A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

bleeding gum1

Keadaan pendarahan gusi adalah tidak sihat, oleh itu ia tidak sepatutnya diabaikan oleh semua. Pendarahan gusi boleh disebabkan oleh faktor yang pelbagai (multifaktorial). Ianya boleh berlaku pada peringkat permulaan jangkitan gusi seperti gingivitis, atau sebagai tanda kepada masalah-masalah kesihatan yang lebih serius.

Faktor-faktor Risiko dan Penyebab Kepada Gusi Berdarah

Faktor-faktor Risiko dan Penyebab Kepada Gusi Berdarah

Pendarahan gusi boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor risiko dan penyebab:

  1. Pendarahan Gusi Sebagai Tanda Umum Penyakit Periodontal (Penyakit Gusi)Pendarahan gusi adalah salah satu tanda penting keradangan gusi. Punca paling kerap pendarahan gusi ialah kebersihan mulut yang tidak memuaskan, yang mana berkaitan rapat dengan penyakit periodontal. Di Malaysia, penyakit periodontal telah terbukti mempunyai kadar kejadian yang tinggi, melibatkan sebahagian besar rakyat Malaysia iaitu 94.0% atau 14.4 juta penduduk di negara ini (NOHSA, 2010). Setakat ini, penyakit periodontal yang paling kerap berlaku ialah gingivitis dan periodontitis.

    Plak Gigi dan Penyakit Periodontal

    Punca utama pendarahan gusi adalah pembentukan plak bakteria setiap hari pada garis gusi dan kawasan celahan gigi (antara gigi), yang biasanya disebabkan oleh kebersihan mulut yang tidak memuaskan.

    Plak gigi ialah filem bakteria yang sentiasa terbentuk secara semulajadi pada semua permukaan gigi dan pada bahagian garis gusi. Air liur manusia mengandungi berjuta-juta bakteria, yang melekat pada permukaan gigi dan cepat membiak bagi membentuk plak gigi. Oleh itu, penyelidik telah menakrifkan plak gigi sebagai komuniti mikroorganisma patogenik (pembawa penyakit) yang pelbagai yang ditemui pada permukaan gigi sebagai biofilem pergigian (Marsh, 2004).

    Jika plak tidak dibersihkan, bakteria boleh merebak ke bawah garis gusi di mana masalah-masalah gusi yang lebih serius boleh bermula. Kehadiran plak bakteria serta produk-produk keradangan yang dihasilkannya di dalam garis gusi akan merangsang sistem pertahanan badan semulajadi yang mensasarkan ke arah kawasan tersebut yang telah dijangkiti. Kesan daripadanya, peningkatan bekalan darah ke kawasan tersebut sering berlaku, dan ini sering dikaitkan dengan tanda-tanda dan gejala-gejala keradangan termasuklah gusi yang mudah berdarah, kemerahan dan bengkak gusi.

    Plak yang tidak dibersihkan dengan berkesan akan mula mengeras membentuk kalkulus atau apa yang dipanggil tartar dalam masa beberapa hari. Tartar adalah terbentuk apabila kalsium dalam air liur bergabung dengan plak bagi menjadikan ia keras. Di Malaysia, kajian telah menunjukkan bahawa kehadiran tartar adalah sebagai kekerapan tertinggi (41.4%) pada semua keadaan gusi di kalangan dewasa Malaysia (NOHSA, 2010).

    Faktor-faktor pemerangkap plak juga boleh bertindak sebagai faktor risiko kepada pendarahan gusi, kerana ia boleh mengubah suai atau mempengaruhi kepada penyakit gusi yang berpunca daripada plak (Blieden, 1999; Ishikawa et. al., 1999). Faktor-faktor setempat ini boleh merangkumi:

    Plak Gigi dan Penyakit Periodontal

    Di peringkat awal penyakit periodontal, plak gigi akan menyebabkan keadaan yang dipanggil jangkitan gusi berkaitan dengan plak atau gingivitis disebabkan oleh plak (Mariotti, 1999). Ianya boleh berlaku terhadap individu pada semua peringkat umur, dengan kebersihan mulut yang tidak memuaskan.

    Pada sesetengah individu, gingivitis boleh bertindak sebagai pelopor kepada periodontitis. Tindakbalas keradangan gusi yang ketara terhadap plak bakteria, dan ketiadaan rawatan pada individu-individu yang berisiko ini, akan menyebabkan pendarahan gusi yang berpanjangan berserta tanda-tanda penyakit periodontal yang lebih teruk akibat daripada perebakan penyakit secara berterusan kepada struktur-struktur penyokong gigi yang lain seperti tulang alveolar.

    penyakit periodontal

    Dalam penyakit periodontal peringkat teruk seperti periodontitis, keradangan akan merebak ke dalam struktur-struktur penyokong gigi yang menyebabkan kehilangan perlekatan klinikal, akibat dari kemusnahan lanjut tisu perantara dan tulang alveolar .

    CAL= clinical attachment loss
    Sumber: Color Atlas of Dental Hygiene

    *CAL: clinical attachment loss (kehilangan perlekatan klinikal)

  1. Pendarahan Gusi Berkaitan Dengan Faktor Sistemik dan Masalah Perubatan (Mariotti, 1999; Caton et. al., 1999; Holmstrup, 1999). Beberapa keadaan sistemik mungkin berkaitan atau ditunjukkan oleh tanda pendarahan gusi. Ini termasuk:
    • Penyakit gusi yang berkaitan dengan jangkitan virus (cth. Virus Herpes simplex dan Varicella-Zoster) atau kulat (cth. Candidiasis), dalam individu yang terjejas status imun seperti pesakit HIV.
    • Perubahan hormon: akil baligh, haid, kehamilan.

      bleeding-gum-disease

    Penyakit endokrin: penyakit periodontal berkaitan kencing manis.

    • Penyakit hematologi: leukemia, penyakit idiopathic thrombocytopenic purpura.
    • Malnutrisi: scurvy, gingivitis berkaitan kekurangan asid askorbik, kekurangan vitamin K.
    • Ubat-ubatan: gingivitis berkaitan ubat perancang keluarga, pembesaran gusi disebabkan oleh ubatan (cth. ubat-ubatan phenytoin, nifedipine atau cyclosporine) di mana pembesaran gusi akan menggalakkan pengumpulan plak gigi dan kalkulus di dalam poket gusi.
  1. Kecederaan Mekanikal pada Gusi (Holmstrup, 1999):Pendarahan gusi juga boleh disebabkan oleh kecederaan fizikal pada tisu gusi. Punca kecederaan mungkin termasuk:
    • Prosedur-prosedur pembersihatan mulut yang tidak betul: teknik-teknik pemberusan atau pemflosan yang salah, daya pemberusan/pemflosan yang kuat
    • Pemilihan alat kebersihan mulut secara tidak tepat: berus gigi berbulu keras, saiz berus interdental (celahan gigi) yang salah, penggunaan pencungkil gigi secara tidak betul
    • Perlekatan atau kecederaan oleh benda-benda asing (cth. tulang ikan, bulu berus gigi) yang menyebabkan jangkitan gusi dan keradangan
    • Tampalan, gigi palsu atau lain-lain peralatan pergigian yang tidak sempurna
    • Kecederaan gusi yang disengajakan: tabiat kronik menggigit kuku, menghisap jari atau menghisap objek

Rawatan

Sebaik sahaja anda menyedari bahawa gusi anda mudah berdarah, maka anda perlu berjumpa doktor gigi dengan segera untuk mengetahui punca-punca yang mungkin, sama ada anda mempunyai penyakit periodontal atau sebarang masalah perubatan lain yang berkaitan. Pengesanan awal adalah sangat penting kerana bergantung kepada faktor penyebabnya, pendarahan gusi mungkin boleh menjadi sesuatu yang dapat dirawat dalam masa seawal 2 minggu. Walau bagaimanapun, jika jangkitan teruk adalah sebagai punca, maka rawatan lanjut adalah diperlukan.

