Home > Dewasa > Penyakit > Dermatologi > Fixed Drug Eruption

Fixed Drug Eruption

Pengenalan

Fixed drug eruption (FDE) kerapkali disebabkan oleh alahan ubat.  Kebiasaannya ia akan timbul dengan cepat (akut) dalam tempoh 30 minit hingga 8 jam selepas pengambilan ubat tertentu. Sekiranya terdedah semula kepada ubat tersebut, ia akan timbul pada tempat yang sama dan beransur pulih selepas beberapa hari dan meninggalkan kesan hiperpigmentasi (kegelapan kulit).

Gejala-gejala

Tanda kulit fixed drug eruption mungkin banyak atau hanya satu. Bahagian yang terlibat terasa gatal atau pedih. Setiap tanda mempunyai sempadan yang jelas, berbentuk bulat atau bujur, dan berwarna merah atau ungu. Ianya boleh membesar sehingga 10 cm dan membengkak dengan gelembung air. Tanda-tanda boleh timbul di bahagian perut, tangan dan kaki, tapak tangan dan tapak kaki, bibir, lapisan dalam mulut and kemaluan.

Gambar 1: Tanda kulit berwarna ungu dengan luka di bibir

 

Gambar 2: Tanda berwarna ungu kemerahan dengan gelembung air Gambar 3: Kesan hiperpigmentasi

Penyebab Fixed Drug Eruption

Fixed drug eruption kebiasaannya disebabkan oleh ubat makan. Terdapat juga laporan FDE disebabkan oleh ubat tradisional Cina. Ubat non-steroidal anti-inflamatori (penahan sakit) kerapkali menjadi penyebab utama. Ini termasuk ibuprofen, indomethacin dan piroxicam. Antibiotik-antibiotik yang sering dilaporkan adalah amoxicillin, tetracyclines, trimethoprim/sulfamethoxazole, ofloxacin dan dapsone. Fixed-drug eruption juga boleh disebabkan oleh paracetamol, phenolphthalein, sulfonamides, phenylbutazone, barbiturates dan salicylates.

Bilakah anda perlu syak anda mengalami Fixed Drug Eruption?

Tanda kulit kebiasaannya akan timbul selepas pengambilan ubat makan. Ianya timbul 1 hingga 2 minggu selepas memulakan pengambilan ubat tersebut. Alahan boleh juga berlaku selepas beberapa minggu atau selepas beberapa tahun. Apabila pesakit menjadi alah terhadap ubat tersebut, tanda-tanda boleh berlaku dengan cepat di mana ianya boleh timbul selepas 2 jam pengambilan ubat. Adakalanya ia boleh mengambil masa sehingga 48 jam kemudian.

Rupa bentuk FDE amat unik dan mudah dikenalpasti. Individu yang mengambil pelbagai jenis ubat pada satu-satu masa perlu disyaki mempunyai alahan ubat sekiranya tanda kulit timbul dengan cepat.

Walaupun pengambilan semula ubat tersebut adalah kaedah yang paling baik untuk mengesahkan alahan, ianya boleh menimbulkan risiko yang memudaratkan kepada seseorang individu. Sesetengah individu boleh mengalami tanda-tanda yang besar lagi banyak disamping gelembung-gelembung air yang besar.

Rawatan

Pengambilan ubat tersebut perlu dihentikan serta-merta. Doktor boleh menolong anda untuk mengenalpasti ubat tersebut. Ianya perlu ditetapkan berdasarkan laporan-laporan berkenaan ubat-ubat yang kerap kali menyebabkan masalah tersebut.

Sekiranya terdapat gelembung-gelembung air, doktor atau jururawat boleh menolong anda untuk menghilangkan air dalam gelembung tersebut. Ubat antihistamine boleh diambil disamping ubat sapuan steroid. Namun begitu, ubat sapuan steroid hanya boleh digunakan sekiranya tiada lagi gelembung air. Kadang kala ubat makan steroid akan diberikan jika mengalami tanda-tanda yang teruk.

Langkah-langkah pencegahan

Elakkan mengambil semula ubat tersebut supaya kejadian tidak berulang. Pesakit perlu sentiasa membawa kad alahan yang diberikan oleh doktor. Kadang-kadang pesakit boleh juga memakai gelang tangan atau rantai yang di ukir dengan nama ubat tersebut.

Pastikan anda sentiasa memberitahu doktor ubat yang anda alergi setiap kali pergi mendapatkan rawatan.

Bagi sesiapa yang berminat untuk membuat gelang tangan atau rantai dengan ukiran nama ubat, sila layari laman web: http://www.medicalert.com.my

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2015
Penulis/Penterjemah : Datin Dr. Asmah bt. Johar