A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Pil Pencegah Kehamilan

Apakah itu Pil Kontraseptif Oral atau Pil Pencegah Kehamilan?

Ubat yang digunakan untuk mencegah kehamilan. Pil pencegah kehamilan ini mengandungi hormon wanita sama ada:

  • Kombinasi estrogen dan progestogen.
  • Progestogen.

Bagaimanakan Pil Ini Bertindak?

Bertindak mencegah kehamilan dengan menukar keseimbangan hormon badan secara:

  • Mencegah ovulasi (menghalang pengeluaran telur) dengan merencatkan proses kematangan telur.
  • Menghalang sperma daripada mempersenyawakan telur.
  • Menukar ketebalan dinding sel rahim dan menghalang proses implantasi.

Apakan Kelebihan Pil Ini?

  • Merupakan kaedah mencegah kehamilan yang berkesan yang mana tahap kegagalan adalah 1% jika diambil dengan cara yang betul.
  • Bagi wanita yang merancang untuk hamil, mereka hanya perlu berhenti mengambil pil dan mereka akan subur seperti sedia kala.
  • Mempunyai kegunaan lain, seperti melancarkan peredaran haid dan mengurangkan jerawat.

Bagaimanakah Keberkesanan Pil Ini?

  • 99% berkesan jika diambil dengan betul tetapi tidak melindungi individu daripada penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks termasuk HIV/AIDS.
  • Cara pengambilan yang betul bermaksud patuh kepada arahan pengambilan dos dan mengambil langkah pencegahan tambahan sekiranya perlu.

Siapakah yang tidak patut mengambil pil ini?

Kebanyakan wanita boleh mengambil pil pencegah kehamilan sekiranya memiliki kesihatan yang baik, tidak mengalami berat badan berlebihan, tidak merokok dan tidak mempunyai masalah perubatan; pil tersebut boleh diambil sehingga putus haid. Wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan perlu menukar kepada kaedah kontraseptif lain apabila mencapai umur 50 tahun.

Doktor akan berbincang status terkini dan sejarah kesihatan anda. Beberapa penyakit diketahui dapat menyebabkan peningkatan risiko atau masalah kesihatan lain akibat pengambilan pil pencegah kehamilan ini. Oleh itu, kesesuaian pengambilan pil pencegah kehamilan ini bergantung kepada keadaan kesihatan wanita tersebut, contohnya wanita yang mengalami penyakit hepatitis, kanser payu dara atau sedang mengambil ubat-ubatan tertentu adalah tidak sesuai untuk mengambil pil pencegah kehamilan.

Sila maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anda pernah/sedang mengalami masalah berikut. Doktor atau ahli farmasi mungkin akan mencadangkan kaedah alternatif yang sesuai untuk anda bagi mencegah kehamilan.

  • Pernah mengalami serangan jantung atau strok
  • Pembekuan darah di kaki, paru-paru atau mata
  • Pernah mengalami pembekuan pada salur darah di kaki
  • Sakit dada
  • Menghidap atau disyaki menghidap kanser payu dara, atau kanser uterus, serviks atau vagina
  • Penyakit jaundis (kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning) semasa mengandung atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan
  • Tumor hati
  • Hamil atau disyaki hamil

Awasi Tanda Dan Simptom Berikut Semasa Mengambil Pil Pencegah Kehamilan.

Sila berjumpa dengan doktor jika anda mengalami tanda atau simptom berikut:

  • Gangguan pada penglihatan termasuk penglihatan kabur
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit kaki pada peha atau betis yang teruk
  • Sakit dada yang teruk, sesak nafas, atau batuk berdarah
  • Sakit perut yang teruk

Bagaimanakah cara untuk saya mengambil pil ini?

Terdapat pelbagai jenama pil yang mengandungi jumlah dan jenis hormon estrogen dan progestogen yang berbeza. Kesemua produk tersebut didatangkan dengan sisip bungkusan. Pastikan anda baca dengan teliti sisip bungkusan tersebut dan fahami cara pengambilan pil serta arahan spesifik yang perlu dilakukan sekiranya anda terlupa mengambil pil ataupun muntah.

Dos:

Satu tablet diambil secara oral pada masa yang sama setiap hari. Ambil bersama makanan atau dengan segera selepas makan bagi mengurangkan kerengsaan pada perut.

Perkara yang anda harus ingat ketika mula mengambil pil pencegah kehamilan:

  1. Pastikan anda baca dengan teliti sisip bungkusan yang disertakan.
    • Sebelum anda mula mengambil pil tersebut.
    • Setiap kali apabila anda tidak pasti cara pengambilan pil tersebut.
  2. Tentukan masa untuk pengambilan pil.
    • Ambil pil tersebut pada masa yang sama setiap hari.
    • Pil yang terlupa/tertinggal diambil boleh menyebabkan kehamilan. Semakin banyak pil yang terlupa/tertinggal, semakin besar kemungkinan anda akan hamil.
  3. Perhatikan jumlah pil anda sama ada 21 atau 28 pil.
    • Pek 21-pil mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama tiga minggu, dan diikuti dengan satu minggu tanpa pil.
    • Pek 28-pil mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama tiga minggu, dan diikuti dengan satu minggu pil tidak aktif.
  4. Tentukan:
    • Masa pengambilan pil berdasarkan pek ubat tersebut.
    • Urutan pengambilan pil. Kebanyakan pek ubat mencatatkan nombor urutan mengikut hari atau minggu.
  5. Kebanyakan wanita mengalami pendarahan ringan/tompokan darah, atau sakit perut sewaktu pengambilan awal antara 1 hingga 3 pek pil yang biasanya akan hilang.Sekiranya sakit berlarutan, sila berjumpa dengan doktor.
  6. Muntah, cirit-birit dan sesetengah ubat boleh menyebabkan keberkesanan pil pencegah kehamilan anda berkurang. Anda disarankan untuk menggunakan kaedah kontraseptif alternatif (contoh kondom).

Apa Yang Patut Saya Lakukan Jika Terlupa/Tertinggal Dos

Arahan mengenai dos yang tertinggal/terlupa adalah berbeza dan bergantung kepada jenama pil tersebut dan juga jumlah dos/pil yang terlupa/tertinggal. Sila rujuk kepada sisip bungkusan untuk mengetahui arahan mengenai dos yang tertinggal.

Apakah Ubat Ini Mempunyai Kesan Sampingan Apabila Mengambilnya?

Berikut adalah kesan sampingan yang biasa dialami akibat penggunaan pil pencegah kehamilan:

  • Pendarahan vagina
    Pendarahan vagina yang tidak normal atau tompokan darah mungkin berlaku sepanjang tempoh pengambilan pil pencegah kehamilan. Pendarahan kerap berlaku semasa bulan-bulan awal pengambilan pil pencegah kehamilan tetapi boleh juga berlaku apabila anda telah mengambil pil pencegah kehamilan untuk tempoh yang lama. Pendarahan yang berlaku adalah bersifat sementara dan kebiasaan tidak berkait dengan masalah kesihatan yang serius. Penting bagi anda untuk mengambil pil tersebut mengikut jadual. Jika pendarahan vagina berlaku melebihi satu kitaran atau berlanjutan sehingga beberapa hari, sila berjumpa doktor.
  • Kanta lekap
    Jika anda menggunakan kanta lekap dan mendapati terdapat gangguan pada penglihatan atau tidak dapat menggunakan kanta lekap, sila berjumpa doktor.
  • Edema/bengkak badan
    Pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan edema (retensi air dalam badan) seperti sembap pada jari tangan atau buku lali dan peningkatan pada tekanan darah. Sekiranya anda mengalami gejala ini, sila berjumpa doktor.
  • Melasma
    Tompok hitam pada kulit terutamanya di kawasan muka.
  • Kesan-kesan sampingan lain
    Kesan sampingan lain yang mungkin dialami termasuk loya, muntah, perubahan kepada selera makan, sakit kepala, gemuruh, kemurungan, pening, keguguran rambut, ruam dan juga jangkitan pada vagina.

Sekiranya kesan sampingan tersebut mengganggu anda, sila berjumpa doktor.

Ubat Lain Yang Boleh Mempengaruhi Keberkesanan Pil Pencegah Kehamilan.

Terdapat ubat yang boleh berinteraksi dan mempengaruhi keberkesanan ini dalam mencegah kehamilan atau menyebabkan pendarahan pada vagina bertambah. Ubat-ubatan tersebut adalah:

  • Ubat Tuberkolisis (Rifampicin).
  • Ubat-ubatan bagi rawatan epilepsi/sawan seperti barbiturates, carbamazepine, phenytoin, primidone, topiramate.
  • Antibiotik seperti tetracycline, ampicillin, amoxicillin, erythromycin.
  • Ubat migrain.

Anda mungkin perlu menggunakan kaedah kontraseptif tambahan ketika anda mengambil ubat-ubatan tersebut.

Anda perlu memaklumkan tentang pengambilan pil pencegah kehamilan kepada doktor atau ahli farmasi agar mereka dapat memberikan maklumat dan arahan yang tepat.

Amaran

Merokok boleh meningkatkan risiko kesan sampingan penggunaan pil pencegah kehamilan termasuk serangan jantung, pembekuan darah dan juga strok. Risiko adalah lebih tinggi pada wanita yang telah berumur melebihi 35 tahun dan perokok tegar (15 batang atau lebih sehari).

Kaedah Penyimpanan

  • Jauhkan daripada kanak-kanak.
  • Simpan pada suhu bilik, jauh daripada kelembapan dan cahaya terang.
Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Siti Aisah bt. Bahari
Penyemak : Norhayati bt. Yaacob

 

Related Article

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,317,360

LAST UPDATE :
2024-03-19 08:57:27
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia