Home > Umum > Forensik > Forensik Histopatologi

Forensik Histopatologi

Pengenalan

Perubatan forensik adalah unik berbanding dengan bidang-bidang lain dalam perubatan. Salah satu peranan utama Jabatan Perubatan Forensik adalah menjalankan pemeriksaan postmortem. Pemeriksaan postmortem adalah suatu prosedur patologi forensik yang dijalankan ke atas mayat bagi memenuhi keperluan siasatan kematian ke atas kes-kes kematian tertentu di bawah peruntukan undang-undang negara Malaysia. Jika dibandingkan dengan prosedur-prosedur lain dalam perubatan yang bersifat diagnostik, terapeutik, atau prognostik, pemeriksaan postmortem forensik adalah bersifat penyiasatan atau investigative. Matlamat asas bagi mana-mana pemeriksaan postmortem adalah untuk mencari sebab kematian sepertimana yang dituntut di bawah seksyen 328, Kanun Prosedur Jenayah. Di bawah seksyen tersebut, erti sebab kematian adalah bukan sahaja terhad kepada sebab kematian yang nyata yang boleh ditentukan daripada pemeriksaan postmortem sahaja, tetapi juga merangkumi segala perkara ataupun penemuan yang boleh membantu penentuan cara kematian tersebut (manner of death).  Dalam erti kata lain, konsep sebab kematian daripada segi medikolegal merangkumi skop yang jauh lebih meluas dan teliti berbanding dengan sebab kematian klinikal (clinical cause of death).

Untuk memenuhi erti sebab kematian medikolegal ini, maka sesuatu pemeriksaan postmortem forensik hendaklah dijalankan dengan lengkap. Pemeriksaan postmortem forensik yang lengkap adalah terdiri daripada empat komponen ataupun peringkat, iaitu :

  1. Pemeriksaan luaran ke atas mayat (external examination).
  2. Pemeriksaan dalaman ke atas mayat serta diseksi organ-organ (internal examination with organ dissection).
  3. Pemeriksaan histopatologi forensik ke atas sampel-sampel tisu postmortem.
  4. Lain-lain siasatan makmal yang perlu; ujian toksikologi, biokimia, mikrobiologi atau serologi.

Histopatologi adalah satu cabang kepakaran patologi yang melibatkan kajian serta analisa patologi spesimen tisu pada peringkat mikroskopik ataupun pada peringkat sel (histologi) untuk mengesan sebarang penyakit atau keabnormalan. Secara amnya, bidang kepakaran histopatologi adalah terdiri daripada:

  1. Histopatologi klinikal (clinical/surgical histopatology), iaitu pemeriksaan histopatologi yang dilakukan ke atas sampel-sampel tisu pesakit hidup yang diperolehi daripada wad, klinik dan dewan bedah, dan ianya bertujuan diagnostik dan prognostik. Ianya adalah salah satu cabang kepakaran patologi. Objektif utamanya adalah menghasilkan diagnosa bagi tujuan perawatan pesakit.
  2. Histopatologi forensik, iaitu pemeriksaan histopatologi yang dilakukan ke atas sampel-sampel tisu mayat yang diperolehi daripada pemeriksaan postmortem, dan ianya bertujuan diagnostik dan penyiasatan (investigative).  Ianya adalah suatu bidang sub-kepakaran patologi forensik. Objektif utamanya adalah untuk membantu menentukan sebab kematian serta lain-lain perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kematian tersebut. Dengan itu, analisa mikroskopik yang dijalankan adalah untuk memenuhi keperluan siasatan forensik dan bukannya bagi perawatan pesakit.

Kedua-dua bidang histopatologi ini adalah berasaskan teknik-teknik pemprosesan sampel dan pemeriksaan histologi yang sama. Walau bagaimanapun, jelas terdapat empat berbezaan asas yang ketara di antara kedua-dua bidang histopatologi tersebut:

  1. Jenis bidang kepakaran; histopatologi klinikal adalah suatu siasatan klinikal, histopatologi forensik adalah suatu siasatan medikolegal.
  2. Asal usul sampel tisu; histopatologi klinikal daripada pesakit hidup, histopatologi forensik daripada mayat.
  3. Cara pengambilan sampel; histopatologi klinikal menerusi biopsi tisu ataupun pembedahan, histopatologi forensik hanya menerusi pemeriksaan postmortem.
  4. Matlamat asas; histopatologi forensik tidak bersifat prognostik, histopatologi klinikal tidak bersifat investigative.

Kepentingan Histopatologi forensik

Histopatologi forensik penting dalam menjamin mutu pemeriksaan postmortem kerana dalam suasana evidence-based medicine yang dipraktikkan pada zaman sekarang, pemeriksaan postmortem forensik tidak lagi boleh dihadkan kepada pemeriksaan diseksi atau makroskopik sahaja, tetapi harus dijalankan di peringkat mikroskopik juga. Kajian yang dijalankan oleh de la Grandmaison et al. 2010 tentang aplikasi pemeriksaan histologi yang sistematik ke atas 428 kes-kes post-mortem menunjukkan penemuan kira-kira 40% kes tidak menunjukkan mekanisme kematian melalui pemerhatian makroskopik tetapi ditemui melalui pemeriksaan histologi.

Histopatologi forensik membantu dalam melengkapkan laporan postmortem dengan mendapatkan punca kematian sebagai contoh bagi kematian mengejut. kematian secara mengejut secara tiba-tiba bagi kebanyakan penyakit dapat dijelaskan, termasuk sindrom tertentu dengan penemuan mikroskopik yang menarik. Sebagai contoh, William sindrom atau Williams-Beuren sindrom (WBS), yang boleh menyebabkan kematian mengejut kanak-kanak dan orang dewasa muda khususnya (Wessel et al 2004;. Krous et al 2008;. Suarez-Mier dan Morentin 1999; Burung et.al 1996), terutamanya berhubungkait dengan anestetik (Gupta et.al 2005) dan juga Lethal leptospirosis (Morbus Weil).

Maklumat tambahan dapat diperoleh dalam mengukuhkan lagi punca kematian yang ditemui. Hasil kajian yang dijalankan oleh de la Grandmaison et al. 2010 menunjukkan bahawa pemeriksaan histologi memberikan maklumat tambahan mengenai masalah kesihatan si mati sebelum kematian kira-kira 49% kes.

Setakat ini, komuniti forensik telah bersetuju mengenai keperluan untuk melakukan pemeriksaan histologi bagi kes postmortem. Sesetengah penulis berpendapat bahawa pemeriksaan mikroskopik hanya dilakukan jika diperlukan, tetapi bukan sebagai satu perkara rutin (Moline et al. 2007). Sesetengahnya telah membuat kesimpulan bahawa terdapat kadar perbezaan yang besar antara penemuan makroskopik dan mikroskopik dalam bedah siasat forensik. Histologi merupakan ciri penting berhubungkait dengan kualiti bedah siasat dan adalah penting untuk mengesahkan, memperbaiki atau menafikan penemuan makroskopik (de la Grandmaison et al. 2010).

Makmal Histopatologi Forensik

Makmal Histopatologi Forensik terdiri daripada peralatan asas yang akan melalui proses seperti berikut:

  • Grossing
  • Pemprosesan tisu
  • Embedding
  • Cold plate
  • Microtome sectioning & Water bath
  • H&E Staining atau special stain (atas permintaan)
  • Mounting dan Slaid
  • Mikroskop

    (Sumber : Tarrant County Medical Examiner and Forensic Science LaboratoriesServing Tarrant, Denton and Parker Counties)

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Ismadi b. Ismail
Akreditor / Penyemak : Dr. Khoo Lay See