Home > PRIME YEARS > Disease > Epistaksis (Pendarahan Hidung)

Epistaksis (Pendarahan Hidung)

Pengenalan

Epistaksis adalah masalah pendarahan dalam hidung. Ia berlaku di sebabkan saluran darah di dalam hidung koyak. Biasanya ia adalah tidak serius dan boleh dirawat di rumah, Walau bagaimanapun  ianya boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa dan ini memerlukan rawatan perubatan.

Anatomi:

Rongga hidung di lapisi oleh lapisan mukosa yang mempunyai  banyak salur darah. Ia  bertindak sebagai laluan udara masuk ke paru-paru. Rongga hidung juga berfungsi  untuk memanas dan melembabkan udara yang melaluinya. Ia  juga merembeskan lapisan lender yang dapat  memerangkap kuman atau habuk dari masuk kedalam paru-paru. Lapisan lendir ini juga menghasilkan antibodi yang dapat membunuh kuman yang terlekat di sini. Habuk yang agak besar akan dikeluarkan melalui bersin atau batuk.

Penyebab Epistaksis

Penyebab pendarahan hidung ada banyak. Ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu setempat atau sistemik.

  1. Penyebab Setempat:
    • idiopathic/ Tidak diketahui puncanya (85%)
    • Trauma ( patah hidung, korek hidung)
    • Bendasing di dalam hidung
    • Infeksi ( rhinitis, sinusitis)
    • Hormon ( haid, mengandung)
    • Persekitaran ( tempat tinggi,  penghawa dingin)
    • Kanser hidung, sinus atau pangkal hidung.
    • Ketumbuhan/ Tumor hidung ( contoh:Angiofibroma)
    • Rhinolith
  2. Penyebab Sistemik:
    • Ubat ‘Anticoagulant’ (warfarin, aspirin )
    • Masaalah Haematologi/darah:
      • haemophilia,
      • leukaemia
      • Familial haemorrhagic telangiectasia.
      • Idiopathic Thrombocytopenic purpura
      • Infeksi Virus seperti Dangue   
    • Alkohol
    • Alahan
    • Sakit jantung
    • Darah tinggi
    • Kencing manis
    • Sakit buah pinggang kronik

Apa Yang perlu diketahui mengenai Epistaksis/Hidung berdarah:

Kebanyakan pendarahan berlaku dalam jangka masa yang singkat dan berhenti dengan sendirinya. Ini selalunya berlaku disebabkan oleh trauma, korek hidung atau lapisan mukosa hidung yang kering. Ianya selalu berlaku pada kanak-kanak.

Walau bagaimanapun pendarahan yang teruk, banyak dan tidak berhenti mungkin boleh berlaku dan memerlukan rawatan perubatan. Ini biasanya di sebabkan oleh gangguan pembekuan darah, tumor, ubat-ubatan (contohnya warfarin atau ubat antikoagulan yang lain( ubat yang menghalang pembekuan darah)  dan trauma yang teruk.

Apa yang patut saya lakukan jika mengalami pendarahan hidung?

Apabila anda mengalami pendarahan hidung, duduk tegak dan membongkok  sedikit kehadapan untuk mengelak darah daripada mengalir  ke tekak  dan menyebabkan anda tercekik. Picit hidung anda untuk 10-20 minit dan nafas melalui mulut anda. (Picit pada bahagian hidung yang fleksibel dan tidak bahagian yang bertulang). Letakkan pek ais keatas dahi dan di bahagian atas hidung (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar) atau hisap/ kulum ais. Ini boleh membantu  mengecutkan salur darah dan mengurangkan pendarahan. Anda digalakkan untuk meludah darah daripada menelannya. Jika pendarahan berhenti, jangan cuba untuk menghembus keluar darah yang tinggal di dalam hidung kerana ia boleh menyebabkan pendarahan hidung berulang. Sila dapatkan rawatan perubatan selepas itu.

Apa yang doktor akan lakukan?

Doktor akan memeriksa dan mengenal pasti punca pendarahan. Pendarahan biasanya berpunca dari saluran darah di bahagian septum hadapan. Walau bagaimanapun ia boleh berpunca dari salur darah di mana-mana bahagian hidung.Kebiasaannya doktor akan cautery/bakar salur darah menggunakan cecair kimia (silver nitrat) atau alat ‘electrocautery’ .Kebanyakan pendarahan akan berhenti dengan cara tersebut.

Apakah yang akan berlaku jika pendarahan tidak berhenti?

Jika pendarahan tidak dapat dikawal dengan cara ‘cautery’, penyumbatan hidung akan dilakukan. Sumbatan hidung  akan disimpan di dalam hidung selama 24-48 jam. Beberapa alat yang digunakan untuk tujuan penyumbatan hidung adalah seperti yang di tunjukkan di dalam gambar dibawah.

Rawatan pembedahan mungkin diperlukan dalam kes-kes di mana pendarahan berterusan walaupun langkah-langkah di atas  telah diambil. Pembedahan biasanya dilakukan di bawah bius am dan prosedur pembedahan yang mungkin dilakukan adalah seperti

  1. Artery ligation atau clipping
  2. Septoplasty

Embolisation:

Prosidur Embolisation akan dilakukan sekiranya pendarahan berterusan. Pakar Radiologi Intervensi menggunakan kateter  untuk menyumbat/menyekat  saluran darah yang menyebabkan pendarahan, dengan partikel kecil atau glu.

Panduan kesihatan kepada pesakit yang mengalami pendarahan hidung

Pesakit tidak digalakkan untuk menjalankan aktiviti aktiviti  yang melibatkan peningkatan tekanan darah seperti meneran, mengangkat barang berat dan juga batuk yang teruk.  Mereka juga tidak digalakkan untuk menggaru , menggosok atau menghembus dengan kuat bahagian hidung. Ini boleh menyebabkan pendarahan berulang. Ubat seperti anti histamine, antibiotik yang diberi perlu dimakan mengikut jadual. Pemakanan yang seimbang dan dari sumber yang sihat seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan yang kaya dengan vitamin C adalah digalakkan.

Rujukan

  1. Epistaxis: A practical approach to treatment, LOREN A. CROWN, MD, Associate Professor, Department of Family Medicine, University of Tennessee Health Science Center, Memphis; and Director, Emergency Medicine Fellowship, Baptist Memorial Hospital-Tipton, Covington, Tenn., ROGER D. CRINER, JR, MD, Resident Physician, University of Tennessee Family Medicine Program, Jackson, Tenn., Apr 152004. Patient Care for the nurse Practitioner
  2. Diseases of Ear, Nose and Throat, 3rd Edition PL Phingra Epistaxsis pg 215.

 

Semakan Akhir : 14 November 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Hj. Abd Razak b. Hj. Ahmad
Akreditor : Dato’ Dr. Narizan bt Ariffin