Home > Dewasa > Hubungkait Antara Ujian-Ujian Biokimia & Penyakit

Hubungkait Antara Ujian-Ujian Biokimia & Penyakit

Apakah yang dimaksudkan dengan ujian-ujian biokimia?

Ujian biokimia merupakan antara satu bidang ujian yang dilakukan di makmal hospital atau klinik kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatan individu. Keputusan ujian biokimia digunakan oleh pengamal perubatan untuk melakukan diagnosis, prognosis dan pemantauan sesuatu penyakit.

Apakah jenis-jenis ujian yang terlibat?

Antara ujian rutin yang dijalankan adalah seperti :

  • Ujian Fungsi Ginjal ( Renal Profile Test )
  • Ujian Profil Lipid ( Lipid Profile Test )
  • Ujian Glukosa ( Glucose Test )
  • Ujian Fungsi Hati ( Liver Function Test )

Ujian Fungsi Ginjal

Ginjal berfungsi mengawal keseimbangan elektrolit seperti sodium dan potassium serta acid-base di dalam tubuh. Ia juga mengawal tekanan darah dan terlibat di dalam pembuangan bahan-bahan kumuh melalui urin dan menyerap semula bahan-bahan yang diperlukan oleh badan . Ginjal juga menapis produk metabolisme tubuh seperti urea dan kreatinin. Parameter yang diuji di dalam ujian fungsi ginjal ialah sodium , potassium, urea dan kreatinin. Sodium adalah elektrolit utama di dalam pengawalan air di dalam tubuh. Tiada persedian khas diperlukan dan darah pesakit boleh di ambil pada bila-bila masa untuk menjalankan ujian tersebut.

Julat normal keputusan ujian bagi sodium adalah di antara 135 – 145 mmol/l. Hipernatraemia adalah keadaan di mana paras serum sodium melebihi julat normal , manakala hiponatraemia adalah keadaan apabila paras serum sodium kurang dari 135 mmol/l.

Julat normal keputusan ujian potassium adalah di antara 3.3 – 5.3 mmol/l. Paras serum potassium yang tinggi di dalam darah di panggil hiperkalaemia. manakala hypokalaemia pula adalah keadaan di mana paras serum Potassium rendah daripada julat normal.

Urea dan kreatinin merupakan penanda utama di dalam fungsi ginjal. Urea merupakan produk metabolisma protein manakala kreatinin merupakan produk spesifik bagi metabolisma otot. Julat normal bagi urea adalah sekitar 2.5 – 8.0 mmol/l , manakala bagi kreatinin pula adalah 62 – 106 umol/l (lelaki) dan 44 – 80 umol/l (wanita) .

Ujian Profail Lipid

Ujian Profail Lipid merangkumi :

  • Trigliserida
  • Kolesterol
  • LDL (low-density lipoprotein cholesterol)
  • HDL (high-density lipoprotein cholesterol)

Trigliserida

Trigliserida adalah sejenis lemak yang berada didalam tubuh badan. Sebahagian daripadanya dihasilkan oleh hati dan sebahagian lagi diperolehi daripada makanan. Paras trigliserida yang tinggi meningkatkan risiko penyakit arteri koronari .

Antara faktor-faktor yang boleh meningkatkan paras trigliserida adalah, kurang aktiviti fizikal,merokok, penggunaan alkohol yang berlebihan, pengambilan diet karbohidrat yang tinggi, pengambilan ubat dan beberapa jenis penyakit serta kecelaruan genetik. Julat normal bagi trigliserida adalah diantara 0.5 – 1.8 mmol/l

Kolesterol

Kolestrol merupakan sejenis molekul lipid yang berada di dalam darah dan sel tubuh. Ianya dihasilkan oleh hati dan juga diperolehi daripada makanan yang di ambil. Ia diperlukan untuk proses metabolisme tubuh seperti membantu pembentukan sel baru dan hormon. Walau bagaimanapun, kolestrol yang berlebihan akan mengakibatkan salur darah tersumbat dan meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.Paras kolestrol yang tinggi di dalam darah di panggil hiperkolesterolemia. Paras julat yang normal bagi kolesterol adalah diantara 3.9 – 5.5 mmol/l.

LDL

Low density lipoprotein (LDL) merupakan sejenis kolestrol dimana ianya mengandungi 75 % kolesterol dan hanya sedikit protein. LDL berperanan untuk mengangkut kolesterol yang diserap ke seluruh tubuh. Paras LDL yang berlebihan akan mengakibatkan pengumpulan lemak di dinding arteri. LDL juga dikenali sebagai kolesterol jahat. Julat normal bagi LDL adalah < 3.3 mmol/l.

HDL

High-density lipoprotein (HDL), pula dikenali sebagai kolesterol baik. HDL berperanan untuk membuang kolesterol yang berlebihan dari sel dan dinding arteri serta membawa kolesterol kembali ke hati untuk dibuang. Lebih tinggi paras HDL, ianya akan mengurangkan risiko penyakit jantung. Julat normal bagi HDL adalah diantara 1.0 – 2.2 mmol/l

Ujian Glukosa

Ujian glukosa dilakukan bagi mengetahui paras gula di dalam darah dan ianya penting bagi pesakit diabetes. Terdapat beberapa jenis pemeriksaan glukosa yang dijalankan.:

  • Fasting Blood Sugar (FBS) atau pemeriksaan glukosa ketika berpuasa. Ianya adalah pemeriksaan bagi mereka yang tidak mengambil apa-apa makanan atau minuman manis sekurang-kurangnya selama 8 jam . Julat normal adalah diantara 3.0 – 5.4 mmol/l .
  • Random Blood Sugar (RBS) atau pemeriksaan glukosa tanpa perlu berpuasa merupakan ujian rawak bagi mengesan kandungan gula sesesorang. Jika bacaan terlalu tinggi, berkemungkinan pesakit tersebut menghadapi masalah diabetes. Namun ianya bukan ujian pengesahan untuk mendiagnosa seseorang itu diabetis ataupun tidak. Julat normal adalah diantara 3.0 – 7.7 mmol/l.
  • 2-Hour Postprandial Glucose (2HPP) atau pemeriksaan glukosa 2 jam selepas makan. Ianya bertujuan untuk menguji keberkesanan pankreas mengeluarkan insulin bagi mengawal gula.
  • Oral Glucose Tolerance Test (OGTT) pula merupakan ujian pemeriksaan gula bagi diagnosis diabetes dikalangan wanita hamil dan orang biasa.Pesakit akan diminta untuk minum air gula ( Glukosa : 75 g di dalam 250 – 300 ml air ) dan darah akan diambil sebelum minum dan 2 jam selepas minum air gula.

Diabetes yang tidak dikawal, dalam jangkamasa panjang akan menyebabkan komplikasi mata , ginjal dan jantung.

Ujian Fungsi Hati

Ujian fungsi hati biasanya merujuk kepada beberapa ujian darah yang mengukur enzim tertentu atau protein didalam darah Ujian fungsi hati digunakan untuk membantu mengesan, menilai dan memantau penyakit hati atau kerosakan pada hati.

Secara amnya, ujian fungsi hati membantu menilai kesihatan keseluruhan fungsi hati dan ianya juga dapat menunjukkan penyakit lain, seperti kekurangan zat makanan atau penyakit tulang.

Mengapa Perlu Melakukan Ujian Fungsi Hati?

Ujian fungsi hati dilakukan :

  • Untuk mengesan jangkitan hati, seperti hepatitis
  • Untuk memantau perkembangan penyakit seperti hepatitis virus atau alkohol dan menentukan kesan rawatan yang dilakukan.
  • Untuk mengukur tahap sesuatu penyakit, terutama sirosis
  • Untuk memantau kemungkinan kesan-kesan sampingan dari ubat-ubat tertentu

Ujian fungsi hati mengukur paras enzim tertentu dan protein dalam darah Perbezaan tinggi atau lebih rendah daripada tahap normal adalah menunjukkan masalah hati. Beberapa ujian fungsi hati yang umum meliputi:

  1. Alanine transaminase (ALT)

    Merupakan sejenis enzim yang terdapat di dalam sel hati, ALT membantu tubuh dalam metabolisme protein. Biasanya, tahap ALT dalam darah adalah rendah. Apabila hati rosak, ALT akan dilepaskan dalam aliran darah dan paras ALT akan meningkat.Julat normal adalah diantara 0 – 41 U/L .

  2. Aspartate transaminase (AST)

    AST merupakan enzim yang berperanan didalam metabolisma alanine dan asid amino. Peningkatan paras AST dapat menunjukkan kerosakan hati atau penyakit. Julat normal AST adalah di antara 10 – 35 U/L.

  3. Alkaline Phosphatase (ALP)

    ALP adalah sejenis enzim didalam hati dan saluran hempedu, serta beberapa rangkaian lain. Paras ALP yang tinggi dari paras normal menunjukkan berlakunya kolestasis. Julat normal adalah di antara 35 – 104 U/L.

  4. Albumin dan Total Protein

    Paras albumin & protein yang dihasilkan oleh hati menunjukkan keberkesanan fungsi hati untuk menghasilkan protein yang diperlukan oleh tubuh untuk melawan jangkitan dan melakukan fungsi- fungsi yang lain. Lebih rendah daripada tahap normal boleh menunjukkan kerosakan hati atau penyakit. Julat normal bagi albumin adalah diantara 35 – 52 g/L bagi dewasa, manakala julat normal bagi Total Protein adalah 66 – 87 g/L.

  5. Total Bilirubin

    Bilirubin terhasil daripada pemusnahan / pemecahan sel darah merah. Bilirubin dimetabolisma di hati dan dikumuhkan ke dalam najis. Peningkatan paras bilirubin dapat menunjukkan kerosakan hati atau penyakit berkaitan hati. Peningkatan paras bilirubin juga boleh di lihat dengan mata kasar iaitu kulit dan mata menjadi kuning. Julat normal total bilirubin adalah diantara 0.0 – 17.1 umol/L.

 

Semakan Akhir : 19 November 2013
Penulis : Asmashah bt. Arshad
Akreditor : Rusli bin Ibrahim

 

(Visited 1,245 times, 1 visits today)