A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Kanta Lekap

Download:

PENGENALAN

Kanta lekap digunakan untuk tujuan pembetulan penglihatan, rawatan dan sebagai alat bantuan penglihatan. Fungsinya sama seperti cermin mata tetapi kanta lekap diletakkan terus pada kornea mata

Kanta lekap lebih ringan dan tidak mudah kelihatan. Kini, penggunaan kanta lekap dipelbagaikan dan bukan hanya terhad kepada pembetulan penglihatan, tetapi juga untuk tujuan kosmetik.

Jika dibandingkan dengan cermin mata, kanta lekap menyediakan medan penglihatan yang lebih luas. Dan kanta lekap jenis lembut sesuai digunakan untuk aktiviti sukan dan aktiviti lasak.

Sebelum memakai kanta lekap, anda mestilah menjalani pemeriksaan mata secara komprehensif dengan Optometris atau Pakar Oftalmologi bagi menentukan sama ada anda sesuai menggunakan kanta lekap atau tidak.

Pemeriksaan refraksi, kornea, kualiti air mata dan pengukuran parameter mata dilakukan bukan sahaja untuk menentukan kesesuaian penggunaan kanta lekap. Ia juga untuk menentukan jenis kanta lekap yang sesuai dengan mata anda.

Kanta lekap tidak sepatutnya dibeli tanpa preskripsi dan pemeriksaan mata yang lengkap. Tindakan anda membeli kanta lekap tanpa menentukan kesesuaian, jenis dan parameter kanta lekap contohnya seperti membeli kanta lekap melalui internet akan mendatangkan masalah sekiranya kanta itu tidak sesuai dengan mata anda.

PENGGUNAAN KANTA LEKAP

Kanta lekap disarankan digunakan selama 8 jam sehari pada waktu siang dan ditanggalkan sebelum tidur

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap di pasaran ketika ini antaranya jenis konvensional yang boleh digunakan sehingga setahun, kanta mingguan yang boleh digunakan seminggu dan dibuang selepas itu atau kanta harian yang hanya dipakai sehari dan terus buang tanpa perlu dicuci.

Walau apa pun jenis kanta lekap yang anda guna, ingat kanta hanya boleh digunakan selama 8 jam sahaja dan mesti ditanggalkan sebelum tidur.

PESANAN PENTING KEPADA PEMAKAI KANTA LEKAP

Terdapat beberapa peraturan penting yang anda harus patuhi apabila menggunakan kanta lekap:

  1. Sentiasa basuh dan bilas tangan anda dengan sabun dan air yang bersih sebelum anda memegang kanta lekap
  2. Pastikan kuku tangan anda bersih dan pendek. Kanta boleh rosak dan terkoyak jika terkena pada hujung kuku
  3. Keluarkan kanta sebelum anda tidur walaupun untuk tempoh tidur yang singkat.
  4. Keluarkan kanta jika mata anda berasa tidak selesa dan basuh kanta dengan larutan pembersih. Jika masih tidak selesa, jumpa Optometris atau Pakar Oftalmologi untuk rawatan selanjutnya.
  5. Anda boleh menggunakan ubat titis khas untuk melegakan mata atau comfort drops/rewetting solutions jika mata berasa kering.
  6. Keluarkan kanta lekap dengan segera sekiranya pandangan anda menjadi kabur berterusan dan hubungi Optometris atau Pakar Oftalmologi.
  7. Keluarkan kanta lekap serta merta jika mata menjadi merah, pedih, sakit dan berair dan jumpa Pakar Oftalmologi dengan segera. Dialog: Cik Raihana ya, Ya saya , Apa masalah mata ya ? Disebab kan saya memakai kanta lekap saya rasa kekadang mata saya merah kekadang pedih . Selalu sebelum dan selepas guna ada cuci tangan basuh , Ya selalu saya memang akan cuci tangan sebelum memakai nya. Jadi ada dua kemungkinan satu ada jangkitan dan lagi satu mata cik tidak sesuai dengan kanta lekap .
  8. Jangan sesekali menggunakan ubat titis air mata selain yang disarankan.
  9. Jangan gunakan larutan kanta lekap jenis keras untuk kanta lekap jenis lembut dan sebaliknya
  10. Pastikan larutan disinfeksi ditukar setiap kali kanta dikeluarkan daripada bekas kanta lekap.
  11. Jangan memakai kanta lekap dalam keadaan udara yang sangat kering, berhabuk atau di tempat yang mengeluarkan asap beracun atau bahan kimia.
  12. Jangan menggunakan semburan rambut semasa memakai kanta lekap kerana ia boleh merosakkan kanta lekap tersebut.
  13. Pakai kanta lekap dahulu sebelum mengenakan solekan terutama di bahagian mata. Dan keluarkan kanta lekap sebelum menanggalkan solekan.
  14. Jangan pakai kanta lekap jika keadaannya kering atau hampir kering. Rendam kanta lekap ke dalam larutan dan dapatkan khidmat nasihat Optometris anda.
  15. Jangan biarkan orang lain memakai kanta lekap anda dan jangan berkongsi kanta lekap. Dialog : Zu buat apa tu? Zu cuba nak pakai kanta lekap kakak . Tidak boleh zu sebab mata kakak dengan mata zu berlainan powernya. Nanti kita beli lain ya.
  16. Jangan memakai kanta lekap melebihi tempoh pemakaian bagi kanta lekap jenis pakai buang
  17. Semua larutan pencuci mestilah dipakai dalam tempoh 3 bulan selepas dibuka.
  18. Tepati semua temujanji dan minta nasihat dari Optometris mengenai kanta lekap anda

