A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gigi Sensitif

Gigi sensitif ialah rasa ketidakselesaan atau sakit pada gigi. Gigi sensitif berlaku apabila lapisan luar yang melindungi gigi, iaitu enamel atau cementum terhakis hingga menyebabkan pendedahan lapisan dentin.

Pengenalan

Gigi sensitif ialah rasa ketidakselesaan atau sakit pada gigi. Gigi sensitif berlaku apabila lapisan luar yang melindungi gigi, iaitu enamel atau cementum terhakis hingga menyebabkan pendedahan lapisan dentin. Dentin terdiri daripada lubang-lubang kecil yang dipanggil tubul. Di hujung tubul-tubul ini terkandung cabang saraf yang berasal dari pulpa gigi (pusat saraf gigi). Apabila lapisan dentin yang terdedah ini bersentuh dengan sesuatu yang sejuk contohnya, cabang saraf di dalam gigi akan distimulasikan dan ini menyebabkan kesakitan gigi sensitif.

Rasa ngilu atau sakit dirasakan apabila lapisan dalam gigi iaitu lapisan dentin disebabkan gusi yang menyusut terdedah kepada:

  • Pengambilan makanan atau minuman panas, sejuk, manis atau masam.
  • Memberus gigi.
  • Bernafas melalui mulut.

Kesakitan yang dirasai adalah bersifat tajam dan seketika.

Pendedahan akar gigi merupakan salah satu manifestasi/gejala penyakit gusi yang boleh menyebabkan gigi sensitif.

Gigi sensitif juga boleh disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

  • Memberus gigi terlalu kuat dengan teknik yang salah sehingga mencederakan gusi dan mendedahkan akar gigi. Memberus gigi dengan cara mendatar boleh mengakibatkan kengiluan gigi.
  • Penyakit gusi, iaitu penyakit yang menyerang gusi dan tulang yang menyokong gigi juga boleh menyebabkan gigi sensitif.  Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyusutan struktur tulang dan gusi seterusnya menyebabkan pendedahan akar gigi.
  • Pendedahan lapisan dentin yang disebabkan oleh kehausan permukaan gigi yang berlaku secara aktif.
  • Mengetap dan mengasah gigi boleh menghakis lapisan enamel dan mendedahkan lapisan dentin
  • Memakan makanan dan minuman yang berasid dengan kerap, seperti buah-buahan dan jus yang masam, serta minuman bergas yang boleh menyebabkan hakisan lapisan permukaan gigi.
  • Gigi berlubang yang tidak dirawat
  • Tampalan lama pada gigi yang telah retak atau renggang.
  • Pembedahan gusi yang mendedahkan akar gigi. Proses pemutihan gigi juga boleh menyebabkan gigi sensitif.

Rawatan untuk gigi sensitif

  • Gunakan ubat gigi khusus untuk gigi sensitif. Ubat gigi ini mengandungi bahan-bahan yang menyekat sensasi yang datang dari permukaan gigi ke saraf gigi. Kebiasaannya, ia memerlukan beberapa kali sapuan untuk berkesan. Sapukan selapisan nipis ubat gigi ke permukaan akar gigi yang terdedah dan usapkan dengan jari. Kandungan garam potassium, kalsium posfat, garam strontium dan fluorida yang terdapat di dalam ubat gigi ini berkesan dalam menolong mencegah dan melindungi gigi dari kesakitan gigi sensitif.

 

Contoh ubat gigi khusus untuk gigi sensitif yang berada di pasaran

  • Berjumpa doktor gigi anda. Rawatan yang diberikan bergantung kepada punca gigi sensitif. Agen penyah-sensitif atau jel fluorida mungkin akan disapukan ke kawasan gigi yang terlibat. Sesetengah doktor gigi pula menggunakan agen pelekat dan varnish. Tampalan juga boleh dilakukan pada kawasan akar gigi terdedah yang mengalami gigi sensitif. Jika gigi telah pecah atau berlubang besar, tampalan dan seterusnya rawatan korona mungkin perlu dijalankan. Untuk mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh mengetap dan mengasah gigi, doktor gigi akan membuat pelindung gigi daripada bahan yang kelihatan seperti plastik yang perlu dipakai semasa tidur. Gigi yang telah pecah dan retak mungkin perlu rawatan kanal akar dan seterusnya direstorasikan dengan korona.

Bagaimana mengelakkan gigi sensitif

  • Kekalkan amalan kebersihan mulut dan gigi yang baik. Bersihkan kesemua bahagian gigi  dengan teknik memberus dan memflos gigi yang betul.
  • Elakkan cara memberus secara mendatar kerana ini akan menyebabkan susutan gusi dan gigi merasa ngilu.
  • Gunakan berus gigi berbulu lembut. Berus secara perlahan dan berhati-hati di sekeliling gusi untuk mengelakkan penghakisan permukaan gigi dan mengelakkan kecederaan gusi.
  • Gunakan ubat gigi berfluorida. Penggunaan ubat gigi berfluorida bersama ubat kumur setiap hari dapat melindungi gigi anda kerana fluorida menolong menguatkan lapisan enamel.
  • Awasi pemakanan anda. Kurangkan atau elakkan makanan dan minuman yang berasid seperti limau dan minuman bergas yang boleh melarutkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan pendedahan lapisan dentin. Ia juga boleh menambahkan rasa sensitif dan memulakan reaksi kesakitan. Kumur dengan air biasa selepas mengambil makanan dan minuman berasid. Elakkan memberus gigi sekurang-kurangnya 30 minit selepas mengambil makanan dan minuman berasid. Ini adalah untuk mengurangkan kesan buruk akibat daripada gabungan asid dan lelasan gigi semasa memberus gigi.
  • Rawat tabiat mengasah gigi. Jika anda mengetap atau mengasah gigi, gunakan pelindung gigi semasa tidur.
  • Berjumpa doktor gigi pada kala yang tetap. Dapatkan pemeriksaan gigi, pembersihan gigi, cara-cara menjaga gigi dan rawatan fluorida daripada doktor gigi anda setiap 6 bulan.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Fauziah bt. Ahmad
Akreditor / Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,224,333

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia