Home > Dewasa > Perubatan Kecemasan > Gigitan Haiwan

Gigitan Haiwan

Pengenalan

Gigitan haiwan merupakan kejadian yang kerap berlaku dalam kehidupan harian dan di Malaysia gigitan haiwan yang paling kerap berlaku adalah gigitan anjing. Gigitan haiwan lain seperti kucing, monyet, dan tikus juga ada dilaporkan. Pada kebiasaannya haiwan yang mengigit adalah merupakan haiwan peliharaan. Kadangkala gigitan haiwan ini boleh mendatangkan kesan mudarat jika rawatan yang sewajarnya tidak diberikan dan pesakit tidak berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat perubatan. Mulut haiwan kerap mempunyai bakteria-bakteria yang boleh mendatangkan jangkitan kuman terutamanya apabila gigitan yang berlaku adalah besar dan pesakit mempunyai penyakit lain seperti kencing manis.

Terdapat beberapa maklumat yang penting yang perlu diketahui oleh doktor semasa mengendalikan kes gigitan haiwan seperti masa dan tempat kejadian berlaku, bilangan dan jenis haiwan yang mengigit, keadaan haiwan sebelum gigitan berlaku dan bagaimana gigitan haiwan berlaku, dan status imunisasi haiwan dan mangsa. Maklumat ini penting untuk menentukan jenis rawatan yang perlu diberi kepada mangsa.

Rawatan Awal Di Rumah

Gigitan haiwan boleh dibahagikan mengikut beberapa keadaan dan rawatan yang diberikan juga berbeza berdasarkan kepada keadaan tersebut. Salah satu daripadanya adalah aspek fizikal gigitan haiwan tersebut kepada mangsa. Jika luka yang terjadi akibat gigitan haiwan ini adalah kecil dan pada permukaan kulit sahaja, ia boleh diuruskan dengan mencuci bahagian luka itu dengan air yang banyak dan sabun. Luka perlu dibalut dan seterusnya berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Jika luka yang terjadi melibatkan kerosakan tisu yang besar dan dalam, mangsa juga dikehendaki untuk mencuci luka tersebut terlebih dahulu secepat mungkin menggunakan air yang banyak dan sabun. Selepas itu jika terdapat pendarahan, ia perlu dihentikan dengan membalut luka tersebut dengan kemas menggunakan kain yang bersih dan segera berjumpa doktor. Adakala gigitan haiwan boleh menyebabkan kepatahan kepada tulang dan bahagian yang patah ini perlu dibalut dan diampu.

Rawatan Lanjut

Pengurusan luka gigitan

Kesemua luka akibat kes gigitan haiwan akan dicuci semula untuk mengurangkan risiko berlakunya jangkitan kuman. Jika terdapat tisu yang terkoyak, ia akan dicuci dan dibiarkan terbuka terlebih dahulu selama beberapa hari sebelum luka tersebut dijahit. Ini untuk memudahkan proses mencuci luka tersebut dan untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman. Apabila doktor telah berpuas hati mengenai kebersihan luka yang dialami, luka tersebut akan dijahit semula. Doktor juga akan membuang tisu – tisu yang mati dan terkena jangkitan kuman sekiranya perlu. Kesemua luka akibat gigitan haiwan juga mempunyai risiko benda asing terdapat di dalam bahagian luka walaupun pada peringkat awalnya ia tidak kelihatan.

Pemberian suntikan immunisasi tetanus

Semua gigitan haiwan memerlukan suntikan immunisasi tetanus kerana gigitan haiwan dikategorikan sebagai berisiko untuk berlakunya tetanus. Bagi mereka yang telah mempunyai imunisasi tetanus yang lengkap dan melebihi daripada 5 tahun, suntikan tetanus booster perlu diberikan. Bagi mereka yang tidak pernah mendapatkan suntikan imunisasi tetanus ataupun mempunyai status imunisasi tetanus yang tidak diketahui mereka akan diberikan suntikan tetanus mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Pemberian antibiotik

Mulut haiwan mengandungi pelbagai jenis bakteria. Antara bakteria yang sering ditemui adalah dari spesis pastuerella, streptococcus, dan staphylococcus.  Doktor akan menentukan keperluan pemberian antibiotik bergantung faktor-faktor seperti tempat gigitan, haiwan yang menggigit, keterukan kerosakkan tisu, dan juga faktor-faktor lain seperti usia, dan masalah kesihatan yang lain. Sebagai contoh, rawatan antibiotik  adalah diperlukan bagi kebanyakkan kes gigitan kucing dan anjing akibat daripada risiko jangkitan yang tinggi. Antara antibiotik yang biasa diberikan bagi gigitan haiwan adalah Amoxycillin/asid klavulanik. Bagi mereka yang mengalami alahan kepada antibiotik daripada jenis Penicillin antibiotik seperti Azithromycin boleh diberikan.

Pencegahan Rabies

Rabies merupakan sejenis penyakit zoonotik dan dikenali sebagai penyakit anjing gila dalam masyarakat kita. Penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan  sejenis virus dikenali sebagai Lyssavirus.  Di Malaysia anjing merupakan satu-satunya haiwan yang boleh membawa penyakit ini dan haiwan mamalia selain daripada anjing tidak boleh membawa penyakit ini kerana haiwan lain hanya merupakan ‘hos akhir’ sahaja dan tidak seperti anjing yang merupakan haiwan ‘reservoir’ bagi virus penyakit Rabies.

Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai risiko yang rendah bagi penyakit rabies oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ini adalah disebabkan di Malaysia kitaran penyakit rabies adalah secara ‘urban cycle’ dan melibatkan  anjing sahaja sebagai vektor. Negara-negara lain seperti di Afrika dan Amerika Utara dikategorikan sebagai negara yang berisiko tinggi dan sederhana untuk  penyakit rabies kerana selain mempunyai ‘urban cycle’, negara ini juga mempunyai ‘sylvatic cycle’ di mana haiwan liar seperti kelawar, musang, dan rakun juga boleh menularkan penyakit ini dan menyebabkan  kawalan penyakit rabies menjadi  sukar.

Malaysia telah diisytiharkan bebas dari Rabies pada tahun 2012 oleh OIE, akan tetapi penyakit ini kembali menular di Malaysia selepas terdapat kes gigitan anjing yang positif Rabies pada Ogos 2015 di Perlis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia telah mewartakan  tiga buah negeri iaitu Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang sebagai negeri wabak bagi penyakit Rabies pada September 2015.

Terdapat dua fasa bagi anjing yang mengalami penyakit Rabies iaitu fasa anjing berkeadaan gila dan fasa anjing berkeadaan dungu. Semasa fasa anjing berkeadaan gila ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti anjing berkeadaan agresif, merayau-rayau, dan mengigit objek yang bergerak secara rawak walaupun apabila tidak diganggu. Semasa fasa dungu anjing akan mula mengalami kemurungan, tidak aktif, serta air liur keluar  secara berlebihan dan seterusnya mengalami kelumpuhan. Kebiasaannya anjing akan menggigit semasa berkeadaan gila.

Luka akibat gigitan anjing akan dikategorikan mengikut 3 kategori dan rawatan serta vaksinasi selepas pendedahan (post-exposure prophylaxis) adalah ditentukan mengikut kategori ini :

Kategori

Jenis luka atau pendedahan oleh haiwan

Rawatan

I

1.Menyentuh  atau memberi makan haiwan. 2.Haiwan menjilat pada kulit yang tidak mengalami luka Tiada rawatan diperlukan

II

1.Haiwan mengigit dan menyebabkan luka calar tanpa sebarang pendarahan 2.Haiwan menjilat pada bahagian kulit yang mengalami luka yang terbuka Pemberian vaksinasi Rabies

III

1.Kontaminasi pada kulit mukosa oleh air liur haiwan. 2.Gigitan yang mengakibatkan luka serta pendarahan. Pemberian vaksin Rabies serta immunoglobulin Rabies

Pemberian vaksinasi Rabies selepas pendedahan bagi mereka yang mempunyai immunisasi yang normal adalah sebanyak 4 dos suntikan iaitu pada hari pertama, ketiga, ketujuh dan ke empat belas (0,3,7, 14). Bagi mereka yang  mempunyai immunisasi yang rendah seperti  pesakit yang mengambil ubat-ubat yang mengurangkan sistem pertahanan badan  iaitu steroid dan chloroquine, pesakit AIDS, leukimia, dan juga limfoma, akan memerlukan 5 dos suntikan vaksin iaitu hari pertama, ketiga, ketujuh, ke empat belas, dan pada hari ke dua puluh lapan (0,3,7,14,28). Bagi mereka yang pernah menerima suntikan vaksinasi Rabies akan memerlukan dua suntikan sahaja iaitu  pada hari pertama dan ketiga (0, 3). Oleh kerana Rabies boleh membawa maut, vaksinasi Rabies tidak mempunyai sebarang kontraindikasi dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja termasuk ibu mengandung dan juga kanak-kanak.  Bagi mereka yang mempunyai luka pada kategori III disamping pemberian vaksinasi Rabies, mereka juga memerlukan pemberian immunoglobulin Rabies sekiranya tarikh gigitan anjing adalah kurang dari tujuh hari. Immunoglobulin ini akan diberikan ditempat luka gigitan sebanyak mungkin dan  selebihnya akan diberi secara intramuskular berdasarkan dos yang telah ditentukan.

Apabila virus Rabies ini ditransmisikan kepada manusia selepas berlakunya gigitan anjing ia akan memasuki sistem saraf periferi dan seterusnya ke bahagian sistem saraf pusat dan akhirnya ke otak. Apabila virus Rabies telah sampai ke otak manusia, pesakit akan mula menunjukkan tanda-tanda seperti perubahan tingkah laku, hiperaktiviti, agresif, takut air, kelumpuhan, sawan, dan juga kesukaran bernafas. Sekirannya Rabies menjangkiti manusia kadar kematian adalah amat tinggi dan hampir pasti. Kebiasaannya pesakit akan mati selepas dua minggu mengalami koma.  Tiada rawatan khusus yang boleh diberikan kepada pesakit oleh itu langkah pencegahan adalah amat penting. Sehingga hari ini tidak terdapat kes Rabies yang berlaku pada manusia dilaporkan di Malaysia.

Apabila terdapat kes gigitan anjing pesakit perlu datang bagi mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan notifikasi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan dilakukan untuk tindakan susulan. Pegawai daripada JPV akan melakukan siasatan dan kuarantin bagi anjing tersebut sekiranya anjing tersebut merupakan anjing peliharaan. Aktiviti kawalan terhadap anjing liar juga turut dijalankan mengikut akta-akta sedia ada.

Rujukan

  1. Ball, V., & Younggren, B. N. (2007). Emergency management of difficult wounds: part I. Emergency medicine clinics of North America25(1), 101-121.
  2. World Health Organization. (2013). WHO Expert Consultation on Rabies. Second report. World Health Organization technical report series, (982), 1
  3. Goldstein, E. J. (1989). Management of human and animal bite wounds.Journal of the American Academy of Dermatology21(6), 1275-1279.
Semakan Akhir : 1 Ogos 2016
Penulis : Dr. Shamsul Anuar b. Asmee
Akreditor : Dr. Teo Aik Howe