Home > Ubat & Anda > Fahami Label Sampul Ubat

Fahami Label Sampul Ubat

Baca, fahami dan ambil ubat seperti yang diarahkan

Sebagai pengguna anda perlu membaca label ubat sebelum mengambil ubat seperti yang diarahkan. Penggunaan ubat yang betul mengikut arahan doktor dan nasihat ahli farmasi adalah penting bagi mendapatkan rawatan yang berkesan dan selamat. Label sampul ubat mengandungi maklumat penting berkenaan pengambilan ubat dengan betul dan selamat. Oleh itu, adalah penting untuk membaca dan memahami label sampul ubat bagi mengelakkan kesilapan pengambilan ubat-ubatan.

Maklumat yang perlu ada pada label sampul ubat

Kesilapan dalam pengambilan ubat-ubatan boleh dielakkan jika label ubat dibaca dengan teliti dan difahami.

Secara umumnya, berikut adalah maklumat yang ada pada sampul ubat;

  1. Nama dan alamat pihak pembekal atau penjual (klinik atau farmasi)
  2. Nama penuh ubat / Nama bahan aktif ubat
  3. Nama pesakit
  4. Tarikh ubat dibekal atau dijual
  5. Nombor rujukan pesakit pada buku rekod
  6. Arahan/cara pengambilan ubat yang lengkap
  7. Label “UBAT TERKAWAL/CONTROLLED MEDICINE” (untuk ubat terkawal sahaja)

Isu perbezaan nama jenama dan nama generik

Pengguna digalakkan mengetahui nama generik ubat dan bukannya nama dagangan ubat untuk mengelakkan kekeliruan. Namun masih ramai yang tidak faham dan keliru dengan nama sebenar sesuatu ubat itu.

Nama penuh ubat atau dikenali dengan nama generik ubat adalah nama kimia atau nama bahan aktif ubat tersebut serta digunapakai di seluruh dunia. Sebagai contoh ‘Paracetamol’ adalah nama generik ubat, nama dagangan/jenama pula adalah nama yang diberi oleh syarikat pengeluar atau pengilang ubat dan ia berbeza daripada satu pengeluar ke satu pengeluar yang lain.

Hak untuk mengetahui nama generik ubat

Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui nama generik ubat yang diambil atau dibekalkan. Jika anda menerima sampul ubat dengan tertulis nama ubat seperti ubat demam,ubat batuk, ubat selesema, ubat tahan sakit atau ubat sakit sendi dan pelbagai lagi, anda berhak untuk meminta agar nama ubat tersebut ditulis dalam nama generik atau bahan aktif ubat tersebut. Pengguna berhak mengetahui nama ubat yang diambil.

Cara Pengambilan Ubat

Ubat perlu diambil dengan cara yang betul bagi mendapatkan kesan optimum ubat-ubatan terhadap sesuatu simptom/penyakit. Ini juga dapat mengelakkan kesan yang tidak diingini. Pengambilan ubat yang betul adalah mengikut arahan yang diberikan pada label sampul ubat.

Justeru itu, arahan cara pengambilan ubat merupakan satu perkara penting yang terdapat pada label sampul ubat. Setiap kali pengguna ingin mengambil ubat, baca dan fahami arahan mengambilan ubat. Arahan pengambilan pada sampul ubat menerangkan kekerapan dan selang masa yang sesuai untuk mengambil ubat tersebut.

Waktu pengambilan melibatkan kekerapan ubat tersebut diambil. Umumnya, sesuatu ubat yang dibekalkan mempunyai arahan pengambilan seperti berikut:

Arahan khas pengambilan melibatkan ubat-ubatan tertentu sahaja. Umumnya, sesuatu ubat yang dibekalkan mempunyai arahan khas pengambilan seperti berikut:-

  1. Sebelum makan

    Tujuan arahan ini adalah untuk mengelakkan interaksi ubat terhadap makanan yang akan diambil. Selain itu, ia juga meningkatkan penyerapan ubat yang diambil sewaktu perut kosong (ubat diambil 30 minit sebelum makan). Contoh: ubat Insulin Actrapid Injection, Iron Tablet dsbnya.

  2. Selepas makan

    Tujuan arahan ini adalah untuk mengelakkan iritasi perut. Ini bermaksud ubat tidak boleh diambil sewaktu perut kosong. Contoh: ubat Mefenamic Acid, Ranitidine dsbnya.

  3. Sebelum/selepas makan

    Arahan ini diberikan untuk ubat-ubatan yang tindakan dan pengambilannya tidak terganggu oleh makanan atau perut kosong. Contoh: ubat Paracetamol, Chorpheniramine dsbnya.

  4. Bersama makanan

    Tujuan arahan ini adalah untuk mempertingkatkan kesan ubat dan menggalakkan penyerapan yang lebih efektif. Contoh ubat Acarbose, Calcium Carbonate dsbnya.

  5. Ambil waktu pagi sahaja

    Sebagai contoh ubat Frusemide yang boleh menyebabkan kerap membuang air kencing. Ia boleh menganggu tidur pesakit. (Jika bekerja waktu malam maka perlu diambil waktu malam)

  6. Ambil waktu malam sahaja

    Sesetengah ubat memberi kesan yang optimum jika diambil pada waktu tidur. Contoh: ubat Simvastatin perlu diambil pada waktu malam kerana sintesis kolesterol meningkat pada waktu malam.

  7. Ambil bila perlu

    Arahan ini diberi untuk ubat yang perlu diambil jika ada simptom atau penyakit sahaja. Contoh: ubat Paracetamol, Mefenamic Acid.

Label Amaran

Sebagai makluman kepada pengguna selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada (Akta Racun 1952) semua ubat-ubatan yang dijual atau dibekalkan perlu mempunyai label “Ubat Terkawal / Controlled Medicine”.

Selain daripada itu, label “Untuk Kegunaan Luaran / For External Use Only” juga perlu ada untuk ubat-ubatan yang dijual atau dibekalkan untuk kegunaan luaran seperti losyen dan krim perubatan dalam bahasa Malaysia, Inggeris Cina dan Tamil. Label ini perlulah dalam tulisan merah atau berlatar belakang merah.

Label Harga Ubat

Pada tahun 2011, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula memperkenalkan label harga ubat pada setiap ubat yang dibekalkan kepada pesakit termasuk juga pada sampul-sampul ubat.

Tujuan meletakkan label harga ubat ini adalah memberi maklumat kepada pesakit berkaitan harga ubat agar mereka lebih memanfaatkan serta menghargai pemberian ubat bersubsidi kerajaan seterusnya patuh dalam pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Semakan Akhir : 04 Januari 2016
Penulis : Mohd Dziehan bin Mustapa
Akreditor : Norhayati bt. Musa