A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Pemakanan Umum
  6. /
  7. Iklan Makanan Dan Anda

Iklan Makanan Dan Anda

Iklan makanan boleh mempengaruhi pengetahuan pemakanan kanak-kanak.Kajian telah membuktikan bahawa kebanyakan iklan makanan yang disasarkan kepada kanak-kanak adalah terhadap makanan yang kurang berkhasiat.

Iklan Makanan Dan Anda

Pendahuluan

“Mmm… sedapnya ayam goreng tu… Ibu, tengah hari nanti Alia nak makan ayam goreng macam dalam TV tu ya..”.

“Ayah..nanti bila ayah pergi kedai, tolong belikan Adam keropok macam dalam TV tu ya..”.

Pernahkah anda mendengar ayat-ayat seperti di atas keluar daripada bibir mungil anak-anak anda? Jika pernah, ini bermakna anak anda telah berjaya dipengaruhi untuk membeli makanan yang diiklankan.

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh membiarkan sahaja senario ini berlaku dan tidak mengendahkannya kerana kajian telah membuktikan bahawa pendedahan terhadap iklan makanan boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap kanak-kanak, terutama yang berumur di bawah 12 tahun. Kenapa? Kerana mereka masih mentah dan tidak mengetahui tujuan sebenar pengiklanan makanan.

 

Pengaruh iklan makanan terhadap kanak-kanak

  1. Pengaruh iklan makanan terhadap pengetahuan pemakanan kanak-kanak
    • Iklan makanan boleh mempengaruhi pengetahuan pemakanan kanak-kanak.
      • Kajian telah membuktikan bahawa kebanyakan iklan makanan yang disasarkan kepada kanak-kanak adalah terhadap makanan yang kurang berkhasiat serta tinggi kandungan tenaga lemak, gula dan/atau garam.
    • Oleh kerana makanan ini sering diiklankan, kanak-kanak menganggap bahawa makanan ini adalah makanan yang berkhasiat.
      • Tetapi sebenarnya makanan tersebut adalah kurang berkhasiat dan tidak membantu mereka mendapat khasiat yang secukupnya untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal.
  1. Pengaruh iklan makanan terhadap pemilihan makanan kanak-kanak
    • Pengiklan makanan menggunakan pelbagai teknik kreatif bagi menarik minat kanak-kanak terhadap makanan yang diiklankan, dalam usaha “memujuk” penonton untuk memilih makanan tersebut.
      • Teknik kreatif yang digunakan termasuk penggunaan watak kartun, watak “hero” yang gagah, lawak jenaka, suasana yang ceria dan muzik yang menggembirakan.
    • Kajian menunjukkan bahawa teknik-teknik kreatif yang digunakan ini berjaya “memujuk” kanak-kanak memilih makanan yang diiklankan ataupun meminta ibu bapa mereka membeli makanan tersebut.
    • Semakin terdedah seseorang kanak-kanak terhadap iklan makanan, semakin mudah mereka terpengaruh dengan “pujukan” iklan makanan tersebut.
  1. Pengaruh iklan makanan terhadap pengambilan makanan kanak-kanak
    • Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menonton televisyen lebih dari 2 jam sehari akan terdedah kepada 56 hingga 126 iklan makanan dalam tempoh seminggu.
      • Kanak-kanak yang menonton televisyen lebih dari 2 jam sehari ini didapati mengambil lebih banyak makanan segera, minuman manis dan snek yang manis ataupun masin, berbanding kanak-kanak yang tidak menonton televisyen.
    • Kajian juga menunjukkan bahawa semakin banyak seseorang kanak-kanak itu terdedah kepada iklan makanan, semakin tinggi pengambilan tenaga (kalori) mereka.
      • Kanak-kanak yang terdedah kepada iklan makanan akan mengambil 45% lebih tenaga berbanding kanak-kanak yang tidak terdedah kepada iklan makanan.
    • Kajian yang lain pula menunjukkan bahawa diet yang mengandungi makanan yang diiklankan boleh membekalkan gula dan lemak yang melebihi saranan pengambilan (melebihi  100%), iaitu 2560% bagi gula dan 2080% bagi lemak.
      • Diet ini juga TIDAK boleh membekalkan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu yang mencukupi, iaitu hanya 27% bagi buah-buahan, 40% bagi sayur-sayuran dan 32% bagi susu.
      • Dalam masa yang sama, diet ini TIDAK dapat membekalkan serat, vitamin A dan E, zat besi, kalsium dan potasium yang mencukupi untuk kanak-kanak. 
    • Kajian-kajian di atas menunjukkan bahawa iklan makanan boleh memberi kesan yang buruk terhadap pengambilan makanan kanak-kanak.
    • Amalan pemakanan yang tidak baik semasa kanak-kanak ini boleh berterusan sehingga mereka dewasa.
    • Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal anak-anak daripada pendedahan yang berlebihan terhadap iklan makanan, terutama di televisyen. Ini kerana televisyen merupakan medium utama bagi pengiklanan makanan.  
  1. Pengaruh iklan makanan terhadap kesihatan kanak-kanak

     

    • Seperti yang dinyatakan di atas, kebanyakan makanan yang diklankan adalah makanan yang kurang berkhasiat dan tinggi kandungan tenaga, lemak, gula dan/atau garam.
      • Pengambilan makanan yang kurang berkhasiat serta tinggi kandungan tenaga, gula dan lemak secara berlebihan bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak kepada obesiti dan masalah-masalah kesihatan seperti kolesterol dan lemak darah yang tinggi semasa kanak-kanak, malah turut mendedahkan mereka kepada penyakit-penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes ketika dewasa.
    • Hasil satu kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menonton iklan makanan selama 14 minit akan mengambil makanan yang lebih sebanyak 8.8 gram.
      • Perkara ini dijangka akan menambahkan pengambilan kalori sebanyak 94 kcal sekiranya kanak-kanak ini menonton iklan selama 30 minit sehari, dan peningkatan berat badan yang tidak diingini sebanyak 5 kg setahun.
    • Iklan makanan sememangnya boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap kesihatan kanak-kanak.
      • Masa untuk kanak-kanak menonton TV akan “mencuri” masa mereka bermain dan menjalankan aktiviti fizikal.
      • Aktiviti fizikal membakar kalori berlebihan yang boleh menjaga berat badan.
      • Pengambilan makanan kurang berkhasiat yang sering diiklankan di televisyen boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi gemuk, di samping mengalami masalah kekurangan zat makanan mikro seperti anemia atau kekurangan zat besi.

Tips memahami mesej dalam iklan

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, anda perlu memberi tunjuk ajar kepada anak-anak tentang bagaimana menilai sesuatu iklan makanan.

Mereka perlu mengetahui bahawa maklumat yang disampaikan dalam iklan makanan TIDAK SEMESTINYA BETUL kerana tujuan utama iklan adalah untuk menjual produk, bukannya memberi pendidikan.

Kaedah bagi menyampaikan tunjuk ajar ini perlulah bersesuaian dengan umur kanak-kanak.

Kanak-kanak yang berumur kurang dari 7 tahun kebiasaannya sukar untuk memahami iklan makanan.

Mereka akan menerima sahaja maklumat yang disampaikan melalui iklan dan beranggapan bahawa iklan adalah sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan serta mempercayai sepenuhnya maklumat yang disampaikan.

Oleh itu, pada peringkat umur ini, perkara terbaik untuk dilakukan adalah mengawal jumlah masa kanak-kanak menonton televisyen bagi mengurangkan pendedahan kepada iklan makanan.

Kanak-kanak yang berumur melebihi 7 tahun mempunyai fikiran yang lebih matang dan boleh memahami sedikit demi sedikit iklan makanan. Semakin meningkat usia mereka, kefahaman mereka terhadap iklan akan semakin meningkat.

Pada umur 8 hingga 10 tahun, kanak-kanak telah mempunyai keupayaan kognitif untuk memproses iklan. Walau bagaimanapun, kebiasaannya mereka tidak berbuat demikian.

Pada usia dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun, kanak-kanak akan lebih memahami iklan makanan dan boleh diberi tunjuk ajar mengenai cara menonton iklan makanan secara bijak.

Ini kerana, walaupun kefahaman mereka terhadap iklan makanan telah meningkat, mereka masih boleh terpengaruh terutama terhadap penonjolan perkara-perkara yang menjadi tumpuan mereka seperti penampilan dan identiti diri, serta kecantikan atau kekuatan.

Ketika menonton iklan makanan, beri tunjuk ajar dan galakkan anak-anak anda bertanya soalan-soalan berikut untuk menimbulkan kesedaran mereka tentang tujuan sebenar iklan makanan :

  1. Siapa yang mengarang mesej yang disampaikan dalam iklan ini?

    Maklumkan kepada anak-anak yang mesej dalam sesuatu iklan dihasilkan oleh sekumpulan pakar dalam bidang ini, dan pengeluar makanan itu sendiri yang menentukan apakah mesej yang ingin disampaikan.

    Oleh itu, mesej tentang kesihatan yang disampaikan tidak semestinya benar kerana tujuan utama iklan adalah untuk menjual produk.

    Jenis mesej pula bergantung kepada golongan sasaran dan medium iklan yang digunakan.  Ketika menonton iklan makanan, tunjukkan kepada anak-anak anda jenama produk dan syarikat yang mengeluarkan produk tersebut supaya mereka lebih memahami siapakah pengarang mesej itu.

    Maklumkan juga anak-anak bahawa makanan yang selalu diiklankan adalah makanan yang kurang berkhasiat dan tinggi kandungan tenaga (kalori), lemak, gula dan/atau garam.

    Pengambilan makanan ini boleh menjejaskan kesihatan mereka.

    Sebagai tambahan, anda juga boleh memaklumkan anak-anak bahawa selain daripada pengaruh iklan makanan, menonton televisyen merupakan aktiviti yang sedentari (tidak aktif) dan tidak baik untuk kesihatan.

    Berat badan mereka boleh bertambah disebabkan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan dan kemungkinan snek akan dimakan ketika menonton televisyen. Jadi, berbanding menonton televisyen, adalah lebih baik jika mereka dapat melakukan aktiviti fizikal seperti bermain bola, badminton atau berbasikal di luar rumah.

  2. Apakah teknik kreatif yang digunakan untuk menarik minat saya?

    Pengiklan makanan menggunakan pelbagai teknik yang kreatif bagi menarik minat kanak-kanak terhadap makanan yang diiklankan.

    Teknik tersebut seperti penggunaan bahasa yang menarik serta seni visual, teknik fotografi dan muzik yang boleh membangkitkan emosi dan khayalan kanak-kanak supaya suka kepada makanan yang diiklankan. 

    Pengiklan makanan juga menggunakan pelbagai teknik “memujuk” untuk mempengaruhi kanak-kanak. Imej yang lucu atau jenaka, watak yang kuat atau berkuasa, suasana persahabatan atau kekeluargaan, keseronokan, alam semula jadi atau penggunaan watak kartun merupakan sebahagian daripada strategi mereka.

  3. Adakah semua orang mempunyai pemahaman yang sama terhadap iklan yang saya tonton ini?

    Setiap orang yang menonton iklan makanan yang sama tidak semestinya mempunyai pemahaman yang sama terhadap iklan tersebut.

    Pemahaman terhadap sesuatu iklan makanan bagi kanak-kanak tidak semestinya sama dengan orang dewasa. Pengiklan menggunakan konsep ini dalam membentuk mesej yang khusus untuk golongan tertentu.

    Mereka terlebih dahulu menentukan golongan sasaran sebelum mengarang mesej iklan. Oleh itu, mesej yang disampaikan akan sampai tepat kepada kumpulan sasaran dan akan menjadi lebih berkesan.

    Tekankan kepada anak-anak bahawa mesej yang disampaikan dalam iklan makanan yang disasarkan kepada kanak-kanak memang dibentuk khusus untuk mereka.

    Walau bagaimanapun, maklumat yang disampaikan tidak semestinya benar dan mereka tidak boleh mempercayai sepenuhnya maklumat tersebut.

  4. Apakah nilai dan gaya hidup yang ditonjolkan serta tidak ditonjolkan dalam iklan ini?

    Kebanyakan iklan menonjolkan gaya hidup yang selesa dan mewah, lelaki dan wanita yang kacak atau cantik, kanak-kanak yang sihat dan pandai serta kegembiraan.

    Kehidupan yang susah atau miskin, lelaki dan wanita yang tidak mempunyai paras rupa yang menarik dan suasana yang tidak menggembirakan jarang sekali dipaparkan dalam iklan.

    Oleh itu, iklan hanya cuba menonjolkan nilai dan gaya hidup yang tertentu dan tidak menunjukkan atau mewakili realiti kehidupan yang sebenarnya.

    Cuba jelaskan kepada anak-anak anda bahawa nilai dan gaya hidup yang cuba ditonjolkan dalam iklan makanan tidak menggambarkan realiti sebenar kehidupan. Begitu juga dengan makanan yang diiklankan, ia tidak semestinya baik sebagaimana digambarkan dalam iklan.

  5. Kenapa mesej dalam iklan ini dikarang?

    Terangkan kepada anak-anak anda bahawa tujuan mesej yang disampaikan dalam iklan makanan adalah bagi menjual produk.

    Pelbagai kebaikan produk makanan yang dinyatakan dalam iklan tidak semestinya benar dan tujuan utamanya adalah untuk mempengaruhi kanak-kanak supaya menginginkan makanan tersebut.

Hak Pengguna

Sebagai pengguna yang bijak, kita harus melindungi anak-anak kita daripada terpengaruh dengan iklan makanan yang merupakan strategi komersial syarikat bagi menjual produk. Anak-anak perlu diberi pemahaman tentang iklan makanan dan kesan buruk iklan makanan terhadap kesihatan mereka.

Sebagai pengguna juga kita berhak untuk mengawal anak-anak kita daripada pendedahan yang berlebihan terhadap iklan makanan.

Kita juga berhak menyuarakan pandangan berkaitan pengiklanan makanan, contohnya mencadangkan supaya iklan makanan dilarang sama sekali semasa program televisyen kanak-kanak, melalui saluran-saluran yang bersesuaian.

Sebagai ibu bapa, kitalah yang membentuk masa depan anak-anak kita. Gunakanlah hak kita sebagai pengguna bagi melindungi generasi kita yang akan datang.

Rujukan

  1. Center for Media Literacy (2011). Educator Guide – A Recipe for Action: Deconstructing Food Advertising.
  2. Harris, J. L., Bargh, J. A. & Brownell, K. D. (2009). Priming effects of television food advertising on eating behaviour. Health Psychology, 28(4): 404-413.
  3. Mink, M., Evans, A., Moore, C. G., Calderon, K. S., Deger, S. (2010). Nutritional imbalance endorsed by televised food advertisements. Journal of the American Dietetic Association, 110(6):904-910.
  4. Scully M., Wakefield, M., Niven, P., Chapman, K., Crawford, D., Pratt I. S., Baur, L. A., Flood, V. & Morley, B. (2012). Asssociation between food marketing exposure and adolescents’ food choices and eating behaviours. Appetite, 58(2012): 1-5.
  5. World Health Organization (2012). A Framework for Implementing the Set of Recommendations on the Marketing of Foods and Non-alcoholic Beverages to Children.

 

Semakan Akhir : 28 Februari 2018
Penulis : Zalma bt. Abdul Razak
Akreditor : Prof. Madya Datin Dr. Safiah bt. Md Yusoff

Artikel Berkaitan

Omega-3 Laut Dalam

Omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh. Ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,103,600

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia