A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

St. John’s Wort

Pengenalan

St John’s Wort merupakan herba yang diesktrak daripada bunga dan daun sejenis pokok renek yang mempunyai bunga berwarna kuning.

St John’s Wort sebenarnya berasal dari Eropah.Walau bagaimanapun, St John’s Wort kini banyak ditemui di Australia sebagai tanaman yang menghasilkan 20 peratus daripada bekalan dunia.

Penggunaan St John’s Wort bermula sejak zaman purba Yunani. Hippocrates mencatatkan penggunaan bunga St John’s Wort dalam bidang perubatan. St John’s Wort diberi nama sedemikian kerana musim berbunga herba ini adalah kira-kira pada 24hb Jun iaitu pada hari lahir John The Baptis. Manakala “Wort” adalah perkataan lama bahasa Inggeris untuk tumbuhan.

Bahan aktif

Penyelidik telah menjumpai sejenis bahan kimia dalam St. John’s Wort yang dikenali sebagai hypericin dan ia bertanggungjawab memberi kesan terhadap kemurungan. Maklumat terkini menunjukkan satu lagi bahan kimia iaitu hyperforin, memainkan peranan yang lebih penting dalam rawatan kemurungan.

Kegunaan

St John’s Wort kebiasaannya digunakan untuk rawatan kemurungan dan simptom-simptom yang berkaitan dengan kemurungan seperti kebimbangan, keletihan, hilang selera makan dan masalah gangguan tidur. Terdapat beberapa bukti saintifik yang kukuh menunjukkan keberkesanan terhadap kemurungan tahap ringan hingga sederhana.

Bagaimana ubat bertindak

Natural Medicines Comprehensive Database menilai keberkesanan berdasarkan bukti saintifik mengikut skala tertentu. St.John’s Wort didapati agak berkesan (likely effective) untuk kemurungan tahap ringan hingga sederhana. Namun begitu ia digunakan untuk rawatan jangkamasa pendek sahaja. Hypericin dan hyperforin yang terdapat dalam St.John’s Wort bertindak sebagai pengutus kimia ( chemical messenger) dalam sistem saraf yang mengawal kemurungan.

Walaubagaimanapun, disebabkan St.Jon’s Wort mempunyai banyak interaksi ubat. Ia bukanlah pilihan utama dalam rawatan kemurungan terutama bagi pesakit yang mengambil ubat lain.

Dos

St John’s Wort disediakan dalam bentuk kapsul yang perlu ditelan. Penggunaan secara sapu tidak digalakkan sama sekali kerana boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

Dos mengikut kajian penyelidikan saintifik untuk rawatan kemurungan tahap ringan ke sederhana:

  1. Apabila menggunakan St John Wort dengan kandungan ekstrak standard 0.3% hypericin: 300 mg tiga kali sehari.
  2. Apabila menggunakan St John Wort dengan kandungan ekstrak standard 0.2% hypericin: 250 mg dua kali sehari.
  3. Apabila menggunakan St John Wort dengan kandungan ekstrak standard 5% hyperforin: 300 mg tiga kali sehari.
  4. Bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dengan symptom kemurungan: St John’s Wort dengan kandungan ekstrak standard 0.3% hypericin: 300 mg setiap hari.

Masa pengambilan

St John’s Wort perlu diambil selepas makan dengan masa yang sama setiap hari bagi mendapatkan kesan yang optimum.

Tempoh pengambilan

St John’s Wort tidak boleh diambil untuk jangka masa yang lama. Jika mengalami kesan sampingan atau tidak menunjukkan sebarang kesan, nasihat untuk memberhenti pengambilan adalah disyorkan. Nasihat pengambilan jangka masa panjang perlu diperoleh daripada doktor atau ahli farmasi.

Namun, St John’s Wort tidak boleh diberhentikan secara tiba-tiba bagi individu yang sudah mengambil untuk satu tempoh masa yang lama. Ini mungkin menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Oleh itu, ia perlu diberhentikan secara beransur-ansur.

Interaksi

Interaksi ubat berlaku apabila ubat saling bertindak dengan bahan lain yang mendatangkan kesan yang lain daripada yang sepatutnya. Interaksi ini boleh menyebabkan ubat tersebut kurang berkesan atau sebaliknya dan mungkin boleh membahayakan pesakit.

  1. Interaksi dengan herba dan supplemen?

    Tiada interaksi yang dikenali pasti dengan herba dan supplemen.

  2. Adakah terdapat interaksi dengan makanan?

    Tiada interaksi yang dikenali pasti dengan makanan.

  3. Adakah terdapat interaksi dengan ubat-ubatan?

    St John’s Wort mempunyai interaksi dengan ubat-ubatan berikut:

    • Warfarin
    • Ciclosporin
    • Theophylline
    • Oral contraceptive
    • Amitriptyline
    • Nortriptyline
    • Digoxin
    • Carbamazepine

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah telah memutuskan produk yang mengandungi St.John’s Wort perlu mempunyai arahan pada kotak seperti berikut:

  • “Produk ini boleh mempunyai interaksi dengan ubat lain. Sila dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi sebelum menggunakannya”.

Kesan sampingan yang mungkin dialami

St. John’s Wort MUNGKIN SELAMAT bagi kebanyakan orang yang mengambil untuk jangka pendek. Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin dialami seperti:

  1. masalah tidur
  2. mimpi
  3. keresahan
  4. kebimbangan
  5. cepat marah
  6. sakit perut
  7. keletihan
  8. mulut kering
  9. pening
  10. sakit kepala
  11. ruam kulit
  12. cirit-birit
  13. berdenyut-denyut

Langkah berjaga-jaga & amaran khas

Pesakit juga perlu maklumkan kepada doktor apabila mengambil St John’s Wort dengan mempunyai keadaan-keadaan seperti di bawah:

  1. Mengandung dan penyusuan

    St John’s Wort mungkin TIDAK selamat apabila diambil semasa mengandung. Ibu-ibu menyusu yang mengambil St John’s Wort boleh mengalami sakit perut, mengantuk, dan kelesuan. Memandangkan tiada data saintifik yang jelas, jangan menggunakan St John’s Wort jika anda sedang mengandung atau menyusukan bayi.

  2. Attention deficit-hyperactivity disorder (ADHD)

    Walaupun ada kalanya St John’s Wort digunakan untuk rawatan ADHD, St John’s Wort mungkin juga boleh memburukkan lagi gejala ADHD, terutama dalam kalangan mereka mengambil ubat methylphenidate untuk ADHD.

  3. Ketidaksuburan

    Terdapat beberapa kebimbangan bahawa St John’s Wort mungkin mengganggu individu untuk hamil. Jika anda cuba untuk hamil dan diketahui masalah kesuburan, nasihat untuk tidak menggunakan St John’s Wort disyorkan.

  4. Gangguan bipolar

    St John’s Wort boleh menyebabkan mania dalam sesetengah individu dan juga boleh mempercepatkan kitaran antara kemurungan dan mania.

  5. Kemurungan utama

    St John’s Wort mungkin membawa kepada simptom mania dengan keadaan aktiviti fizikal yang berlebihan dan tingkah laku impulsif.

  6. Schizophrenia

    St John’s Wort mungkin membawa kepada psikosis pada sesetengah orang yang mengalami Schizophrenia.

  7. Anesthesia dan pembedahan

    Penggunaan Anesthesia terhadap individu yang telah menggunakan St John’s Wort selama enam bulan boleh membawa kepada komplikasi jantung yang serius semasa pembedahan. Nasihat untuk berhenti menggunakan St John’s Wort sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan disyorkan.

  8. Alzheimer

    Terdapat kebimbangan bahawa St John’s Wort mungkin menyumbang kepada demensia bagi individu dengan penyakit Alzheimer.

Penyimpanan ubat

St John’s Wort perlu disimpan pada suhu bilik kurang daripada 30ºC. Bahan aktif St. John’s Wort akan dinyahaktif sekiranya terdedah kepada cahaya. Oleh itu, ia perlu disimpan di dalam botol amber / botol legap.

Nota: Maklumat ini merupakan rumusan dan tidak mengandungi semua maklumat berkenaan produk tersebut. Maklumat ini tidak menjamin bahawa produk tersebut adalah selamat, efektif atau sesuai untuk anda. Maklumat ini bukan nasihat kesihatan secara individu dan tidak menggantikan nasihat profesional kesihatan anda. Dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi anda.

Semakan Akhir : 15 November 2013
Penulis: : Kobu a/l Thiruvanackan
Akreditor: : Munira bt. Muhammad

 

Related Article

Methylphenidate

Introduction Methylphenidate is a stimulants that activate, enhance, or increase

Paracetamol

Pengenalan Paracetamol atau lebih dikenali dengan pelbagai nama dagang contohnya

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,347,203

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia