A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gigi Jongang

Gigi jongang adalah masalah biasa di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gigi jongang menimbulkan masalah seperti penutupan mulut, pengunyahan dan percakapan, dan gigi boleh lebih mudah terdedah kepada kecederaan

Gigi jongang adalah masalah biasa di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gigi jongang menimbulkan masalah seperti penutupan mulut, pengunyahan dan percakapan, dan gigi boleh lebih mudah terdedah kepada kecederaan, terutamanya semasa sukan. Kanak-kanak yang mempunyai gigi jongang boleh mengalami isu-isu keyakinan diri.

Apakah sebab-sebabnya?

Gigi jongang boleh disebabkan oleh faktor genetik (rangka muka), tisu lembut, tabiat atau kesesakan gigi (gigi bertindih).

  1. Struktur rangka muka

    Ini disebabkan oleh pengaruh genetik. Gigi jongang biasanya dikaitkan dengan rahang atas panjang atau rahang bawah pendek (Gambar rajah 1). Kadang-kala rahang atas boleh tumbuh lebih panjang berbanding dengan nisbah purata keseluruhan struktur muka. Juga, rahang bawah mungkin lebih pendek berbanding dengan rahang atas, sebab terbantut pertumbuhannya.

    Gambar rajah 1
  2. Faktor tisu lembut

    Kehadiran bibir tidak tertutup (bibir atas dan bawah tidak menyentuh) dengan kegagalan bibir bawah untuk mengawal kedudukan gigi kacip atas, boleh menjadi punca utama gigi jongang. Jika bibir bawah terperangkap di belakang gigi atas (Gambar rajah 2), bibir yang terperangkap akan menolak gigi atas ke depan. Kadang-kala, otot bibir bawah yang kuat boleh menyebabkan gigi kacip bawah condong ke belakang dan menyebabkan gigi jongang lebih teruk. Otot lidah yang kuat juga boleh menyebabkan gigi condong ke hadapan dan menyebabkan gigi jongang.

    Gambar rajah 2
  3. TabiatMenghisap jari boleh menjadi faktor penting yang menyebabkan gigi jongang (gambar rajah 3).
    Gambar rajah 3
  4. Faktor TempatanKesesakan (gigi bertindih) di rahang atas boleh menyebabkan pergerakan gigi kacip atas ke hadapan dan gigi menjadi lebih jongang. Apabila gigi tidak mempunyai ruang yang cukup untuk tumbuh, gigi akan menjadi jongang (Gambar rajah 4).
    Gambar rajah 4
Sebab-sebab gigi jongang
Struktur rangka muka
  • Biasanya genetik
  • Rahang atas panjang atau
  • Rahang bawah pendek
Faktor tisu lembut
  • Bibir tidak tertutup (bibir yang tidak menyentuh)
  • Bibir bawah terperangkap
  • Otot bibir bawah yang kuat
  • Otot lidah yang kuat
Tabiat
  • Menghisap jari
Faktor-faktor tempatan
  • Kesesakan (gigi bertindih) di rahang atas

 

Apakah faedah-faedah merawat gigi jongang?

Faedah rawatan termasuk:

  • Penambahbaikan dalam susunan gigi dan struktur muka
  • Pengurangan risiko kecederaan gigi
  • Mengelakkan gigitan trauma (di mana gigi bawah menyentuh dan mencederakan gusi atas)

Apakah rawatan untuk gigi jongang?

Rawatan untuk gigi yang jongang bergantung kepada motivasi pesakit, umur pesakit, keterukan ketidakseimbangan struktur rahang dan profil muka.

Remaja

Kegigian campuran (Kedua-dua gigi susu dan gigi kekal hadir)

Tiada rawatan diperlukan sehingga semua gigi kekal bertumbuh.

Kegigian kekal awal

  1. Kes ringan

    Ia boleh dirawat oleh aplians pendakap gigi tetap dengan penarikan ke belakang gigi kacip atas (rawatan penyamaran, Gambar rajah 5). Rawatan pendakap gigi aplians tetap biasanya mengambil masa 18-30 bulan untuk selesai rawatan bergantung kepada kerumitan kes.

    Sebelum pendakap gigi aplians tetap dipasangkan, ruang kosong perlu diwujudkan untuk melegakan kesesakan dan penarikan ke belakang gigi kacip atas. Jika perlu, gigi geraham kecil atas (premolars) boleh dicabut untuk menyediakan ruang.


    Gambar rajah 5

  2. Kes sederhana

    Untuk kes-kes yang sederhana biasanya lebih sesuai dirawat dengan pendakap aplians fungsi untuk mengurangkan tahap keterukan gigi jongang, diikuti oleh pendakap gigi aplians tetap untuk penjajaran (susunan) gigi.

    Aplians fungsi adalah aplians boleh tanggal yang bekerja pada gigi atas dan bawah pada masa yang sama (gambar rajah 6). Ia adalah satu kaedah pengubahsuaian pertumbuhan secara cuba menahan pertumbuhan rahang atas, sambil menggalakkan pertumbuhan rahang bawah, atau dengan kombinasi kedua-duanya (Gambar rajah 7). Pendakap kepala (headgear) (gambar rajah 8) boleh ditambah untuk menghalang pertumbuhan rahang atas. Rawatan aplians fungsi biasanya dapat diselesaikan dalam masa 9-12 bulan (gambar rajah 9).

     
    Gambar rajah 6
    Gambar rajah 7
    Gambar rajah 8
     
     

    Sebelum rawatan

    Semasa rawatan

    Selepas rawatan
    Gambar rajah 9
     
  3. Kes yang seriusDalam kes yang serius, ianya lebih sesuai dirawat selepas pertumbuhan muka selesai dengan kombinasi pendakap gigi dan pembedahan rahang (gambar rajah 10.1 dan 10.2).

    Gambar rajah 10. 1 Sebelum Pembedahan

    Gambar rajah 10. 2   Selepas Pembedahan

    Sumber gambar : http://www.augersmiles.com/Treatment/OrthognathicSurgery.aspx

Dewasa

Pertumbuhan dalam pesakit dewasa telah berhenti, maka pengubahsuaian pertumbuhan rahang tidak boleh dilaksanakan. Pesakit dewasa dengan gigi jongang biasanya memerlukan cabutan gigi dan rawatan pendakap gigi tetap. Dalam kes-kes yang serius, pembedahan rahang diperlukan untuk membetulkan penempatan/posisi rahang. Jika tidak, tumpuan rawatan perlu diberikan kepada penyusunan gigi sahaja atau pembetulan gigi jongang secara separa (kompromi).

Ringkasan Kaedah Rawatan

Umur
Peringkat
Keterukan Rawatan
Remaja Kegigian campuran   Tiada rawatan diperlukan
  Kegigian kekal awal i) Kes ringan Aplians tetap dengan cabutan gigi
    ii) Kes sederhana Aplians fungsi diikuti oleh aplians tetap
    iii) Kes serius Gabungan aplians tetap dan pembedahan rahang
Dewasa     Aplians tetap dengan cabutan gigi, atau kombinasi aplians tetap dan pembedahan rahang bergantung kepada kerumitan kes

Kesimpulan

Rawatan awal perlu dimulakan pada umur yang sesuai apabila pesakit masih dalam proses pertumbuhan atau pembesaran untuk mengelakkan rawatan yang lebih rumit kemudian.

Rujukan

  1. Gill DS. Orthodontics: At a glance. 2008. Wiley-Blackwell Publishing.
  2. Laura Mitchell. An Introduction to Orthodontics 4th Edition. 2013. Oxford University Press.

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Mah Eng Ching
Akreditor : Dr. Arjunan a/l Muthusamy
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

Rawatan Pergigian Di Rumah – Boleh Atau Tidak?

Tidak ramai yang tahu terdapat rawatan pergigian tertentu yang boleh dilakukan di rumah pesakit tanpa perlu ke klinik pergigian. Antara persoalan yang mungkin diajukan ialah bagaimana ianya dilakukan, apakah rawatan yang bersesuaian dan siapakah yang layak untuk menerima rawatan tersebut?

Sindrom Gigi Retak

Sindrom Gigi Retak boleh ditafsirkan sebagai berlakunya ketidakselesaan yang berterusan, sensitif atau sakit pada gigi yang disebabkan oleh fraktur pada gigi  atau keretakan pada gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,233,807

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia