A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Apa itu AIDS?

AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) atau Sindrom Kurang Daya Tahan adalah satu penyakit yang serius disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus).

Seseorang individu mendapat AIDS apabila virus HIV telah merosakkan sistem pertahanan tubuh badan. Apabila sistem pertahanan badan tidak berfungsi, bakteria dan virus-virus lain boleh menjangkiti tubuh badan, menjadikan individu tersebut sakit teruk.

 

Bagaimana anda dijangkiti HIV?

Anda boleh dijangkiti HIV jika anda terdedah/tersentuh dengan bendalir badan individu yang HIV positif. Bendalir badan yang boleh menyebarkan virus ini adalah :

  • Darah
  • Cecair faraj
  • Air mani
  • Susu ibu

Bendalir yang dijangkiti ini boleh meresap ke tubuh badan seseorang semasa :

  • Mengadakan hubungan seks dengan individu yang HIV positif
  • Berkongsi jarum dan/atau alat suntikan dengan individu yang HIV positif ( contohnya: bertatu, bertindik/menebuk bahagian badan atau pengambilan dadah secara suntikan)
  • Terdedah kepada darah seseorang yang HIV positif
  • Ibu hamil yang HIV positif akan merebakkan virus kepada kandungannya semasa hamil, semasa kelahiran dan semasa penyusuan susu ibu

Anda TIDAK akan mendapat HIV melalui :

  • Bersalam
  • Berpeluk
  • Bersin ataupun batuk
  • Gigitan nyamuk atau lain-lain serangga
  • Berenang
  • Berkongsi perkakas untuk makan

 

Siapa yang berisiko untuk untuk mendapat HIV?

Jika anda :

  • Mempunyai ramai pasangan seksual
  • Penagih dadah secara suntikan
  • Pelacur
  • Homoseksual
  • Kakitangan perubatan

 

Bagaimana HIV bertindak ke atas tubuh badan?

HIV merosakkan sel pertahanan tubuh badan yang dipanggil ‘CD4 helper lymphocyte’ (Sel CD4).

Sel CD4 bertindak sebagai utusan kepada sel-sel sistem pertahanan tubuh badan yang lain, memberitahu mereka untuk melawan organisma yang menceroboh

HIV melekat dan menjangkiti sel CD4 dan mejadikan sel CD4 sebagai tempat untuk menggandakan virus HIV. Dalam proses ini, sel CD4 yang dijangkiti hilang keupayaan untuk melawan jangkitan lain.

Mereka yang mendapat AIDS, tidak mampu untuk melawan pelbagai jangkitan dan boleh juga mendapat jenis kanser yang tertentu contohnya Karposi sarcoma dan lymphoma.

AIDS boleh melibatkan semua sistem dalam tubuh badan.

 

Bagaimana anda mengetahui yang anda HIV positif?

Tanda-tanda jangkitan HIV dan AIDS mungkin tidak timbul untuk beberapa tahun dan anda mungkin tidak mengetahui yang anda telah mendapat penyakit ini. Walaubagaimanapun anda masih boleh meyebarkan virus HIV kepada orang lain pada peringkat ini.

Jangkamasa tanda-tanda ini timbul bergantung kepada individu

Apabila Sistem Pertahanan Tubuh dilumpuhkan oleh Penyakit AIDS/HIV, tanda-tandanya termasuk :

  • Terlalu lemah dan lesu
  • Penurunan berat badan yang mendadak
  • Demam panas yang kerap
  • Peluh malam
  • Kelenjar limfa membengkak
  • Ruam kulit dan ulser pada permukaan mukosa. Contoh : lapisan dalam mulut
  • Cirit-birit yang kronik
  • Batuk kronik
  • Hilang ingatan
  • Jangkitan teruk yang tidak dapat dirawat


Bintik-bintik putih pada mulut dan kerongkong

 

Bagaimana jangkitan HIV dikesan?

Jumpa doktor untuk ujian darah. Keputusan ujian darah akan mengambil masa beberapa hari.

Keputusan anda adalah sulit. Anda juga boleh mendapatkan sesi kaunseling untuk maklumat lanjut mengenai jangkitan HIV dan pencegahannya.

 

Bolehkah ia dirawat?

Pada masa ini jangkitan HIV tidak dapat dipulih sepenuhnya.

Kombinasi ubatan antivirus dan ubatan yang meningkatkan pertahanan tubuh badan digunakan untuk mengawal jangkitan, bagi terus hidup sihat dan memanjangkan usia pengidap HIV.

 

Bagaimana anda mencegah HIV?

Pada masa ini tiada vaksin yang berkesan.

Walau bagaimanapun jangkitan HIV dapat dicegah melalui :

  • Cara yang paling baik adalah dengan mengelakkan diri dari hubungan seks.
  • Jika anda aktif melakukan hubungan seks, amalkan hubungan seks yang selamat.
    • Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar pasangan.
    • Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Chlamydia, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
    • Elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda.
  • Guna jarum bersih dan tidak tercemar

Jika anda berumur 16 tahun ke bawah, menjalin hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali anda telah berkahwin.

  • Undang-undang Malaysia menyatakan bahawa perhubungan seks dengan remaja perempuan yang berumur 16 tahun dan ke bawah, samada dengan persetujuan atau tidak, akan mengakibatkan lelaki berkenaan disabitkan kesalahan merogol.

Jika anda juga mengidap jangkitan seksual (STIs)pada masa yang sama, anda berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan HIV semasa melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.

 

Semakan Akhir : 27 April 2012
Penulis : Dr. Hargeet Kaur Basant Singh
Penyemak : Dr. Nik Rubiah bt. Nik Abd Rashid

 

Related Article

Chlamydia

Chlamydia is a bacterial infection. It is one of the most common sexually transmitted diseases in Malaysia.

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,371,848

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia