Home > PRIME YEARS > Disease > Miokarditis

Miokarditis

Miokarditis adalah keradangan otot jantung. Kebiasaannya disebabkan oleh virus. Gejala -gejala dan masalah yang mungkin berlaku bergantung kepada tahap keterukan jangkitan. Secara amnya ramai orang yang menghidap miokarditis sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan masalah yang serius dan juga kematian dalam beberapa kes.

Apa Yang Menyebabkan Miokarditis?

Miokarditis bermaksud keradangan miokardium. Miokardium adalah otot jantung. Miokarditis boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja dan boleh berlaku dalam sebarang usia. Terdapat pelbagai punca dan penyebab penyakit miokarditis.

Penyebab pesakit miokarditis adalah:

  1. Jangkitan virus
    Terdapat banyak jenis jangkitan virus boleh menjangkiti mana-mana bahagian badan, termasuk otot jantung. Miokarditis boleh terjadi selepas jangkitan  tekak atau paru –paru.
    Namun demikian kebanyakan kes miokarditis sembuh dalam masa seminggu atau lebih kerana sistem imun badan selalunya boleh melawan pelbagai jenis virus. Walau bagaimanapun, kadang-kadang keradangan bertahan lebih lama dari biasa. Virus ini mungkin telah hilang tetapi sistem imun pesakit bertindak balas dalam jangkamasa yang lama. Jika ini berlaku ia akan menyebabkan keradangan yang berterusan dalam jantung.
  2. Miokarditis idiopatik
    Dalam kebanyakan kes miokarditis, punca penyebab penyakit tidak dijumpai. Ini juga mungkin kerana  virus penyebab tidak boleh disahkan melalui ujian.
  3. Sebab-sebab lain
    Sebab-sebab lain miokarditis adalah :
    1. Penyakit Chagas.
    2. Penyakit Lyme.
    3. Miokarditis sel Giant.
    4. Satu kesan sampingan-jarang beberapa ubat-ubatan. (jarang berlaku)
    5. Ejen perosak seperti alkohol berlebihan, radiasi, bahan kimia tertentu dan racun tertentu.
    6. Penolakan dalam pemindahan jantung.

Apakah Tanda-Tanda Penyakit Miokarditis?

Tanda- tanda miokarditis bergantung kepada punca dan keterukan keradangan. Ramai orang yang menghidap miokarditis virus tidak mempunyai sebarang tanda . Keradangan jantung boleh disyaki oleh beberapa perubahan pada elektrokardiogram atau ECG. ( sila  – lihat ‘Bagaimana miokarditis didiagnosa?’ ) di bawah.

Tanda – tanda myokarditis adalah:

  • Sakit dada
  • Demam
  • Denyutan jantung cepat – lebih cepat daripada biasa untuk suhu yang tinggi
  • Denyutan jantung tidak teratur
  • Letih
  • Sesak nafas

Apakah Komplikasi Miokarditis?

  • Komplikasi yang mungkin berlaku termasuk:
  • Pengsan
  • Ritma jantung yang luar biasa cepat, lambat atau tidak teratur.
  • Lemah jantung yang boleh menyebabkan sesak nafas, bengkak kaki dan keletihan

Bagaimana Miokarditis Didiagnosa?

  1. Tanda-tanda yang dialami mungkin membawa kepada diagnosa  miokarditis.
  2. Elektrokardiogram atau ECG yang menunjukkan ritma jantung boleh dilakukan.
  3. X-ray jantung boleh menunjukkan saiz jantung yang lebih besar daripada biasa.
  4. Ujian darah boleh dilakukan untuk menguji beberapa jenis virus yang boleh menyebabkan miokarditis.
  5. Imbasan ultrasound boleh menunjukkan keadaan lemah jantung.
  6. MRI (Pengimejan Resonans Magnetik)boleh menunjukkan parut (scar) di miokardium.
  7. Biopsi endomyocardial. Ini melibatkan pengambilan sampel tisu jantung untuk menyiasat punca miokarditis.
  8. Ujian baru yang lebih sensitif untuk menguji beberapa virus sedang dibangunkan.

Apakah Rawatan Miokarditis?

Rawatan miokarditis bergantung kepada punca dan keterukan miokarditis. Pada permulaan penyakit miokarditis, pesakit perlu banyak berehat. Aktiviti sukan harus dielakkan selama enam bulan. Ini bertujuan untuk mengelakkan tekanan (stress) yang tidak wajar pada otot jantung. Ubat penahan sakit meringankan rasa sakit dada dan demam. Tidak ada rawatan khusus untuk menyembuhkan jangkitan virus. Jangkitan virus penyakit miokarditis selalunya hilang dengan sendiri tanpa sebarang rawatan, biasanya dalam masa seminggu atau lebih.

Pada masa lalu, penggunaan ubat-ubatan yang dikenali sebagai “steroid” telah dicuba. Walau bagaimanapun, kajian klinikal tidak menunjukkan keberkesanan steroid. Ia digunakan dalam kes miokarditis sel gergasi sahaja.

Jika komplikasi berlaku, pelbagai rawatan mungkin diperlukan. Sebagai contoh:

  • Ubat untuk merawat kelemahan jantung atau degupan jantung yang tidak teratur.
  • Perentak  jantung  otomatik  jika ritma jantung yang tidak teratur berlaku.
  • Ubat-ubatan antibiotik jika jangkitan bakteria  adalah penyebab miokarditis.
  • Ubat steroid jika puncanya ialah miokarditis sel gergasi.
  • Pesakit perlu berhenti meminum alkohol jika penyebab miokarditis adalah alkohol.

Apakah Prognosis Pesakit Miokarditis?

Dalam kebanyakan kes miokarditis virus, penyakit itu akan hilang dengan sendiri dan tidak menyebabkan komplikasi. Walau bagaimanapun, sesetengah jenis jangkitan virus adalah lebih serius dan boleh menyebabkan keradangan dan komplikasi yang lebih teruk atau berterusan.
Komplikasi yang berterusan boleh menyebabkan lemah jantung yang mungkin memerlukan rawatan  jangka panjang. Malangnya dalam sesetengah kes, keradangan jantung menyebabkan kerosakan begitu teruk. Dalam situasi ini pilihan rawatan hanyalah pemindahan jantung.

Dalam beberapa kes, jangkitan menjadi lebih teruk dan menjadi tidak responsif kepada rawatan. Miokarditis membawa maut dalam beberapa kes

 

Semakan Akhir : 16 Januari 2015
Penulis : Dr. Ainol Shareha bt. Sahar
Akreditor : Dato’ Dr. Abdul Hadi b. Jaafar