Rogol

Apakah yang dimaksudkan dengan rogol?

RAPE IS VIOLENCE

Mengikut seksyen 375, panel kod Malaysia, seorang lelaki itu dikatakan telah melakukan perbuatan rogol jika dia telah mengadakan persetubuhan dengan seorang perempuan dalam keadaan-keadaan seperti berikut:

  • Tanpa kerelaan perempuan tersebut
  • Tanpa mendapat keizinan perempuan tersebut
  • Dengan kebenaran, tetapi kebenaran itu diperolehi dengan ugutan bunuh atau kecederaan kepada beliau atau kepada orang lain, atau menyalahanggap fakta yang sebenar dan lelaki tersebut tahu atau mempunyai sebab untuk percaya akibat dari salah anggapan tersebut
  • Dengan kebenaran perempuan tersebut tetapi dengan menipu
  • Dengan kebenaran, tetapi semasa kebenaran itu diberi, perempuan itu tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dan akibatnya dari memberi kebenaran tersebut, contohnya sewaktu perempuan itu mabuk, kurang sedar dan kecacatan mental
  • Jika perempuan tersebut di bawah umur, walaupun dengan kebenaran

Sejauh manakah masalah ini di Malaysia?

Kebanyakan kes rogol tidak dilaporkan. Kebanyakan mangsa rogol tidak membuat laporan kerana banyak sebab, antaranya:

  • Terlalu sedih untuk memikirkannya
  • Terlalu malu untuk memberitahu
  • Diugut untuk tidak membuat laporan
  • Tidak memahami masalah yang berlaku

Apakah kesan rogol kepada mangsa?

Sebaik sahaja selepas kejadian:

  • Reaksi emosi (marah, takut, gelisah, malu, rasa bersalah, terhina, menyalahkan diri sendiri dan rasa lemah)

Kesan jangka panjang:

  • Kehamilan yang tidak diingini, Penyakit kelamin, Gangguan tidur, Kemurungan, Sentiasa terbayang peristiwa tersebut, Perasaan takut yang melampau, Gagal dalam perhubungan. Mereka yang mengalami trauma secara psikologi mungkin akan menunjukkan tingkahlaku untuk membunuh diri dan perlu kepada pertolongan pakar psikiatri

Apakah yang perlu kamu lakukan jika kamu adalah mangsa rogol?

Rogol adalah perbuatan jenayah. Ia perlu dihalang daripada berlaku. Semua kes rogol perlu dilaporkan kepada polis supaya semua tindakan yang sepatutnya boleh diambil ke atas perogol.

Anda tidak boleh menghadapi trauma ini keseorangan. Dapatkanlah bantuan dengan segera. Sila datang ke Pusat Krisis Bersepadu (One Stop Crisis Center- OSCC) yang berdekatan.

Sekiranya anda telah dirogol, jangan mandi atau membersihkan diri sebelum datang ke OSCC. Mungkin masih ada kesan air mani atau cairan badan, debu-debu, rambut atau apa saja yang boleh digunakan sebagai bahan bukti terhadap perogol nanti.

Apakah hukuman terhadap perogol?

Berdasarkan kepada undang-undang Malaysia, jika disabitkan kesalahan, perogol akan dihukum mandatori minima selama 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun penjara termasuk dirotan.

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Rosnah Ramly
Penyemak : Dr. Haris Njoo Suharjono