Home > Kids > Abdomen > Vomiting > Gastroesophageal Reflux

Gastroesophageal Reflux

Apakah gastroesophageal reflux?

“Gastroesophageal reflux” adalah keadaan di mana isi perut iaitu makanan atau minuman yang diambil tertolak semula ke saluran esofagus iaitu struktur seperti tiub yang menyambungkan mulut dengan perut.

Ianya berlaku apabila “esophageal sphincter” atau pencerut esofagus tidak berfungsi seperti yang sepatutnya iaitu mencegah keadaan ini daripada berlaku. Keadaan ini selalu terjadi di kalangan bayi berumur setahun ke bawah di mana fungsi pencerut esofagus ini belum matang sepenuhnya.

Kadang-kala ia diburukkan lagi dengan pemberian susu lebih daripada apa yang bayi perlukan (terlampau banyak).

Tanda-tanda bayi mengalami masalah ini

Kebanyakan ibu bapa akan melaporkan yang bayi mereka selalu “muak” setiap kali selepas penyusuan (regurgitation). Ada kalanya ia berlaku sewaktu proses penyusuan sedang berlaku.

Sering kali ianya menyebabkan ibu bapa risau dan bimbang kerana kekerapan episod ini terjadi.

Perlu diingat bahawa simptom ini TIDAK sama dengan muntah kerana muntah adalah keadaan yang lebih serius di mana bayi sering “meneran” sebelum kandungan perut terkeluar dengan kuantiti yang lebih banyak dan laju.

Perlukah bayi dibawa berjumpa doktor?

Pemeriksaan doktor perlu untuk memastikan bayi hanya mengalami masalah refluks yang fisiologikal. Secara amnya, ciri-ciri refluks fisiologikal adalah :

  • Bayi masih mengekalkan pertumbuhan fizikal (berat badan) yang normal.
  • Kandungan “muak” yang keluar adalah sedikit dan hanya mengandungi susu yang separuh hadam tanpa ada cecair hijau, kuning atau darah yang bercampur sekali.
  • Biasanya hanya berlaku selepas penyusuan atau sewaktu penyusuan.
  • Bayi kekal ceria dan aktif (tidak lemah atau kurang bermaya) sewaktu dan selepas episod refluks terjadi.

Apakah rawatan yang boleh diberikan untuk bayi yang mempunyai masalah ini?

Untuk refluks fisiologikal, biasanya doktor akan memberikan nasihat berikut :

  • Tinggikan sedikit kepala sewaktu penyusuan (anggaran 45 darjah).
  • Kekalkan posisi yang sama untuk lebih kurang 30 minit selepas penyusuan.
  • Doktor akan menganggarkan keperluan bayi (jumlah susu yang perlu diminum sehari sekiranya ia susu formula) dan seterusnya menasihatkan ibu tidak memberi terlampau banyak susu sewaktu penyusuan. Untuk bayi yang menyusu badan masalah “overfeeding” jarang berlaku kerana bayi akan melepaskan puting setelah berasa kenyang.
  • Mengelakkan penggunaan “barut” atau pakaian yang ketat terutamanya yang mempunyai getah elastik yang ketat di pinggang.
  • Kadang-kala frekuensi “muak” terjadi terlalu kerap menyebabkan doktor perlu memulakan rawatan ubat-ubatan untuk membantu mengurangkan masalah ini.

Bolehkah bayi yang mengalami masalah ini pulih?

Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana KEBANYAKAN bayi yang mengalami masalah ini akan pulih sepenuhnya apabila usia mereka mencecah lebih kurang satu tahun (anggaran). Sebilangan kecil mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih.

Bolehkah kanak-kanak yang lebih dewasa mengalami masalah ini?

Sudah tentu boleh kerana masalah refluks turut melibatkan pesakit dewasa (adult) tetapi simptom yang dialami sedikit berbeza kerana kanak-kanak mungkin boleh memberitahu ketidakselesaan yang dialami contohnya rasa pahit atau payau di belakang tekak sewaktu episod refluks terjadi.

Mereka mungkin memberitahu anda tentang kesakitan di bahagian dada atau perut setiap kali selepas makan, waktu malam atau selepas aktiviti fizikal yang menandakan episod refluks terjadi.

Adakah rawatan untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur ini berbeza daripada bayi?

Ya, ia sedikit berbeza di mana penggunaan ubat-ubatan adalah lebih kerap berbanding bayi. Mereka mungkin turut memerlukan penyiasatan lebih terperinci dan spesifik.

Kesimpulan

  • Masalah refluks biasa berlaku terutamanya kepada bayi.
  • Selain daripada intervensi mudah yang disebut di atas, rawatan ubat-ubatan jarang diperlukan untuk refluks fisiologikal.
  • Refluks fisiologikal akan “hilang” dengan sendiri.
Tarikh Semakan Akhir : 03 Disember 2013
Penulis : Dr. Nazrul Neezam bin Nordin