Fenomena Pengabaian Dikalangan Warga Emas

Pengabaian warga emas telah lama menjadi perbualan orang ramai dan kini mula menjadi perhatian. Persoalannya adakah warga emas yang diletakkan di rumah orang tua dikatakan sebagain pengabaian? Begitu juga warga emas yang ditinggalkan di rumah berseorangan, adakah ia juga dianggap sebagai pengabaian? Persoalan ini perlu dilihat dari pelbagai sudut dan perlukan perbincangan yang menyeluruh. Bagaimana pula dengan warga emas yang tinggal bersama ahli keluarga tetapi tiada komunikasi dan tiada penjagaan yang betul, adakah ia juga pengabaian?

Secara umumnya, fenomena pengabaian warga emas boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu dari segi fizikal dan sacara emosi.

Faktor Terjadi Pengabaian

Dalam masyarakat moden yang mengejar kebendaan, nilai-nilai fenomena pengabaian warga emas boleh terjadi disebabkan oleh banyak faktor. Kesibukkan individu dalam mengendalikan rutin kehidupan menjadikan kita alpa dengan tuntutan warga emas yang mendambakan perhatian dari anak-anak mereka. Faktor pengabaian:

  1. Struktur Keluarga

    Struktur sesebuah keluarga akan menentukan perasaan kekitaan di kalangan ahli keluarga itu wujud atau tidak. Ada ketika jalinan kasih sayang dalam sesebuah keluarga tidak dapat dirasai antara ahli keluarga. Ini dapat dilihat ketika ibu bapa hanya berperanan sebagai ketua keluarga dan anak-anak bertindak sebagai pengikut kata orang tua. Lantaran itu, anak-anak hanya didedahkan tentang tanggungjawab tanpa ada unsur-unsur kasih sayang. Kasih sayang dan perasaan kekitaan merupakan elemen asas dan penting dalam mendidik anak-anak kita. Ia akan menjadikan seorang anak itu sanggup berkorban dan kekal bersama warga emas mereka walaupun dalam keadaan yang susah dan membebankan.

  2. Sikap Anak

    Satu lagi faktor yang menyebabkan pengabaian warga emas adalah daripada sikap anak itu sendiri. Sikap tidak mahu melibatkan diri secara emosi dengan warga emas menjadikan warga emas itu dipinggirkan biarpun didalam rumah individu itu sendiri. Pengabaian warga emas itu akan menjadi lebih ketara apabila ia memerlukan sianak menjaga, mendengar dan melayan warga emas yang telah terlalu tua dan kurang upaya. Kurangnya kemahiran dalam mengendalikan emosi diri dan orang lain juga akan menjadikan si anak kurang empati dalam penjagaan warga emas.

  3. Sikap Warga Emas Sendiri

    Seperti sedia maklum, setiap individu yang berkerja akan berpencen pada usia mereka menjangkau antara 55 hingga 60 tahun. Individu ini yang dulunya sibuk dengan aktiviti pejabat akan menjadi seorang yang sangat lapang di rumah. Mereka yang hanya dengan berseorangan atau berdua dengan isteri akan mula merasa sunyi dan bosan. Ini akan menyebabkan timbulnya perasaan negative dan sangkaan buruk seperti anak-anak telah meminggirkan mereka. Jadi warga emas sepatutnya merancang aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan usia mereka pada peringkat awal demi mengelakkan konflik keluarga tercetus. Sikap warga emas yang suka membebel dan mengadu juga akan menjadikan sianak bosan dan mula menjauhkan diri daripada warga emas itu.

  4. Faktor Kewangan

    Isu kewangan seringkali menjadi faktor yang tak boleh dielakkan. Anak yang terbiasa dengan kehidupan mewah dan tidak dapat menhan godaan kebendaan akan selalu mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menbantu warga emas dari segi kewangan. Status kewangan yang kurang stabil akan menyebabkan penjagaan warga emas sedikit terabai.

  5. Sikap Masyarakat

    Masayarakat sekeliling juga memainkan peranan yang penting dalam membendung pengabaian warga emas ini. Masyarakat harus menjadi perihatin dan menghulurkan bantuan dalam mengelakkan pengabaian warga emas dari terjadi.

Cadangan

  1. Peranan Komuniti

    Komuniti juga disarankan untuk mengadakan program yang berkaitan dengan warga emas agar dapat meningkatkan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penjagaan warga emas. Latihan dan kursus juga boleh diadakan untuk memberikan nilai tambah kepada individu dalam kesihatan warga emas.

  2. Pusat Penjagaan Harian/Pusar Rekreasi Warga Emas

    Diwujudkan pusat-pusat penjagaan harian penjagaan warga emas dimana anak-anak atau waris keluarga dapat menghantar warga emas ini diwaktu mereka keluar untuk bekerja. Warga emas yang ditinggalkan akan dihantarpada waktu pagi dan diambil pada waktu selepas waktu pejabat. Ini akan membolehkan warga emas mendapat penjagaan yang sempurna.

  3. Pusat Rekreasi Warga Emas

    Memperbanyakkan pusat rekreasi bagi warga emas di setiap kawasan perumahan untuk membolehkan warga emas ini melakukan aktiviti pada masa lapang mereka. Pusat rekreasi ini perlu dilengkapi dengan perkhidmatan psikologi kaunseling dan perubatan agar kehidupan warga emas dapat ditingkatkan lagi dari aspek fizikal dan mental.

Kesimpulan

Pengabaian warga emas dilihat sering terjadi di mana-mana negara di dunia. Kurang pendedahan dikalangan masyarakat dan orang awam tentang cara menjaga dan komunikasi dengan warga emas menjadi punca fenomena pengabaian warga emas ini. Pengabaian warga emas akan dapat dibendung sekiranya ada usaha dan kerjasama daripada semua pihak. Yang utama, kita perlu sedar akan kehendak dan keperluan warga emas ini.

Semakan Akhir : 02 Julai 2018
Penulis : Pn. Tan Mem Syn
Akreditor : Pn. Fariz Sakina bt. Abdullah