A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Gagal Mengikuti Bidang Kursus...

Gagal Mengikuti Bidang Kursus Diminati Kerana Rabun Warna

Pengenalan

Adakah anda baru sahaja mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM yang lalu dan sedang mengenal pasti peluang untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi? Anda bukan sahaja telah berjaya mendapat keputusan cemerlang malahan merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan dan aktiviti ko-kurikulum. Oleh itu anda sangat berharap dapat memasuki salah satu pusat pengajian tinggi dan mengikuti kursus yang selama ini menjadi idaman anda.

Seterusnya anda telah berjaya memenuhi semua keperluan yang ada dalam senarai semak yang diberi. Namun begitu semasa menjalani pemeriksaan kesihatan, anda dimaklumkan telah gagal dalam ujian saringan penglihatan warna. Apakah implikasinya kepada peluang anda untuk melanjutkan pelajaran?

1 2
Upacara Konvokesyen di UTM

Majlis Graduasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (sumber: HYBRID photoon)

Sebelum mengupas dengan lebih lanjut berkenaan pilihan kursus yang sesuai untuk anda, ada beberapa fakta yang perlu anda fahami berkenaan rabun warna. Pertama; lelaki mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk mendapat rabun warna; di mana 5 hingga 8 peratus (1 bagi setiap 12-20 orang) daripada populasi penduduk lelaki dunia mengalami masalah rabun warna berbanding hanya 0.5 peratus (1 bagi setiap 200 orang) daripada populasi penduduk wanita dunia.

Kedua; 99% daripada penghidap rabun warna adalah daripada jenis pewarisan atau keturunan ( rabun warna pada spektrum warna merah-hijau) berbanding rabun warna jenis perolehan (spektrum biru-kuning). Ketiga; keterukan rabun warna bergantung kepada nisbah reseptor kon warna hijau, merah dan biru pada retina seseorang. Keempat; tidak semua pusat pengajian tinggi di Malaysia (atau negera lain) mempunyai polisi khusus berkenaan syarat kemasukan khas yang melibatkan rabun warna dalam mengikuti kursus pengajian tertentu. Ini bermakna jika anda tidak diterima masuk ke satu-satu pusat pengajian awam atau swasta kerana masalah rabun warna; anda mungkin boleh memohon di pusat pengajian lain. Kelima; kesedaran terhadap masalah ‘diskriminasi’ yang dihadapi oleh penghidap rabun warna semakin meningkat di serata dunia. Oleh itu kebanyakan organisasi sedang melakukan adaptasi dalam sistem masing-masing untuk mengurangkan proses atau prosedur yang bergantung sepenuhnya kepada warna.

Apakah rabun warna? Bagi sesetengah orang; merah, jingga, kuning dan hijau adalah sekadar nama berbeza untuk warna yang sama. Bagi sesetengah yang lain pula mungkin ungu, violet, lavender dan biru kelihatan seakan tiada perbezaan. Dan selalunya antara warna-warna yang paling kerap menimbulkan kekeliruan adalah merah jambu atau kelabu, merah atau jingga, putih atau hijau, hijau atau perang, biru-hijau atau kelabu, hijau atau kuning, perang atau merah hati dan kuning air (beige)atau hijau.

3

Pensil Warna : Simulasi Apa Yang Dilihat Oleh Orang Yang Mempunyai Masalah Rabun Warna

Dalam kes rabun warna peringkat teruk – ada yang memakai stokin perang dan hijau pada waktu yang sama, keliru warna merah dan kuning pada lampu trafik atau tidak dapat membezakan rumput yang hijau daripada tanah yang perang.

Dalam artikel yang terdahulu telah diterangkan berkenaan rabun warna ini. Namun begitu jika anda ketinggalan mengikutinya, terdapat banyak laman web yang boleh membantu anda untuk memahami malah mengalami sendiri simulasi rabun warna.

4

Antaranya adalah:

  • http://drhalizamutalib.blogspot.com/2013_07_01_archive.html
  • http://panduanpercuma.info/pelbagai/1093/rabun-mata-rabun-warna-dan-puncanya/
  • https://utamaoptometristttdi.wordpress.com/tag/kanta-sentuh-untuk-rabun-warna/
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm
  • http://colorvisiontesting.com/color2.htm,
  • http://www.color-blindness.com,
  • http://www.colormatters.com/color-and-vision/what-is-color-blindness,
  • http://www.colourblindawareness.org/colour-blindness/,
  • http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMHT0024265/,
  • http://www.webmd.com/eye-health/tc/color-blindness-topic-overview,
  • http://www.allaboutvision.com/conditions/colordeficiency.htm.
  • http://www.aoa.org/patients-and-public/eye-and-vision-problems/glossary-of-eye-and-vision-conditions/color-deficiency?sso=y

Bilakah Pemeriksaan Rabun Warna Patut Dilakukan?

Penglihatan warna bagi bayi mencapai tahap matang sejajar dengan tahap penglihatan mereka. Pada usia sebulan mata bayi menjadi sensitif kepada warna yang terang dan cerah berbanding warna yang agak pudar dan suram. Pada usia sekitar 4 bulan, mereka berupaya untuk membezakan dan bertindakbalas terhadap keseluruhan julat warna yang terdapat dalam spektrum gelombang warna. Namun begitu ujian penglihatan warna yang ada tidak dapat digunakan untuk memeriksa status penglihatan warna mereka pada usia ini.

Menurut satu kajian oleh The Multi-Ethnic Pediatric Eye Disease Study oleh John Z. Xie, MD, PhD et.al – Color Vision Deficiency in Preschool Children (2014) – Prevalens rabun warna adalah paling tinggi di kalangan kanak-kanak Kaukasian (5.6%) manakala bagi kanak-kanak Asia di tahap kedua (3.1%).

5

Sumber: American Academy Of Ophthalmology.

Mengikut buku Garis Panduan Penggunaan Buku Rekod Kesihatan Bayi Dan Kanak-Kanak (0 – 6 Tahun) Kad Simpanan Klinik Dan Carta Pertumbuhan Who (2006) Carta Lilit Kepala Cdc (2000); pemeriksaan mata pada usia 4 tahun hanya melibatkan pemerhatian bahagian luar mata, ujian Hirschberg dan akuiti visual sahaja tanpa melibatkan pemeriksaan rabun warna.

Menurut Prof. Madya Dr Haliza Mutalib (2013), kebanyakan kanak-kanak telah mula dapat mengecam dan menamakan warna dengan betul pada usia sekitar 5 tahun. Mungkin ini adalah masa yang paling awal pemeriksaan rabun warna boleh dilakukan.

6

Aktiviti Mengasingkan Gula-gula Berwarna Di Kelas Pra-sekolah (sumber: http://www.teachpreschool.org/)

Diagnosis atau pengesanan awal pada kanak-kanak dapat membantu mereka apabila masuk ke taska, tadika dan sebagainya sebelum mereka memasuki sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat pengajian seterusnya. Hal ini kerana kebiasaannya pada tahap ini, kanak-kanak akan didedahkan kepada aktiviti yang melibatkan penggunaan warna dalam kelas lukisan dan dalam mengenal objek yang ada dipersekitarannya.

Jika seorang kanak-kanak itu didapati mempunyai masalah rabun warna; ibubapa perlu memaklumkan kepada guru sekolah supaya satu kaedah bentuk pembelajaran yang bersesuaian dapat diberi kepada kanak-kanak tersebut. Antara kaedah yang dapat membantu adalah dengan melabelkan nama warna pada krayon, pen dan pensel berwarna.

Dalam proses pembelajaran pula, kanak-kanak tersebut boleh diajar dengan penggunaan warna yang sepatutnya ada pada sesuatu objek. Sebagai contoh, langit berwarna biru, rumput berwarna hijau, darah berwarna merah, muka orang berwarna perang muda dan sebagainya. Walaupun mungkin kanak-kanak tersebut hanya melihat warna-warna yang disebutkan dalam bentuk variasi tona warna kelabu dan kecerahan yang berbeza sahaja, ini sebenarnya dapat membantu kanak-kanak tersebut untuk mengingati warna yang sepatutnya ada pada sesuatu objek.

7

Kaedah Melabelkan Warna Dapat Membantu Kanak-kanak Rabun Warna Dalam Proses Mengenal Variasi Ton dan Kepekatan Sesuatu Warna

Pastikan juga semua bahan bacaan yang digunakan adalah daripada jenis dakwat hitam di atas kertas putih kerana warna kertas dan tulisan yang pelbagai akan menyukarkan kanak-kanak untuk membaca buku tersebut.

Bidang Kursus yang Memerlukan Penglihatan Warna Normal

Bagi penghidap rabun warna, mereka mungkin mengalami kesukaran dalam melakukan sesuatu tugasan yang melibatkan penglihatan warna yang bagus dan sensitif seperti dalam bidang elektrik, pereka fesyen, industri cat, tukang masak dan juruterbang tentera.

8Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang telah memberikan garis panduan syarat-syarat tambahan dan khas berkaitan masalah rabun warna dalam memilih sesuatu bidang pengajian di samping syarat-syarat umum yang sedia ada.

Antara bidang pengajian yang memerlukan pemohon tidak mengalami masalah rabun warna adalah Ijazah Sarjana Muda terutamanya dalam bidang kejuruteraan seperti Aeronautik, Mekanikal, Elektrik dan Elektronik (Komunikasi, Kuasa, Industri dan Telekomunikasi), Sistem Komputer, Kimia dan Proses serta Minyak dan Gas.

10 9
Juruterbang Tentera Antara Yang Diwajibkan Mempunyai Tahap Penglihatan Yang Baik dan Tiada Masalah Rabun Warna Tukang Masak Juga Perlu Mempunyai Penglihatan Warna Yang Baik

Manakala bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pula – syarat tiada rabun warna ini dikenakan ke atas semua pegawai kadet tentera.

Bagi Universiti Malaya pula – semua program pengajian yang ditawarkan dalam bidang kejuruteraan mensyaratkan pemohonnya tidak mengalami masalah rabun warna.

Selain daripada bidang kejuruteraan, terdapat juga beberapa kursus daripada aliran sastera yang memerlukan pemohon bebas daripada masalah rabun warna. Antaranya adalah Seni Reka Perindustrian, Seramik, Perancang Bandar dan Wilayah, Fotomedia Kreatif, Seni Halus, Reka Grafik, Teknologi Pencetakan, Pengajian Budaya Visual, Dietetik, Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim dan Geologi. Senarai lebih banyak kursus yang berkaitan dengan warna adalah seperti mana dalam lampiran atau anda boleh merujuk ke laman web https://online.moe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php?pagefunc=syaratByBidang&carian1=011&carian2=A&carian3=S1

Panduan Memilih Bidang Kursus Bagi Yang Mengalami Masalah Rabun Warna

Pastikan anda mendapatkan maklumat yang mencukupi berkenaan keperluan kursus yang ingin anda ikuti. Di zaman teknologi di hujung jari ini, semua maklumat berkenaan sesuatu kursus boleh didapati secara atas talian. Oleh itu sekiranya anda mempunyai masalah rabun warna, jangan cuba mengelat atau menipu semasa pemeriksaan penglihatan warna dilakukan. Akibatnya anda mungkin mengalami masalah semasa mengikuti pengajian dalam kursus tersebut.

Pemeriksaan penglihatan warna yang komprehensif boleh menentukan tahap keterukan rabun warna seseorang itu. Berilah kerjasama sewajarnya semasa pemeriksaan warna dilakukan supaya Pegawai Perubatan atau doktor yang memeriksa anda boleh memberi klasifikasi tahap keterukan rabun warna anda. Hal ini disebabkan terdapat kursus yang masih lagi menerima penghidap rabun warna ditahap ringan.

Selain dari kursus-kursus yang telah dinyatakan seperti di atas – terdapat juga pusat pengajian tinggi yang tidak memasukkan syarat khas ketiadaan rabun warna sebagai salah satu syarat kemasukan ke sesuatu program mereka. Sungguhpun begitu anda masih lagi tertakluk kepada keputusan lembaga penilaian mereka dalam menentukan tempat bagi kursus tertentu.

Sekiranya anda mempunyai masalah pengecaman warna dalam pengajian anda, jangan malu untuk memberitahu para pensyarah yang terlibat dan rakan sepengajian anda. Ramai yang bersedia menghulurkan bantuan sekiranya mereka memahami masalah anda.

Harus diingat rabun warna bukanlah satu penyakit, ia cuma satu variasi dalam kehidupan di mana anda melihat warna-warni dunia padaperspektif yang berbeza berbanding orang lain. Jangan jadikan ianya satu halangan dalam mengejar cita-cita dan impian anda.

Malahan di seluruh dunia, ramai penghidap rabun warna sedang berusaha dalam perjuangan menentang diskriminasi ini. Terdapat banyak organisasi dan syarikat juga telah melakukan adaptasi dalam operasi mereka dengan mengurangkan penggunaan kod warna.

Paling penting, sedikit kekurangan ini mungkin akan menonjolkan kelebihan anda di bidang yang lain. Jangan kecewa jika anda tidak berjaya mengikuti kursus yang diingini, teroka segala peluang yang lain pula.

Dan kepada mereka yang lain – jika anda melihat rakan anda mengenakan setokin hijau dan perang atau berbaju kelabu dan bertali leher merah jambu atau sangat gemar mengenakan pakaian daripada jenis ton warna biru gelap….mungkin rakan anda sebenarnya menghidap rabun warna dan bukannya terlambat bangun pagi ini. Oh ya….pesanan ini juga penting untuk mereka yang ingin memilih pasangan hidup kerana rabun warna biasanya akan diturunkan kepada zuriat anda juga.

Selamat maju jaya dalam pengajian yang anda pilih!

Rujukan:

  1. http://drhalizamutalib.blogspot.com/2013_07_01_archive.html
  2. http://fh.moh.gov.my/v3/index.php/en/component/jdownloads/finish/18-kesihatan-kanak-kanak/122-garis-panduan
  3. https://online.moe.gov.my/upu/emas/index_epanduan.php?pagefunc=epanduan
  4. https://online.moe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php?pagefunc=syaratByBidang&carian1=011&carian2=A&carian3=S1
  5. http://www.geteyesmart.org/eyesmart/living/babies-children-teenagers-eye-health/vision-development.cfm
  6. http: //forquestions.com/how-are-color-blindness-see-the-rainbow/298
  7. http://micro.magnet.fsu.edu/primer/lightandcolor/humanvisionintro.html
  8. http://www.brit.co/summer-salads/
  9. http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/07/When-the-skys-not-the-limit-Royal-Malaysian-Air-Force-flight-instructors-Major-Patricia-Yapp-Syau-Yi/
  10. http://www.finearttips.com/2011/03/powerartists-interview-with-multimedia-painter-robin-pedrero/#
  11. http://www.learning4kids.net/
Semakan Akhir : 30 Mei 2016
Penulis : Pn. Ruwaidah Binti Saidin
Akreditor : Pn. Normala Binti Sami

 

Artikel Berkaitan

Rabun Jauh

Pengenalan Rabun jauh merupakan sebahagian masalah kesihatan awam bagi seluruh

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,214,927

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia