A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Evening Primrose Oil (EPO)

Evening Primrose Oil (EPO)

Pendahuluan : Apakah itu Evening Primrose Oil (EPO)?

Evening primrose (atau dalam bahasa Latinnya Oenothera biennis) merupakan tumbuhan yang unik serta menarik yang juga dikenali sebagai ‘evening star’. Tumbuhan ini terdapat di kawasan iklim sederhana di Amerika Utara dan Eropah serta di tempat-tempat lain di seluruh dunia yang mempunyai iklim yang sama. Evening primrose oil (EPO) dihasilkan daripada biji benih tumbuhan yang unik ini.

Bahan aktif

Evening primrose oil lazimnya digunakan dalam pemakanan tambahan dan kosmetik. Bahan aktif yang terdapat dalam evening primrose oil adalah asid lemak omega-6, asid gamma-linolenik dan asid linoleik (asid lemak perlu). Asid lemak perlu adalah penting dalam badan bagi tujuan tumbesaran dan perkembangan.

Cara penggunaan

Evening primrose oil dijual sebagai pemakanan tambahan herba dan boleh didapati dalam bentuk oral dan ubat sapu. Ikut semua arahan yang ditulis pada pakej produk. Rujuk kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan maklumat yang diberikan.

Kegunaan

  • Evening primrose oil digunakan untuk melegakan ekzema (keadaan di mana kulit mengalami keradangan, menjadi gatal atau bersisik akibat alergi atau iritasi lain). Evening primrose oil dapat membantu melembapkan dan melembutkan kulit apabila ia disapukan pada kulit.
  • Evening primrose oil juga digunakan untuk melegakan simptom-simptom fizikal dan psikologikal sindrom prahaid seperti sakit pada payudara akibat perubahan hormon semasa haid, serta simptom menopaus seperti ‘hot flushes’ serta kekejangan otot.
  • Evening primrose oil digunakan untuk keadaan yang yang melibatkan keradangan seperti artritis reumatoid. Dalam kes ini, asid gamma linolenik yang terdapat dalam evening primrose oil menghalang penghasilan bahan kimia yang menyerupai hormon dalam darah yang dinamakan prostaglandin.

Dos

Evening primrose oil adalah persediaan herba. Dos bagi persediaan herba ditentukan oleh pelbagai faktor, termasuklah:

  • Keadaan tumbesaran dan penuaian
  • Bahagian tumbuhan
  • Kaedah pengekstrakan yang digunakan

Dos evening primrose oil yang lazimnya disarankan adalah 1-3 gram sehari. Walau bagaimanapun, dos sehingga 8 gram sehari pernah digunakan dalam kes ekzema di Amerika untuk dewasa. Pengguna disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya dos yang digunakan adalah melebihi dos yang disarankan.

Kesan Sampingan

Evening primrose oil secara umumnya diterima baik oleh kebanyakan orang. Kesan sampingan ringan yang selalu dialami termasuklah:

  • Gangguan gastrointestinal seperti cirit-birit, kembung perut, loya
  • Sakit kepala

Perhatian

    1. Kontraindikasi
      • Hypersensitif terhadap evening primrose
      • Pada pesakit yang mengalami gangguan psikiatrik (skizophrenia) serta pesakit yang menerima ubat epilepsi, Evening primrose oil mungkin mempunyai potensi untuk menyebabkan epilepsi ‘temporal lobe’ (Newall,1966)
      • Tiada kajian keselamatan yang pernah dijalankan berkaitan penggunaan evening primrose oil semasa kehamilan, maka ia tidak digalakkan untuk digunakan semasa dalam tempoh kehamilan.

 

  1. Interaksi ubat / makanan
  • Antikoagulasi (Ubat yang digunakan untuk mencegah pembekuan darah) Pengambilan evening primrose oil dan antikoagulasi bersama-sama mungkin boleh meningkatkan risiko pendarahan. Elakkan pengambilan evening primrose oil bersama-sama antikoagulasi. Sekiranya diperlukan pengambilan bersama-sama antikoagulasi, tanda-tanda serta simptom pendarahan perlu diawasi. Dapatkan nasihat profesional daripada doktor atau ahli farmasi.
  • Antikonvulsi (Ubat yang digunakan untuk mengawal (mencegah) atau menghentikan epilepsi atau sawan) Pengambilan evening primrose oil dan antikonvulsi bersama-sama mungkin boleh mengurangkan efikasi atau keberkesanan antikonvulsi. Oleh yang demikian, kombinasi ini perlu dielakkan atau hanya digunakan dengan berhati-hati.
  • Agen antiplatelet (Ubat yang digunakan untuk mencegah penggumpalan platelet dalam darah)Pengambilan evening primrose oil dan antiplatelet bersama-sama mungkin boleh meningkatkan risiko pendarahan. Elakkan pengambilan evening primrose oil bersama antiplatelet. Sekiranya diperlukan pengambilan bersama-sama antiplatelet, tanda-tanda serta simptom pendarahan perlu diawasi. Dapatkan nasihat professional daripada doktor atau ahli Farmasi.
  • PhenothiazinePengambilan bersama evening primrose oil dan phenothiazine dalam rawatan pesakit skizophrenia meningkatkan risiko berlaku epilepsi atau sawan. Oleh yang demikian, elakkan pengambilan evening primrose oil bersama-sama phenothiazines.

Nota:

Maklumat ini merupakan rumusan dan tidak mengandungi semua maklumat berkenaan produk tersebut. Maklumat ini tidak menjamin bahawa produk tersebut adalah selamat, efektif atau sesuai untuk anda. Maklumat ini bukanlah nasihat kesihatan secara individu dan tidak menggantikan nasihat professional kesihatan anda. Bertanyalah kepada doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan produk tersebut serta keperluan kesihatan anda secara lebih spesifik.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Munira bt. Muhammad
Penyemak : Che Pun bt. Bujang

 

Artikel Berkaitan

Pewarna Rambut

Pengenalan Pewarna rambut dikenali juga sebagai cat rambut yang digunakan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,226,644

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia