A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ejakulasi Retrogred

Pengenalan

Ejakulasi retrogred terjadi apabila semen atau air mani memasuki pundi kencing, yang kebiasaannya keluar melalui penis ketika orgasma. Walaupun lelaki telah mencapai kemuncak seksual, kemungkinan berlaku jumlah ejakulasi yang sedikit atau tiada langsung. Ejakulasi retrogred tidak menghalang keupayaan seorang lelaki ereksi atau mencapai orgasma, tetapi ia boleh menyebabkan ketidaksuburan disebabkan sperma tidak boleh sampai ke rahim wanita. Rawatan untuk ejakulasi retrogred secara amnya hanya untuk mengekalkan keupayaan mendapat zuriat.

Diagnosis

Kebanyakan kes, diagnosis dibuat oleh doktor penjagaan primer atau Urologis dan juga doktor yang arif berkaitan permasalahan reproduktif lelaki. Bagi tujuan diagnosis doktor akan bertanyakan sejarah perubatan, pembedahan yang lalu atau kanser yang dialami dan juga rawatan ubat yang diterima. Lelaki yang mengalami ejakulasi retrogred, jumlah semen yang dikeluarkan berkurangan atau tiada langsung semasa orgasma. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal, terutamanya di bahagian penis, testis dan rektum. Akhir sekali diagnosis ejakulasi retrogred ditentukan dengan pemeriksaan urin, dimana terdapatnya semen selepas orgasma. Prosedur ini boleh dilakukan di klinik, di mana suami dinasihatkan mengosongkan pundi kencing, seterusnya melakukan onani sehingga kemuncak, dan mengambil sampel urin untuk dianalisa di makmal. Jika terdapat jumlah sperma yang banyak di dalam urin, diagnosis ejakulasi retrogred dibuat.

Penyebab

Retrograde ejaculation1(bm)

Pada keadaan normal, ejakulasi semen dikeluarkan melalui uretra lelaki dan seterusnya ke hujung penis.

Retrograde ejaculation2(bm)

Semasa ejakulasi retrogred, otot yang menutup pundi kencing tidak berfungsi dengan normal. Keadaan ini memberi laluan kepada semua atau sebahagian semen bergerak ke belakang ke dalam pundi kencing pada masa ejakulasi. Beberapa keadaan boleh menyebabkan kecederaan pada otot yang menutup pundi kencing atau saraf yang mengawal otot semasa ejakulasi. Keadaan ini termasuk :

  1. Pembedahan membuang sebahagian prostat melalui uretra, pembedahan pada pangkal pundi kencing dan simpatektomi bahagian lumbar.
  2. Kesan sampingan ubat tertentu seperti ubat darah tinggi, pembengkakkan prostat dan gangguan mood.
  3. Kerosakan saraf disebabkan masalah perubatan seperti kencing manis, sklerosis berbilang atau kecederaan saraf tunjang.
  4. Kesan sampingan ubat, boleh menyebabkan ejakulasi retrogred termasuk ubat untuk merawat:
    1. Pembengkakan prostat – tamasulosin (Flomax) atau terazosin (Cardura)
    2. Depresi atau kemurungan – terutamanya ‘ selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs)’ contohnya Fluoxetine (Prozac), Sertraline( Zoloft) dan beberapa ubat yang lain.
    3. Psikosis – antaranya Chlorpromazine (Thorazine), Thioridazine (Mellaril) dan Risperidone (Risperdal).

Rawatan

Ejakulasi retrogred kebiasaannya tidak perlu rawatan kecuali mereka yang mempunyai masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Rawatan bagi mereka yang mempunyai masalah ketidaksuburan bergantung kepada penyebab. Jika ianya berpunca dari kesan sampingan ubat, doktor boleh menukar kepada ubat lain yang lebih sesuai. Bagi mereka yang tiada masalah infertiliti, doktor perlu meyakinkan suami bahawa ejakulasi retrogred bukanlah masalah medikal yang besar.

Rawatan pembedahan: pembedahan boleh dilakukan untuk pemulihan semula kepada ejakulasi antegred, dengan memperbaiki ‘sphincter’ selepas membuang semua parut pembedahan yang lama atau menggunakan ‘sphincter’ tiruan yang di sokong oleh alat pengepaman dekat skrotum. Pembedahan hanya dilakukan untuk kes ejakulasi retrogred disebabkan kerosakan pada ‘sphincter’, tidak disebabkan kerosakan pada saraf.

Rawatan ubat mungkin berkesan untuk kes retrogred ejakulasi yang mempunyai masalah saraf atau otot yang ringan melibatkan pundi kencing. Antara ubat -ubat yang boleh digunakan adalah Pseudoephedrine atau Imipramine (Toranil) yang boleh memperbaikan ‘ muscle tone’ pada bahagian leher pundi kencing. Keadaan ini boleh berlaku pada pesakit diabetes, multiple sclerosis dan kesan pembedahan tertentu. Ubatan ini dapat membantu otot pada leher pundi kencing tertutup semasa ejakulasi. Biasanya ubat-ubatan ini berkesan merawat masalah ejakulasi retrogred, tetapi semuanya mempunyai kesan sampingan. Kesan sampingan ini mungkin kecil, tetapi ada yang lebih teruk;

  1. Sebahagian ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat ejakulasi retrogred boleh menyebabkan reaksi yang teruk bila digabungkan dengan ubat ubat yang lain.
  2. Sebahagian ubat pula boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah atau denyutan nadi, ini boleh membahayakan pesakit yang ada darah tinggi atau sakit jantung.

Ketidaksuburan

Sekiranya berlaku kegagalan rawatan medikal atau ejakulasi retrogred disebabkan faktor anatomi, maka terdapat keperluan untuk pengambilan sperma dan seterusnya dilakukan prosedur teknik reproduktif bantuan (assisted reproductive technique). Prosedur ini biasanya dilakukan oleh pakar fertiliti. Pakar fertiliti akan mendapatkan sperma daripada urin dan seterusnya sperma yang telah dibersihkan digunakan untuk prosedur teknik reproduktif bantuan. Adalah penting sebelum pengambilan sperma, pastikan urin yang diambil dalam keadaan alkali bagi meningkatkan keupayaan sperma untuk hidup. Sukatan pH spesimen urin yang diambil seharusnya antara 7.5 – 8.5. Suami misalnya boleh mengambil ‘oral sodium bicarbonate’ 600mg 4 kali sehari bermula 2 hari sebelum pengambilan sperma melalui urin. Doktor akan menasihatkan minum 300cc air, 1 jam sebelum ejakulasi. Sejurus sebelum ejakulasi, dikosongkan pundi kencing buat kali pertama, dan setelah ejakulasi diambil spesimen urin secepat mungkin . Spesimen urin yang diambil selepas ejakulasi dimasukkan ke dalam tabung uji kemudian diputarkan dengan ‘centrifuge’ untuk mendapatkan ‘pellet’ sperma untuk pemeriksaan dan pemprosesan seterusnya. Berdasarkan jumlah dan kualiti sperma yang diambil, terdapat tiga teknik reproduktif bantuan yang boleh dilakukan:

  1. Permanian berhadas ‘ intrauterine insemination’ – dengan penggunaan kateter yang halus, sperma yang telah dibersih dimasukkan ke dalam rahim pasangan semasa waktu subur atau ovulasi berlaku.
  2. Kaedah bayi tabung uji ‘in-vitro fertilization’ – inkubasi telur dan sperma bersama di makmal untuk persenyawaan.
  3. ‘Intracytoplasmic sperm injection’- injeksi satu sperma ke telur pasangan untuk persenyawaan.

Jika sperma yang hidup tidak dapat ditemui dari urin, prosedur terakhir yang boleh dilakukan adalah dengan pembedahan terus kepada testis atau epididymis untuk mendapatkan sperma yang hidup dan seterusnya melakukan ‘intracytoplasmic sperm injection’.

Rujukan

  1. Khaldoun Sharif. Advances in the treatment of male infertility. Recent Advances in Obstetrics and Gynaecology. 2001 : 11: 141 -159
  2. James D. M. Nicopoullos, Jonathan W. A. Ramsay Carole Gilling-Smith. Assessment and management of azoospermia in the infertile couple. Progress in Obstetrics and Gynaecology 2005. 15. 241-257
  3. Thomas R Aust, D Iwan Lewis-Jones. Retrograde ejaculation and male infertility. Hospital Medicine. 2004, vol 65, 6. 361 – 364
Semakan Akhir : 14 April 2016
Penulis/Penterjemah : Dr. Mohd Nasir Tak Abdullah
Akreditor : Dr. Wan Abu Bakar bin Yusof

Artikel Berkaitan

Osteoporosis

Pengenalan Ianya adalah penyakit sistemik di mana tulang menjadi lemah

Bendasing

Kejadian bendasing memasuki mata agak sering ditemui. Dalam kebanyakan kes,

Tanpa Nama (VCT)

Ujian ini mudah didapati, ringkas dan tidak sakit. Perkhidmatan ini diberikan secara PERCUMA di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan. Maklumat anda dan keputusan ujian akan dirahsiakan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,090,061

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia