Home > Ubat & Anda > Kosmetik > Hydroquinone dalam sediaan kosmetik

Hydroquinone dalam sediaan kosmetik

Pengenalan

Hydroquinone hanya dibenarkan untuk produk kosmetik sediaan kuku palsu bagi kegunaan professional sahaja. Hydroquinone atau campuran bersama p-hydroxyanisole berfungsi sebagai penstabil di dalam produk sediaan kuku palsu dan had kepekatan maksimum yang dibenarkan adalah sehingga 0.02% selepas dicampur. Di samping itu, produk kosmetik yang mengandungi hydroquinone perlu dielakkan daripada terkena kulit dan amaran tersebut perlu dinyatakan dengan jelas pada label.

Oleh yang demikian, lain-lain produk yang mengandungi hydroquinone adalah dikawal sebagai produk farmaseutikal dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana produk tersebut hanya boleh digunakan di bawah pengawasan professional kesihatan sahaja.

Hydroquninone1

Salah guna hydroquinone di dalam produk kosmetik

Kegunaan hydroquinone di dalam produk kosmetik seringkali dikaitkan dengan produk pencerah kulit muka atau merawat masalah pigmentasi. Memandangkan produk kosmetik tidak boleh mengandungi hydroquinone maka mana-mana produk kosmetik yang dikesan mengandungi hydroquinone adalah dikategorikan sebagai produk yang dicampurpalsu. Produk kosmetik yang dicampurpalsu adalah menyalahi garispanduan dan peraturan yang ditetapkan.

Lazimnya, sesuatu produk dicampurpalsu bertujuan untuk membuktikan keberkesanan produk. Apabila pengguna menggunakan produk yang dicampurpalsu mereka akan dapat merasa kesan yang dijanjikan dalam masa yang singkat dan seterusnya menyebabkan mereka akan kerap membeli produk tersebut. Ini merupakan suatu teknik pemasaran syarikat yang tidak bertanggungjawab. Sebagai sebuah agensi di bawah KKM yang mengawal produk kosmetik di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) sentiasa memantau produk kosmetik di pasaran dan menjalankan pengujian ke atas produk kosmetik secara berterusan untuk memastikan keselamatan dan kualiti produk yang berada di pasaran. Produk kosmetik yang dikesan dicampurpalsu akan dibatalkan notifikasi dan produk akan dipanggilbalik daripada pasaran.

Penggunaan produk yang mengandungi hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan pelbagai kesan mudarat. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif. Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) dan proses ini boleh menyebabkan berkurangnya perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya di mana ia boleh meningkatkan risiko kanser kulit. Penggunaan produk ini dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan kulit menjadi hitam seperti tompok-tompok apabila terdedah kepada cahaya matahari. Keadaan ini dikenali sebagai exogenous ochronosis dan kesannya mungkin berkekalan serta amat sukar dirawat.

Hydroquninone2

Peranan Pengguna

Pengguna dinasihatkan untuk mencari maklumat yang betul sebelum membeli sesuatu produk kosmetik dan tidak membeli atau menggunakan produk kosmetik daripada sumber yang meragukan seperti dibeli dari pasar malam, kaki lima atau belian atas talian (online). Di samping itu, pengguna juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan dan sebarang bentuk promosi yang membuat tuntutan yang melampau serta menjanjikan kesan positif dalam masa yang cepat.

Pengguna dan orang awam boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik di laman sesawang rasmi BPFK iaitu www.bpfk.gov.my sebelum membeli sesuatu produk kosmetik di pasaran. Senarai terkini produk kosmetik yang diuji dan dikesan mengandungi bahan terlarang seperti hydroquinone juga boleh disemak pada laman sesawang yang sama.

Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini akibat penggunaan produk kosmetik atau mensyaki produk yang dicampurpalsu, laporan atau aduan boleh dibuat kepada BPFK dengan menghubungi talian 03-788355537/5532 atau emailkan kepada kosmetik@bpfk.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Rujukan

  1. Cosmetic Ingredient Review, Amended Safety Assessment of Hydroquinone as Used in Cosmetics http://www.cir-safety.org dilayari pada 23/6/2014
  2. Guidelines for Control of Cosmetics Products in Malaysia, Mei 2009 (rev06)
  3. Senarai Racun Berjadual. http://www.pharmacy.gov.my/ dilayari pada 16/2/2015
  4. Understanding Black Skin: Hyperpigmentation and Dark Marks. http://www.changemagazineonline.com/understanding-black-skin-hyperpigmentation-and-dark-marks/ dilayari pada 16/2/2015
Semakan Akhir : 24 Jun 2015
Penulis : Nurhirza bt. Shaiful Yamin
Akreditor : Noor Hidayah bt. Mohd Nor