A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Oral Antikulat

Antikulat dan kegunaan

Jangkitan kulat kedengaran membahayakan dan agak keterlaluan, tetapi sebenarnya ia adalah disebabkan oleh kulat yang biasa terdapat di persekitaran kita. Kulat adalah organisma yang boleh didapati di dalam tanah, pokok, kulit dan usus manusia. Sesetengah kulat boleh membahayakan kesihatan dengan bertindak sebagai patogen atau toksin. Jangkitan kulat kebiasaannya dikategorikan kepada jangkitan kulat biasa dan jangkitan kulat invasif. Jangkitan kulat biasa adalah jangkitan ringan, dengan simptom seperti ruam atau masalah pernafasan yang ringan. Jangkitan kulat invasif boleh berlaku di dalam tisu badan dan boleh membawa kepada komplikasi yang serius seperti meningitis atau kematian. Ubat antikulat digunakan untuk merawat jangkitan kulat dan pilihan ubat antikulat bergantung kepada dos dan tempoh rawatan. Jenis kulat, lokasi infeksi dan penyakit sedia ada merupakan kriteria utama bagi mempreskripsi ubat antikulat.

Ubat Oral Antikulat

Majoriti ubat oral antikulat diperolehi dengan preskripsi doktor sahaja dan boleh didapati dalam pelbagai bentuk dos seperti tablet, kapsul dan suspensi. Ubat-ubatan ini hanya boleh diambil di bawah pengawasan rapi oleh doktor.

Ubat antikulat berfungsi sama ada dengan membunuh sel kulat atau menghalang sel kulat daripada tumbuh dan membiak. Sel-sel kulat dibunuh melalui tindak balas bahan dalam dinding sel yang akan menyebabkan kandungan sel pecah dan akhirnya sel kulat akan mati.

Jenis Ubat Oral Antikulat

Ubat oral antikulat boleh diklasifikasikan kepada beberapa kumpulan iaitu; Polyene, Imidazole, Triazole dan ain-lain.

Kumpulan
Nama Ubat
Bentuk Dos
Antikulat Polyenes
  • Nystatin
  • Suspensi, Tablet
Antikulat Imidazole
  • Ketoconazole
  • Tablet
Antikulat Tiazole
  • Fluconazole
  • Itraconazole
  • Voriconazole
  • Kapsul
  • Kapsul, Cecair
  • Tablet
Antikulat lain
  • Flucytosine
  • Griseofulvin
  • Terbinafine
  • Tablet
  • Tablet
  • Tablet

Cara pengambilan ubat antikulat

Ubat antikulat perlu diambil sepenuhnya seperti yang telah diarahkan . Ubat ini diambil selepas makan untuk mendapatkan penyerapan ubat yang lebih baik. Periksa label pada ubat untuk arahan dos yang tepat. Bagi mendapatkan kesan yang lebih baik, ubat antikulat perlu diambil pada masa yang sama setiap hari.

Bagi ubat antikulat berbentuk cecair, botol hendaklah digoncang sebelum digunakan dan menyukat dos yang telah ditetapkan dengan menggunakan alat penyukat. Walau bagaimanapun bagi kes jangkitan mulut, ubat suspensi perlu diratakan di bahagian dalam mulut dan perlu dikemam selama mungkin (beberapa minit) sebelum ditelan.

Sekiranya terlupa dos, abaikan dos yang tertinggal sekiranya masa pengambilan untuk dos seterusnya sudah hampir. Jangan gandakan dos ubat.

Kesan Sampingan Ubat Antikulat

Kesan sampingan ubat antikulat bergantung kepada jenis dan dos ubat yang diambil. Kesan sampingan yang biasa ialah rasa loya, muntah dan cirit-birit. Walau bagaimanapun, sesetengah antikulat boleh menyebabkan kesan sampingan lain seperti sakit kepala, keletihan yang luar biasa, hilang selera makan, air kencing dan najis bertukar warna serta jantung berdebar. Kesan sampingan ini tidak memerlukan rawatan perubatan, bagaimanapun jika kesan sampingan ini berterusan, maklumkan kepada doktor.

Sesetengah pesakit boleh menghadapi kesan sampingan yang teruk seperti demam, menggigil, ruam kulit atau gatal-gatal, peningkatan tekanan darah, keguguran rambut, aneroxia atau delusi. Kesan sampingan yang dialami seperti masalah pernafasan, peningkatan enzim hati dan kemerosotan fungsi buah pinggang perlu dipantau dan dirawat oleh doktor dengan segera.

Kesan sampingan yang tidak dilaporkan juga mungkin boleh berlaku. Sesiapa yang mengalami gejala luar biasa selepas mengambil ubat antikulat perlu memaklumkan kepada doktor dengan segera.

Langkah berjaga-jaga

Pesakit dengan penyakit tertentu atau yang mengambil ubat-ubatan lain perlu memaklumkan kepada doktor sebelum mengambil ubat antikulat kerana ia boleh menyebabkan interaksi dengan ubat antikulat.

Pesakit perlu maklumkan kepada doktor sekiranya mengalami alahan terhadap ubat antikulat pada masa lalu. Doktor juga perlu dimaklumkan sekiranya mengalami alahan terhadap makanan, pewarna, pengawet atau bahan-bahan lain.

Wanita yang hamil atau merancang untuk hamil atau ibu yang menyusu perlu memaklumkan kepada doktor sebelum mengambil sebarang ubat antikulat.

Sebelum mengambil ubat antikulat, pesakit perlu memberitahu doktor sekiranya mengalami masalah seperti:

  • penyalahgunaan alkohol
  • penyakit hati
  • penyakit buah pinggang

Pengambilan ubat antikulat dengan ubat-ubatan lain atau makanan boleh menyebabkan interaksi dan memberi kesan kepada cara ubat bertindak atau risiko kesan sampingan mungkin lebih besar. Jus anggur harus dielakkan kerana ia boleh mengurangkan bioavailabiliti ubat antikulat. Kesan sampingan yang tidak diingini boleh meningkat jika alkohol dan kafein diambil bersama ubat.

Cara Menyimpan

Ubat antikulat perlu disimpan pada suhu bilik, 20 hingga 25 darjah Celsius. Suspensi dan larutan cecair perlu berada di dalam botol yang tertutup rapat dan lut cahaya. Ubat perlu disimpan jauh daripada haba, kelembapan dan cahaya. Jangan simpan di dalam bilik mandi. Simpan ubat jauh daripada kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Semua ubat antikulat yang sudah tamat tempoh hendaklah dibuang dan dilupuskan.

Rujukan jika ada kes toksik

Sila dapatkan rawatan perubatan secepat mungkin, jika telah mengambil ubat antikulat lebih daripada dos yang ditetapkan atau mempunyai sebarang tanda-tanda tindak balas alahan yang teruk.

Bagi sebarang pertanyaan sila hubungi talian bebas tol;

  1. Pusat Racun Negara
    Tel: 1-800-88-8099
  2. National Pharmacy Call Center
    Tel: 1-800-88-6722
Semakan Akhir : 05 Jun 2014
Penulis : Ilina Arin bt. Jamaludin
Akreditor : Nur Azibahwati bt. Aziz

 

Related Article

Antiemetik

Apa itu antiemetik Antiemetik adalah kumpulan ubat yang efektif bertindak

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,342,803

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia