Ibu Yang Hebat

Dialah burung. Dialah kapal terbang. Dialah SUPER MUM !!!

Super Mum ialah seorang wanita yang bertanggungjawab dalam menjaga emosi dan kesihatan fizikal anak-anak tanpa mementingkan diri serta mampu melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga dengan baiknya.

Istilah super mum telah diperkenalkan pada tahun 1974 yang membawa maksud seorang ibu yang boleh dijadikan teladan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas penjagaan rumah tangga dan mendidik anak-anak serta pada masa yang sama bekerja sepenuh masa. Super mum juga turut dikenali sebagai Super Multiple Mumatau “Ibu hebat yang pelbagai” yang mana mereka melakukan pelbagai tugas dalam kehidupan seharian dan mampu seimbangkannya dengan kerjaya.

Super mumialah seorang wira hebat yang mampu melakukan pelbagai tugas tanpa perasaan bangga mahupun rungutan.Super mum sering dirujuk sebagai amalan tradisional keibubapaan.

Secara asasnya, super mum mempunyai dua pekerjaan iaitu menjadi seorang ibu dan seorang pekerja. Sebagai seorang pekerja, dia mungkin mampu meninggalkan tugasannya di pejabat tetapi belum tentu mampu sepenuhnya meninggalkan keluarganya di rumah.

Super mum mengambil alih kesemua tugas-tugas wanita dalam satu masa melakukan pelbagai tugas(multitasking)dengan cekap dan pantas. Kerjaya sepenuh masa tidak menghalang mereka menjadi ibu yang berjaya.

Sumber: Google

Fenomena Semasa

Statistik telah menunjukkan bilangan tertinggi wanita yang bekerja pada tahun 2010 adalah antara umur 25 tahun dan 29 tahun sebanyak 67%, diikuti oleh wanita berumur 30 dan 34 tahun (61%)dan wanita berumur antara 35 dan 39(56%). Pada tahun 2015, Malaysia telah dijangkakan mempunyai sebanyak 55% wanita dalam sektor pekerjaan.

Terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan kadar super mum meningkat hari demi hari. Antaranya adalah kerana super mum boleh memenuhi masa mereka jika mereka bekerja daripada hanya tinggal di rumah. Mereka boleh berfikir dengan tenang dan fokus pada sesuatu perkara yang lain dan bukannya pada anak-anak. Selain itu, super mum juga boleh menjana pendapatan apabila mereka bekerja tanpa hanya tinggal di rumah dan mendidik serta membesarkan anak-anak. Hasil pendapatan mereka itu sebenarnya mampu digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga serta simpanan kewangan untuk masa hadapan. Hasil pendapatan itu juga boleh digunakan untuk kegunaan tambahan yang lain seperti percutian dan juga melakukan aktiviti bersama anak-anak.

Super mum juga mahu melatih diri untuk berdikari dari aspek emosi, ekonomi, dan juga mempelajari ilmu tambahan. Super mum menginginkan kegembiraan yang dapat diperolehi dalam alam pekerjaan yang mana mempunyai pelbagai cabaran baru dan ragam manusia. Super mum boleh mendapat kedua-dua kepuasan melalui mendidik dan membesarkan anak-anak serta gaji dan pendapatan tetap. Keyakinan diri yang tinggi serta perasaan gembira super mum mampu menjadi contoh kepada anak-anak mereka.  

Selain itu, sektor awam dan swasta memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi kepada super mum dengan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu ibu-ibu bekerja supaya mampu seimbangkan antara kerjaya dan juga keluarga. Inisiatif tersebut termasuklah mewujudkan pusat asuhan di tempat kerja dan jadual kerja yang fleksibel. Dengan adanya pusat asuhan di tempat kerja, mampu memberi ketenangan minda dan meningkatkan tahap produktiviti mereka tanpa menjejaskan institusi kekeluargaan.

Walaubagaimana pun, kebelakangan ini, sindrom super mum yang telah tersebar luas di kalangan super mum dalam masyarakat adalah sesuatu yang perlu direnungkan.Super mum mungkin berasa dialah punca semua masalah yang berlaku dalam rumahtangganya dan menyalahkan diri sendiri apabila tidak mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

Tambahan pula, kadang-kala super mum melakukan pelbagai tugas tanpa memikirkan tugasan lain yang perlu diutamakan. Dia juga mempunyai kepercayaan yang kurang rasional yang mana kadang kala dia akan melakukan sesuatu perkara secara tiba-tiba. Kebiasaannya, seorang ibu yang mempunyai sindrom super mum ini turut mengalami masalah mengawal kemarahan.

Dalam kata lain, super mumboleh berasa dirinya dikhianati oleh anak-anaknya walaupun dia telah berkorban masa, kerjaya dan juga kemahuan untuk mengutamakan keperluan anak-anak. Malah ibu yang mempunyai sindrom ini juga akan berasa kecewa apabila matlamatnya setiap hari tidak berjaya dicapai.

Kualiti Seorang Super Mum

  1. Super mum akan memastikan segala tugasan disiapkan

    Salah satu kualiti super mum adalah kebolehan untuk melakukan tugasan sehingga siap. Sama ada kerja-kerja di rumah, projek di tempat kerja ataupun berdepan dengan isu kekeluargaan, super mum tahu bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian untuk setiap masalah yang dihadapi.

  2. Super mum berani untuk berkata “TIDAK”

    Super mum ialah seorang yang pandai menolak ajakan kawan-kawan, saudara mara dan rakan sekerja yang mengambil kesempatan ke atas dirinya dari segi masa mahupun tenaga. Masa yang diperoleh daripada hasil tersebut dapat digunakan untuk menyelesaikan tugas-tugasan yang dikira lebih penting baginya dan juga ahli keluarganya.

  3. Super mum tahu saat bila dia memerlukan bantuan

    Super mum sentiasa peka setiap masa. Dia perlu tahu bila dia berasa tertekan atau letih dan segera mencari bantuan. Adalah penting bagi dirinya untuk mendapatkan bantuan dan sokongan luar supaya dia berasa lebih bertenaga dan kekal segar.

  4. Super mum ialah seorang ibu yang penyayang dan menyenangkan

    Super mum mempunyai kedua-dua jenis personaliti iaitu berjiwa lembut, penyayang dan ambil berat tetapi pada masa yang sama, dia juga meletakkan peraturan yang adil dan seimbang, dalam menentukan kerja-kerja rumah yang bersesuaian dengan umur serta sikap anak mereka.

  5. Super mum boleh seimbangkan antara keluarga dan kerjaya

    Super mum tidak mudah berputus asa atas minat dan cita-citanya apabila mereka dibebani oleh tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri. Dalam masa yang sama super mum sentiasa belajar untuk seimbangkan kedua-duanya tanpa terlalu banyak kompromi.

  6. Super mum percaya akan firasatnya

    Super mum sentiasa mempertimbangkan setiap perwatakan unik dalam diri anak-anaknya supaya diri mereka menjadi individu yang tersendiri. Dia menghormati perbezaan anak-anaknya dan bertindak untuk memberi respon mengikut keperluan mereka.

  7. Super mum lebih menghargai perkara yang lebih besar dan penting

    Super mum tidak mengambil kira kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh pasangan hidupnya tetapi sentiasa cuba untuk lebih fokus kepada kebaikan ahli keluarganya secara menyeluruh.

  8. Super mum bijak mengagihkan tugasan kepada orang lain

    Super mum bijak membahagikan tugasnya dan tidak melakukan kesemuanya seorang diri. Dia lebih mengetahui masa yang sesuai untuk memberi dan membenarkan orang lain mengambil alih tugasnya serta menjalankan peranan masing-masing.

  9. Super mum berasa seronok menjadi seorang ibu

    Tidak kira sesibuk mana jadualnya, super mum tidak akan sesekali melepaskan peluang untuk bersama dengan anak-anaknya dan akan menggunakan setiap saat bersama mereka dengan lebih bermakna.

Sumber: Google

Dilema yang dihadapi oleh Super Mum

Pada masa kini, ibu yang bekerjaya merasakan bahawa mereka tidak mampu mencapai piawaian yang telah ditetapkan oleh ibu-ibu mereka yang terdahulu. Ini kerana pada masa kini telah menjadi satu keperluan untuk mereka bekerja dan membantu suami untuk menambah pendapatan. Akibatnya mereka berasa gagal apabila mereka membandingkan diri mereka dengan nenek moyang mereka.

Lain pula bagi kaum lelaki, bapa kini dianggap telah melebihi tahap piawaian bapa-bapa mereka yang terdahulu kerana dahulunya bapa tidak sepatutnya melibatkan diri dalam menguruskan rumahtangga.

Kaum lelaki masa kini berasa yang mereka telah melakukan lebih daripada yang sepatutnya, manakala kaum wanita yang bekerja pula merasakan mereka hanya mampu memenuhi separuh daripada ciri-ciri ibu mereka.

Dalam pada itu, super mum berhadapan dengan dilema yang besar apabila dia terpaksa membuat keputusan antara keperluan keluarganya atau masa depan kerjaya. Sama ada perlu memohon untuk tawaran kerja yang lebih bagus dan terpaksa meninggalkan keluarga, ataupun meninggalkan kerjaya sehingga anak-anak menjadi dewasa. Dalam keadaan tersepit begini biasanya super mum terpaksa menolak tawaran kerja tersebut hanya kerana tidak mendapat sokongan suami.

Sebuah artikel yang ditulis dalam The Malay Mail bertarikh 20 Disember 2012 telah mengetengahkan dedikasi yang ditunjukkan oleh seorang ibu yang telah menghabiskan masa selama 4 tahun untuk menemani anak lelakinya yang berumur 25 tahun yang mengidap penyakit cerebral palsy atau lumpuh pada bahagian otak, masalah pendengaran dan juga berkerusi roda semata-mata untuk melihat anak tersebut berjaya mendapatkan segulung ijazah. Ibu tersebut telah diberi penghargaan kerana sifatnya yang tidak mementingkan diri dan sanggup meninggalkan kerjayanya untuk menjadi penterjemah kepada anaknya yang hanya mampu memahamibahasa isyarat.

Kes yang dilaporkan di atas adalah salah satu contoh pengorbanan yang dilakukan oleh seorang ibu yang dipanggil super mum kepada keluarganya. Dapatkah anda bayangkan dilema yang dihadapi oleh super mum tersebut apabila dia terpaksa meninggalkan anak-anaknya yang lain di rumah semasa dia menemani anak lelakinya ke Universiti? Bolehkan anda bayangkan pada pukul berapa dia bangun tidur setiap hari untuk memasak dan menyiapkan semua kerja-kerja rumah supaya dia boleh sampai ke kelas tepat pada masanya?

Berapa kerapkah anda melihat super mum yang terpaksa meninggalkan tempat kerja lebih awal hanya untuk membawa anaknya yang sakit berjumpa dengan doktor atau menghadiri perjumpaan ibu bapa di sekolah? Jauh di sudut hati mereka, mereka sentiasa mahu pulang dari tempat kerja tepat jam 5.00 petang supaya anak mereka tidak akan menjadi anak yang terakhir dijemput pulang dari pusat asuhan.

Sering kali komitmen seorang super mum terhadap kerjayanya dipersoalkan apabila dia lebih mengutamakan keluarga berbanding kerjayanya. Malah lebih menyedihkan apabila tugas keduanya bermula sejurus sahaja tugasannya di tempat kerja selesai. Dia perlu menjemput anak-anak pulang daripada sekolah atau pusat asuhan, mengemas rumah, menyediakan makan malam, mencuci pinggan mangkuk, menghantar anak-anak ke pusat tuisyen, membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah dan pelbagai lagi.

Menjadi seorang super mum bukanlah sesuatu yang mudah. Jika super mum diberi pilihan, percayalah tiada seorang pun yang mahu menjadi super mum. Namun realitinya, dalam keadaan ekonomi masa kini wanita perlu bekerja supaya dapat membantu suaminya menyediakan kelengkapan hidup yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Kesenangan dan keselesaan hidup ini hampir mustahil untuk dikecapi dengan hanya satu sumber pendapatan sahaja. Sebagai seorang wanita yang mempunyai sindrom super mum dia perlu mempunyai penjagaan diri yang baik agar dapat mengurangkan stres yang dialaminya. Ibu-ibu seperti ini perlu mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang dapat membantu mereka untuk mengurangkan stres dan mengembalikan semula tenaga agar dapat mencapai jati diri yang tinggi dan kesihatan mental yang baik.

 Sumber: Google

 

Semakan Akhir : 6 Januari 2017
Penulis / Penterjemah : Pn. Suraya banu bt. Sallehudin
Akreditor : Tn. Hj. Hairol b. Abdul Rahman