KOMPLIKASI TIDAK MEMATUHI ATURAN PEMAKAIAN KANTA LEKAP

Penggunaan kanta lekap tidak harus dipandang ringan kerana kecuaian boleh membawa padah kepada mata anda.

Komplikasi berbahaya yang boleh berlaku ialah jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea. Ia menyebabkan mata merah, kegatalan, rasa tidak selesa dan seterusnya mengakibatkan buta.

Ulser kornea berlaku apabila kuman menjangkiti mata pemakai kanta lekap yang tidak menjaga kebersihan dan tidur tanpa menanggalkan kanta lekap.

Jika ini berlaku, anda dinasihatkan supaya menghentikan sementara penggunaan kanta lekap. Bawa kanta lekap dan bekasnya berjumpa Pakar Oftalmologi atau doktor mata dengan segera.

Doktor akan memeriksa bekas kanta lekap itu serta mata anda yang merah untuk memastikan punca jangkitan.

Ingat, rawatan segera boleh mencegah keadaan daripada menjadi lebih rumit, malahan kebutaan.

Pemakaian kanta lekap melebihi tempoh juga boleh menyebabkan mata merah dan mengganggu penglihatan. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan buta akibat parut yang kekal di kornea.

Pemakaian kanta lekap yang tidak sesuai dengan mata anda seperti kanta yang ketat juga boleh menyebabkan mata kekurangan oksigen dan menjadi merah. Pemakaian yang berterusan akan menyebabkan kornea menjadi berkabut.

CARA MENGUBATI JANGKITAN

Untuk mengubati jangkitan mata, ubat titis antibiotik yang digunakan setiap satu hingga dua jam akan diberikan.

Pesakit juga dikehendaki mendapat rawatan di dalam wad untuk pemantauan rapi.

Demi mengelak kesulitan sebegini, berilah perhatian yang sepatutnya kepada mata anda.

Sememangnya, anda yang bertanggungjawab keatas kesihatan mata anda

Dapatkan pemeriksaan dan konsultasi dari Optometris atau Pakar Oftalmologi sebelum anda memakai kanta lekap.

Jangan lupa patuh pada temujanji untuk memastikan mata anda berada dalam keadaan yang baik.

K

Kaedah Mengurangkan Kesakitan Arthritis dan Bengkak

Kemahiran Berunding

Kemahiran Ibu Bapa terhadap Kanak-kanak

Kemahiran Ibu Bapa terhadap Remaja

 

Related Article

Imej Diri

Download: Skop imej diri bukan hanya tertumpu pada penampilan yang

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 222,233,289

LAST UPDATE :
2024-03-19 08:57:27
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia