A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Identifikasi Di Dalam Antropologi...

Identifikasi Di Dalam Antropologi Forensik

Antropologi Forensik merupakan satu cabangan daripada Antropologi Fizikal dengan perbezaan kritikalnya ialah antropologi forensik lebih tertumpu kepada pemeriksaan dan pengkajian ke atas di rangka manusia pada zaman moden.

      


Gambar 1: Contoh-contoh kes Antropologi Forensik

Setiap kali perkataan autopsi disebut, fikiran yang terus wujud adalah pemeriksaan ke atas mayat yang baru mati. Pernahkah anda terfikir bagaimana tulang-temulang manusia diperiksa? Jawapannya adalah dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Antropologi Forensik.

Definisi Antropologi Forensik

Sebelum pergi lebih mendalam berkaitan proses identifikasi Antropologi Forensik, adalah penting untuk kita memahami maksud perkataan Antropologi:

  • Forensik: perkara yang bersangkut-paut dengan mahkamah perundangan atau dengan perkataan yang lebih difahami oleh orang biasa, kes polis.
  • Antropologi: menurut terjemahan American Anthropological Association (AAA), merupakan kajian terhadap manusia dari zaman dahulu hingga zaman sekarang. Ia dibahagikan kepada empat kategori, iaitu:
    • Antropologi Sosial-kebudayaan-

      Bidang ini berhubungkait dengan pengajian dan pengamatan ke atas gaya-hidup sosial serta amalan kebudayaan manusia dari komuniti yang berlainan, khasnya bagaimana mereka mengurus-tadbir, dan mewujudkan entiti masing-masing. Ia memfokus kepada perkembangan dan perubahan yang berlaku di dalam dan di antara masyarakat, khususnya dari sektor kesihatan, ekonomi, ekologi dan persekitaran, pendidikan, dan pertanian.

    • Antropologi Biologi/Fizikal-

      Bidang ini mengkaji bagaimana manusia menyesuaikan diri di dalam persekitaran yang kepelbagaian, khasnya mengkaji evolusi dan variasi tulang manusia dari zaman pra sejarah ke zaman sekarang. Untuk memahami konsep ini, Antropologi Biologi/Fizikal menggabungkan kajian primatologi (kajian terhadap primat), paleoantropologi, bioarkeologi, biologi dan genetik.

      Tambahan lagi, Antropologi Fizikal melibatkan kemahiran dan teknik bagi menentukan umur, jantina, keturunan, ketinggian, cakat tangan dll dan sebagainya, serta cara kematian tulang rangka manusia tersebut.

  • Arkeologi-
    Bidang ini mengkaji manusia serta budaya mereka yang wujud sejak zaman dahulu sehingga zaman terbaru ini yang melibatkan penganalisaan barang tinggalan zaman tamadun seperti peralatan pemburuan, peralatan memasak, senjata, dan lain-lain serta mengkaji arkitek persekitaran dan lanskap persekitaraan mereka.
  • Antropologi Linguistik-
    Fokus bidang ini adalah untuk mengkaji bahasa dan pengaruh bahasa terhadap kehidupan sosial manusia. Ia menganalisa dan memformulasikan cara komunikasi yang diamalkan sejak kewujudan manusia di dunia ini. Oleh yang demikian, perubahan sosial yang berlaku di kalangan dan di antara komuniti turut dapat dikaji.

Antropologi Forensik merupakan satu cabangan daripada Antropologi Fizikal dengan perbezaan kritikalnya ialah antropologi forensik lebih tertumpu kepada pemeriksaan dan pengkajian ke atas rangka manusia pada zaman moden. Dalam ertikata lain, Antropologi Forensik boleh difahamkam sebagai satu bidang yang menggunakan ilmu pengetahuan Antropologi Fizikal dan osteologi manusia dalam penyiasatan kes polis yang membabitkan tulang-temulang manusia yang moden. Pada lazimnya, Antropologi Forensik tidak merangkumi skop pengkajian ke atas tulang manusia di zaman purba dan pra-sejarah.

Pakar Antropologi Forensik pula adalah orang yang terlatih dalam menjalani pemeriksaan terhadap tulang-temulang manusia. Selain daripada Pakar Antropologi yang memiliki kelayakan dalam bidang perubatan, individu dari bidang sains atau arkeologi juga layak menjadi Pakar Antropologi Forensik.

Penyiasatan sebab dan cara kematian untuk mayat yang baru mati bukanlah suatu perkara yang amat sukar, sebab organ dalaman dan struktur sistem badan masih dapat diperiksa secara terperinci. Akan tetapi, apabila jasad yang diterima adalah dalam keadaan mereput, separa reput, tulang rangka sepenuhnya atau dalam bentuk serpihan tulang, penentuan sebab dan cara kematian akan menjadi lebih rumit. Ini kerana tiada lagi organ dan tisu untuk diperiksa. Dalam situasai sebegini, kepakaran dan pengalaman Pakar Antropologi Forensik sangat diperlukan.

Peranan Pakar Antropologi Forensik

Peranan utama Antropologi Forensik adalah untuk memeriksa tulang-temulang bagi memperolehi maklumat berikut:

  • Untuk mengenalpasti sebarang kecederaan tulangPakar Antropologi Forensik akan memeriksa kecederaan yang terdapat pada tulang-temulang bagi menentukan kaitan kesan kecederaan tersebut dengan sebab dan cara kematian. Jika kecederaan dijumpai, pakar Antropologi Forensik akan cuba mengenalpasti bilakah kecederaan tersebut berlaku, sama ada sebelum, semasa atau selepas kematian; serta merumuskan jenis senjata yang mungkin digunakan untuk menyebabkan kecederaan tersebut. Maklumat ini adalah penting untuk membantu pegawai penyiasat polis dalam penyiasatan kes jenayah.
  • Untuk memeriksa sebarang patologi atau keabnormalan pada tulangPenyakit yang melibatkan tulang merupakan satu lagi perkara di mana Pakar Antropologi Forensik perlu menentukan di dalam pemeriksaannya.. Mereka perlu mengenalpasti jenis penyakit yang akan mempengaruhi tulang, seperti dislokasi kongenital, gangguan metabolik, osteoartritis, osteomielitis dan sebagainya. Mereka perlu menentukan sama ada patologi tulang tersebut mengakibatkan kematian atau menyumbang kepada kematian.
  • Keabnormalan tulang merujuk kepada keadaan di mana saiz tulang, bentuk tulang dan pertumbuhan tulang yang berada di luar lingkungan normal. Sebagai contoh, tulang femur (tulang peha) yang bengkok atau lekukan pada tulang muka, boleh terjadi sebab berlaku sejak lahir secara kongenital atau boleh terjadi di kemudian hari semasa tempoh pembesaran. Pakar Antropologi Forensik seharusnya dapat membezakan keabnormalan tulang daripada kesan patologi pada tulang, agar dapat menilai dengan lebih tepat kemungkinan sebab dan cara kematian.

  • Untuk mendapatkan profil biologi (jantina, umur, keturunan dan ketinggian)Kebiasaannya, kes tulang-temulang yang diterima tidak diketahui identiti. Jadi, ianya amat penting untuk mengenalpasti identiti tulang-temulang ini, selain daripada menentukan sebab kematian. Bagi Pakar Antropologi Forensik, pemprofilan biologi merupakan tugas rutin bagi setiap kes Antropologi Forensik, ini termasuklah menentukan jantina, menganggarkan umur, menghubungkaitkan keturunan, dan mengira ketinggian. Profil biologi ini akan membantu untuk mengurangkan skop mengenalpasti orang yang dilaporkan hilang dan seterusnya meningkatkan kebarangkalian untuk mengenalpasti identiti individu kepunyaan tulang-temulang tersebut.

Profil Biologi vs Analisis DNA

Analisa DNA merupakan cara yang saintifik dan muktamad dalam mengenalpasti identiti seseorang yang tidak diketahui identiti. Akan tetapi, proses analisa DNA merupakan satu prosedur yang agak mahal untuk dijalankan dan perlu mendapatkan sampel daripada ahli keluarga yang mempunyai hubungan talian persaudaraan, serta memerlukan kepakaran dalam bidang genetik forensik.

Kepentingan Antropologi Forensik

  • Untuk menentukan sebab kematian dan cara kematian tulang-temulang.
  • Untuk mengenalpasti identiti tulang-temulang.

Antropologi Forensik di Malaysia

Di Malaysia, perkhidmatan ini disediakan oleh Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) yang bertempat di Hospital Kuala Lumpur. Perkhidmatan ini masih berada di fasa awalan, dan pada masa ini terdapat hanya dua orang Pakar Antropologi Forensik dan kemudahan pemeriksaan antropologi forensik yang asas.

Selain daripada tugasan pemeriksaan tulang-temulang manusia, Pakar Antropologi Forensik juga berperanan untuk menjalankan penggalian kubur tersembunyi dan mencari serpihan tulang-temulang di tempat kejadian. Mereka ini memerlukan khidmat bantuan dari Pegawai Perubatan, Pegawai Sains Forensik dan Penolong Pegawai Perubatan.

Oleh kerana kekurangan pakar dalam bidang Antropologi Forensik dan pada masa yang sama, kadar jenayah yang melibatkan tulang-temulang manusia semakin meningkat, permintaan perkhidmatan ini semakin bertambah. Sementara itu, kebanjiran negara kita dengan pendatang asing tidak sah mahupun warga asing yang sah perjalanan dokumennya dari seluruh dunia turut memberi banyak cabaran kepada Pakar Antropologi Forensik apabila kes antropologi forensik melibatkan golongan ini.

Dengan cabaran yang sedang dan bakal dihadapi, IPFN kini dalam usaha untuk menambahbaik serta mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan ini dengan harapan agar Malaysia dapat menerajui bidang antropologi forensik di rantau AsiaTenggara.

Rujukan

  1. American Anthropology Assocaition. What is Anthropology dari http://www.aaanet.org/about/WhatisAnthropology.cfm
  2. Institut Perubatan Forensik Negara. Forensik Antropologi dari http://ipfn.moh.gov.my/modules/mastop_publish/?tac=Forensik_Antropologi

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Chong Sin Leng
Akreditor : Dr. Nurliza bt. Abdullah
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Nikmat Kerja

Pengenalan Nikmat kerja hanya akan wujud apabila seseorang itu minat

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,420,406

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia