mahu meniru gaya bintang Korea. Terimalah kita seadanya kerana setiap insan itu unik dan usahlah meniru orang lain.

Namun perlu diingatkan bahawa terdapat pelbagai premis yang menawarkan perkhidmatan kecantikan. Orang ramai yang hendak mendapatkan rawatan perlu memastikan premis tersebut dikendalikan oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut. Dengan kata lain, mereka mempunyai pentauliahan dan kepakaran dalam bidang estetik. Orang awam mempunyai hak untuk tahu kepakaran pengamal perubatan tersebut. Janganlah disebabkan terlalu taksub dengan kecantikan, maka nyawa kita tergadai. Kebiasaannya terdapat 2 jenis rawatan kecantikan samada invasif atau tidak invasif. Bagi rawatan invasif, pastikan hanya pengamal perubatan yang mempunyai kelayakan dalam bidang estetik sahaja boleh menjalani rawatan invasif tersebut.

Kecantikan Pada Pandangan Islam

Islam tidak menegah seseorang itu untuk cantik tetapi ada batasnya. Ini kerana Allah itu cantik dan Dia juga suka kepada kecantikan. Allah telah menganugerahkan kesempurnaan paras rupa dan keunikan pada setiap hambanya maka mengubah kejadian Allah secara kekal adalah satu perbuatan yang dilaknat oleh Allah. Walau bagaimanapun, terdapat keadaan di mana rekonstruktif muka adalah diharuskan malah boleh sehingga mewajibkan sekiranya kecederaan sewaktu kemalangan tersebut umpamanya pada tahap yang amat kritikal sehingga boleh mengancam nyawa dan hanya rekonstruktif muka boleh menyelamatkannya. Menurut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, suntikan botulinium toxin untuk tujuan kecantikan adalah haram di sisi Islam (Rujuk Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan ke-73 tahun 2006). Oleh yang demikian, orang Islam adalah dilarang untuk melakukan suntikan botulinium toxin tanpa asas atau semata-mata untuk kecantikan.

Kes Sebenar

  1. Akibat terlalu percaya dengan rawatan mata yang disediakan di kiosk-kiosk, seorang pesakit mengalami kerosakan pada matanya akibat rawatan mata yang diterimanya daripada individu yang tidak bertauliah.
  2. Kematian seorang suri rumah setelah menerima rawatan perkhidmatan pelangsingan daripada satu pusat pelangsingan.
  3. Seorang model mengalami alahan teruk pada mukanya selepas menerima suntikan yang diberikan oleh seorang individu yang tidak bertauliah.

Bijak Bertindak

“Harga murah.. cucuk untuk tegang muka, hilang kedutan, Nampak muda.. mari mari dapatkan perkhidmatan dari premis kami…”. Andai ada di kalangan kita pernah terjumpa dengan iklan sebegini, apakah tindakan kita? Mungkin ada yang termakan pujukan mereka yang mempromosi perkhidmatan tersebut dan terus mendapatkan rawatan kecantikan tersebut tanpa usul periksa. Bagi yang mereka bijak pula, sudah tentu membuat semakan lanjut dengan pihak KKM adalah satu tindakan yang perlu dicontohi.

Untuk makluman, semua iklan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengamal perubatan swasta perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Lembaga Iklan Ubat bagi memastikan kenyataan yang terdapat pada iklan tersebut diakui sahih dan benar. Orang awam boleh meneliti sekiranya terdapat nombor KKLIU yang diberikan oleh Lembaga Iklan Ubat pada iklan tersebut. Sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut terhadap kesahihan nombor kelulusan tersebut, semakan boleh dibuat melalui laman web www.pharmacy.gov.my atau menelefon terus kepada Lembaga Iklan Ubat di talian 03-78413200.

Pengguna perlu bijak dalam membuat keputusan agar perkhidmatan kesihatan yang dipilih memang diperlukan oleh kita dan bukannya disebabkan promosi yang dibuat. Pendekatan yang diambil terhadap iklan servis kesihatan tidak boleh disamakan dengan iklan seperti iklan servis kenderaan, iklan tiket kapal terbang dan sebagainya. Maka, berhati-hatilah apabila membuat keputusan dalam memilih perkhidmatan kesihatan yang diperlukan. Dapatkan khidmat nasihat dari pegawai perubatan atau mereka yang bertauliah. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, orang awam boleh kemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau melalui emel pharmacy1@moh.gov.my.

Rujukan

  1. Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Disemak 1983)
  2. Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan ke-73 tahun 2006
Semakan Akhir : 12 Ogos 2014
Penulis : Normawati bt. Mohammed Noor
Akreditor : Muhammad Lukmani bin Ibrahim

 

(Visited 323 times, 1 visits today)