Gout

Pengenalan

Gout adalah sejenis penyakit disebabkan berlebihan asid urik di dalam badan.

  • Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin.
  • Badan kita membuang bahan kumuhan ini melalui air kencing (urin).
  • Bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan berkumpul di dalam sendi.
  • Ia adalah salah satu penyakit yang paling lama dihidapi manusia sejak zaman dahulu kala lagi.
  • Pada masa dahulu gout boleh menyebabkan kemudaratan dan kecacatan, kini dengan kemajuan dalam bidang perubatan, gout boleh dikawal.
  • Ia sering dihidapi oleh kaum lelaki dalam lingkungan usia antara 30 hingga 60 tahun.
  • Ia jarang sekali dihidapi oleh kaum wanita sebelum putus haid.

Tanda Gout

  • Gout lazimnya menyerang ibu jari kaki.
  • Ibu jari kaki menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit.
  • Serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba, kerap kali semalaman.
  • Sendi yang diserang menjadi bisa sehinggakan geseran dengan selimut pun begitu menyeksakan.
  • Sakit mungkin berlarutan berhari-hari, atau sekurang-kurangnya 1-2 minggu untuk reda jika tidak dirawat.
  • Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan.
  • Gout boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.

Komplikasi

  • Asid urik boleh berkumpul di bawah kulit membentuk benjolan di panggil ’tophi’
  • Dalam saluran urinari (air kencing), ia boleh berkumpul membentuk ’batu karang’.
  • Penghidap gout juga sering menghidapi penyakit atau masalah kesihatan lain seperti:
    • Kegemukan
    • Darah tinggi
    • Hiperlipidemia
    • Diabetes

Rawatan

Gout adalah suatu penyakit yang boleh sembuh tetapi anda harus mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya.

Rawatan serangan akut

  • Rehatkan sendi semasa serangan gout.
  • Ubat-ubatan anti-radang berkesan untuk mengurangkan sakit dan keradangan sendi. Walaupun ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit perut. Jika digunakan dalam jangka masa yang singkat, kesan sampingan jarang berlaku.
  • Ubatan lain seperti colchicine juga boleh diambil. Walaupun ia amat berkesan, ia boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit (Peringatan: Colchicine hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor)
  • Steroid (Peringatan: Steroid hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor)
    • Lazimnya cecair steroid disuntik terus ke sendi yang radang
    • Pil steroid boleh diambil dalam jangka masa yang pendek jika penghidap tidak boleh mengambil ubat-ubatan yang lain. Walaubagaimanapun, ianya tidak boleh diambil berpanjangan.
  • Sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit ini tidak akan melarat.

Rawatan Jangka Panjang

Oleh kerana gout disebabkan oleh asid urik yang berlebihan dalam badan, anda haruslah mengelakkan faktor-faktor yang boleh menambahkan paras asid urik.

  • Menjaga berat badan – kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan
  • Mengelakkan minuman keras
  • Pemakanan – elakkan pengambilan makanan yang mengandungi purin yang tinggi
  • Sesetengah daging binatang, makanan laut, kekacang mengandungi purin yang tinggi.

Pemakanan

Di bawah disenaraikan makanan yang kaya dengan purin:.

ELAKKAN MAKAN KURANGKAN MAKAN
  • Organ dalaman seperti hati, paru-paru, ginjal dan otak
  • Ikan bilis, kembung, sardin
  • Daging cincang
  • Ekstrak daging, ragi (seperti Marmite) dan kiub rebusan daging
  • Makanan bercengkerang seperti ketam, udang dan kerang
  • Asparagus, bunga kobis, cendawan dan bayam
  • Peanuts, lentil, beans and peas
  • Poultry
  • Roti jagung dan bijirin

Pencegahan

  • Ubah cara hidup anda untuk memastikan paras asid urik yang normal
  • Amalkan cara hidup sihat untuk mengelak dari menghidap penyakit-penyakit yang berhubungkait dengan gout
  • Apabila mengambil allopurinol, ianya perlu diambil secara berterusan.
  • Jangan mengubah atau menghentikan dos allopurinol semasa serangan gout.
  • Minum banyak air

Benarkah Gout Penyakit Orang Kaya?

Tidak, gout boleh menyerang sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, meminum alkohol dan pemakanan berlebihan boleh dikaitkan dengan penyakit gout.

Adakah Gout Boleh Diwarisi?

  • Gout boleh diwarisi tetapi faktor persekitaran juga memainkan peranan
  • Gout adalah penyakit yang boleh dirawat. Pada zaman dahulu, gout merupakan salah satu penyebab kerosakan dan kecacatan sendi. Pada hari ini, dengan rawatan yang baik, ianya boleh dikawal.
  • Adalah penting untuk mengamalkan cara hidup sihat.

Jika anda memerlukan lebih maklumat lanjut tentang gout, layarilah laman web Arthrits Foundation Malaysia di www.afm.org.my

Semakan Akhir : 01 Mei 2012
Penulis : Dr. Heselynn Hussein
Penyemak : Dr. Heselynn Hussein

 

(Visited 554 times, 1 visits today)