Home > Kesihatan Pergigian > Gigi Berubah Warna

Gigi Berubah Warna

Pengenalan

Perubahan warna gigi (penstainan) menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai  kerana ia boleh menjejaskan senyuman kita. Keadaan ini boleh terjadi kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia boleh dikategorikan kepada:

  • Intrinsik – Perubahan berlaku di dalam struktur gigi yang disebabkan oleh faktor-faktor internal
  • Ekstrinsik – Perubahan berlaku pada permukaan luar gigi yang disebabkan oleh faktor-faktor eksternal

Bagaimanakah perubahan warna gigi terjadi?

Warna gigi boleh berubah menjadi:

  • Kekuningan
  • Coklat
  • Hitam
  • Hijau
  • Kelabu kebiruan
  • Putih legap

Sebab-sebab

Penstainan intrinsik boleh  disebabkan oleh:

  • Kerosakan gigi (karies)
  • Ubat-ubatan seperti pengambilan tetrasiklina (tetracycline) semasa dalam kandungan atau kanak-kanak(di bawah 12 tahun)
  • Pengambilan fluorida yang berlebihan semasa tempoh pembentukan gigi
  • Kecederaan gigi yang menyebabkan pendarahan pulpa
  • Gigi yang telah mati disebabkan trauma atau rosak
  • Masalah kesihatan dan gangguan semasa tempoh pembentukan dan proses pertumbuhan gigi
  • Masalah kongenital saluran hempedu
  • Jangkitan semasa proses pertumbuhan gigi
  • Pertambahan usia
  • Faktor keturunan

Penstainan ekstrinsik  boleh disebabkan oleh:

  • Tahap kebersihan mulut yang tidak baik .
  • Makanan dan minuman seperti teh, kopi, wain merah dan kola / minuman berkarbonat.
  • Penggunaan tembakau
  • Penggunaan secara berpanjangan bahan kumur yang mengandungi klorheksidina (chlorhexidine)
  • Tabiat mengunyah sireh pinang
  • Pengambilan ubat-ubatan yang berpanjangan seperti tambahan zat besi
  • Bakteria dalam mulut.

Antara contoh gigi yang berubah warna:

Keturunan Fluorosis
Karies gigi Penstainan klorheksidina
Penstainan tembakau dan kopi Gigi yang telah mati

Kesan Akibat Penstainan Gigi

Individu yang mengalami penstainan gigi mungkin akan mempunyai kurang keyakinan diri disebabkan penampilan yang kurang menarik

Bolehkah Penstainan Gigi Dihilangkan?

Penstainan ekstrinsik boleh dihilangkan dengan penskaleran dan penggilapan (polishing) manakala penstainan intrinsik memerlukan kaedah rawatan yang lebih rumit.

Rawatan Oleh Doktor Pergigian

Dapatkan pemeriksaan di klinik pergigian. Anda mungkin memerlukan rawatan:

  • Penskaleran dan penggilapan (polishing)
  • Pemutihan gigi
  • Restorasi menggunakan tampalan sewarna gigi atau restorasi tak langsung (seperti venir dan korona)

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Untuk Mencegah Gigi Berubah Warna?

  • Amalkan penjagaan kesihatan pergigian yang baik.
  • Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala.
  • Elakkan penggunaan tembakau, kopi dan minuman lain yang boleh mewarnakan gigi.
  • Hentikan tabiat merokok
  • Cuba gunakan ubat pemutih gigi.
  • Beri tunjuk ajar kepada kanak-kanak tentang penggunaan ubat gigi berfluorida bagi mengelakkan penggunaan yang berlebihan.
  • Kenal pasti antibiotik yang diberi kepada anak anda bagi mengelakkan daripada pengambilan tetrasiklina dan kumpulannya.
  • Guna alat pelindung mulut semasa aktiviti lasak seperti berbasikal dan ragbi untuk mengelakkan kecederaan gigi.

Prognosis

Prognosis untuk rawatan penstainan ekstrinsik adalah lebih baik berbanding penstainan intrinsik yang selalunya memerlukan rawatan yang lebih kompleks dan mengambil masa lebih lama.

Semakan Akhir : 14 Disember 2012
Penulis : Dr. Zaini bt. Aziz