Rawatan periodontal (rawatan gusi) akan dijalankan berdasarkan jenis kes dan keterukannya. Fasa-fasa rawatan termasuk:

rawatan

Dalam fasa pra-rawatan, sebaik sahaja sejarah perubatan dinilai, rujukan kepada doktor perubatan untuk rawatan lanjut masalah perubatan berkaitan adalah diperlukan untuk menstabilkan faktor sistemik.

Kawalan plak yang betul merangkumi pemberusan berkesan dan pembersihan celahan gigi secara menyeluruh adalah amat penting untuk menanggalkan semua plak dan sisa makanan yang bertanggungjawab kepada keradangan gusi. Walau bagaimanapun, setelah tartar terbentuk akibat daripada plak sedia ada yang telah lama tidak dibersihkan, ianya hanya boleh dikeluarkan melalui penskaleran profesional dan profilaksis di klinik pergigian.

Selain itu, terapi berkaitan punca adalah sangat penting bagi pembetulan faktor-faktor pemerangkap plak serta penyebab-penyebab lain yang berkaitan dengan kecederaan mekanikal pada gusi atau faktor-faktor yang menyebabkan keradangan gusi.

Dalam kes gingivitis, keadaan ini boleh dikembalikan kepada normal (berbalik) melalui penjagaan higin mulut yang berkesan di rumah setiap hari dan melalui pencucian profesional, tanpa memerlukan prosedur-prosedur rawatan periodontal yang kompleks.

Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang lebih teruk seperti periodontitis, selain penskaleran dan pendebridmen akar, prosedur pembedahan periodontal seterusnya akan dijalankan dalam fasa pembetulan berdasarkan jenis dan keterukan kes.

Sebaik sahaja keadaan gusi menjadi stabil, lawatan susulan di bawah fasa pengekalan adalah disyorkan.

Pencegahan

Ia adalah sangat penting untuk anda meneruskan rutin yang baik di rumah bagi penjagaan gigi dan gusi yang sihat. Untuk itu, cadangan kami untuk langkah-langkah pencegahan termasuklah:

  1. Memberus gigi secara kerap sekurang-kurangnya dua kali sehari, untuk menanggalkan sisa makanan dan plak antara gigi. Ini akan membantu mengekalkan gigi dan gusi yang sihat. Penggunaan bulu berus yang lembut dengan teknik pemberusan yang betul boleh mengelakkan kecederaan kepada gusi anda. Sekiranya gusi berdarah semasa memberus, ini bermakna gusi anda tidak sihat dan anda perlu memberus dan menggunakan floss dengan lebih berkesan, atau pembersihan gigi secara professional mungkin perlu dijalankan. Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor gigi atau pakar gusi untuk mengetahui teknik higin mulut yang betul.
  2. Pembersihan celah-celah gigi menggunakan flos dengan teknik yang betul diperlukan terutamanya di kawasan celahan gigi yang rapat sekurang-kurangnya sekali sehari. Ini kerana penggunaan berus gigi sahaja tidak dapat membersihkan kawasan celahan gigi kerana berus tidak dapat menembusi kawasan tersebut. Sekiranya anda mempunyai celahan gigi yang besar atau gigi yang jarang (terutamanya dalam pesakit yang menghidap penyakit periodontitis yang teruk), berus interdental perlulah digunakan.
  3. Penggunaan ubat kumur antiseptik sebagai tambahan kepada pembersihan gigi secara mekanikal (menggunakan berus gigi, flos dan berus interdental), dapat membantu untuk menyingkirkan kuman-kuman di kawasan yang tidak dapat dibersihkan dengan alatan tersebut.
  4. Makan makanan yang seimbang dan menghadkan pengambilan makanan di antara waktu makan utama untuk memastikan gusi dan gigi yang sihat. Selain itu, pengurangan kekerapan dan jumlah pengambilan gula juga dapat membantu dalam mengurangkan pembentukan plak.
  5. Tabiat merokok akan membahayakan hampir keseluruhan organ badan. Berhenti merokok dapat meningkatkan sistem pertahanan badan anda dan mengurangkan risiko penyakit-penyakit berkaitan merokok termasuklah penyakit gusi.
  6. Sentiasa berwaspada mengenai sebarang tanda-tanda amaran dan simptom-simptom masalah gusi seperti gusi kemerahan, berdarah, tidak selesa, perubahan bentuk gusi, penyusutan gusi, kehadiran nanah, gigi longgar, gigi yang telah berubah kedudukan dan nafas berbau. Pengesanan dan rawatan awal dapat mencegah perebakan penyakit dari menjadi lebih teruk.
  7. Sentiasa berjumpa doktor gigi anda (sekurang-kurangnya dua kali setahun) bagi perundingan mengenai keadaan kesihatan mulut, menjalankan pemeriksaan rutin serta mendapatkan rawatan lanjut bagi masalah gigi dan gusi anda. Ini adalah sangat penting bagi pengesanan awal sebarang masalah yang mungkin dihadapi dan untuk memastikan gigi dan gusi anda dalam keadaan sihat. Diagnosa lanjut ke atas masalah gusi juga hanya boleh disahkan bila anda berjumpa dengan doktor gigi atau pakar gusi. Walau apapun puncanya, adalah lebih baik untuk anda mendapatkan rawatan awal, untuk prognosis yang lebih baik.

Langkah pencegahan adalah cara yang terbaik untuk membantu anda mengekalkan kesihatan mulut. Lebih awal anda mencegah dan menangani masalah-masalah gusi, lebih tinggi peluang bagi anda mengekalkan gigi untuk seumur hidup. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Rujukan

  1. American Academy of Periodontology (2000). Parameter on Plaque-Induced Gingivitis. J Periodontol, 71(5), 851-852.
  2. Blieden, T. M. (1999). Tooth-related issues. Annals of Periodontology, 4(1), 91-96
  3. Caton, J. G., Williams, R., Zappa, U., Claffey, N., Greenwell, H., Mahanonda, R., Mariotti, A., Zackin, J. (1999). Consensus report: Dental plaque-induced gingival disease. Annals of Periodontology, 4(1), 18-19
  4. Flemmig, T. F. (1999). Periodontitis. Annals of Periodontology, 4(1), 32-37
  5. Holmstrup, P. (1999). Non-plaque-induced gingival lesions. Annals of Periodontology, 4(1), 20-29
  1. Ishikawa, I., McGuire, M. K., Mealey, B., Blieden, T. M., Douglass, G. L., Hallmon, W. W., Nevins, M., Polson, A. M.,Prato, G. P. P., Schallhorn, R. G., Wennstrom, J. L. (1999). Consensus report: Localized tooth-related factors that modify or predispose to plaque-induced gingival disease and periodonttis. Annals of Periodontology, 4(1), 97
  1. Mariotti, A. (1999). Dental plaque-induced gingival disease. Annals of Periodontology, 4(1), 7-17
  2. Marsh, P. D. (2004). Dental plaque as a microbial biofilm. Caries Res, 38, 204–211
  3. Oral Health Division, MOH. (2010). National oral health survey of adults 2010 (NOHSA 2010). Kuala Lumpur: Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.
  1. Wolf H. F, Hassell, T. M., (2006). Color Atlas of Dental Hygiene. New York: Thieme

 

Semakan Akhir : 25 Ogos 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Marina bt. Mubin
Akreditor : Dr. Yuhaniz bt. Ahmad Yaziz

Artikel Berkaitan

Bengkak Muka

Apa itu bengkak muka? Bengkak muka adalah pembesaran atau pengembangan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,030,981

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia