Home > Ubat & Anda > Fakta Ubat > Duromine

Duromine

Apakah itu Duromine?

Duromine merupakan sejenis produk yang mengandungi bahan aktif Phentermine. Phentermine merupakan sejenis ubat perangsang di mana struktur kimianya menyerupai amfetamine. Produk tersebut diformulasikan dengan sejenis resin untuk membolehkan phentermine diserap secara terkawal agar kesan rawatan Duromine dapat dikekalkan untuk seharian.

Apakah kegunaan Duromine?

Duromine digunakan untuk mengurangkan berat badan bagi pesakit yang telah dikenalpasti oleh doktor mengalami masalah berat badan berlebihan. Duromine digunakan sebagai sebahagian daripada usaha dalam mengurangkan berat badan disamping mengamalkan cara pemakanan sihat dan senaman. Duromine hanya boleh diperolehi melalui preskripsi doktor. Ubat tersebut juga mempunyai kegunaan lain. Sila bertanya kepada doktor ataupun ahli farmasi anda untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Bagaimanakah Duromine bertindak?

Phentermine bertindak dengan mengurangkan selera makan. Ia bertindak dan mempunyai kesan pada fungsi tertentu dalam otak yang mengawal selera makan, dan seterusnya menyebabkan anda rasa kurang lapar.

Apakan dos Duromine yang sesuai?

Dos biasa untuk orang dewasa dan kanak-kanak melebihi 12 tahun, ialah satu kapsul sekali sehari di waktu pagi. Dos permulaan bagi pesakit baru adalah 30mg sehari dan seterus dikekalkan pada 15mg hingga 30mg sehari bergantung kepada respons badan. Doktor akan memaklumkan sama ada Duromine 30mg, 15mg ataupun 40mg adalah dos yang sesuai untuk anda. Anda harus mengikuti arahan doktor dan tidak mengubahsuai dos sesuka hati. Adalah diingatkan bahawa pengambilan Duromine dalam dos yang tinggi tidak semestinya dapat membantu mengurangkan berat badan anda dengan lebih cepat. Malah, anda mungkin mengalami kesan sampingan yand tidak diingini.

Bagaimanakah caranya untuk mengambil Duromine?

Duromine harus diambil pada sebelah pagi bersama sarapan pagi supaya ia tidak menyebabkan kesusahan untuk tidur pada waktu malam. Kapsul Duromine harus ditelan dengan air yang banyak (lebih kurang segelas air). Jangan hancurkan, kunyah ataupun buka kapsul Duromine kerana produk tersebut merupakan sejenis formulasi istimewa yang membolehkan bahan aktif Phentermine diserap secara terkawal oleh badan. Penghancuran ataupun pembukaan kapsul akan menyebabkan kadar penyerapan phentermine yang terlalu cepat dan keberkesanan rawatan akan terjejas. Anda mungkin mengalami kesan yang tidak menyenangkan (withdrawal) sekiranya anda berhenti mengambil ubat ini secara mendadak setelah penggunaan untuk jangka masa yang panjang. Jangan hentikan penggunaan tanpa kebenaran doktor anda. Anda mungkin perlu mengurangkan dos secara beransur-ansur mengikut nasihat doktor sebelum berhenti sepenuhnya. Jangan ambil Duromine di waktu petang kerana ia mungkin akan menyebabkan kesukaran untuk tidur (Insomnia).

Apakah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian sebelum mula menggunakan Duromine?

Maklumkan doktor atau ahli farmasi anda sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut:

  • Alahan terhadap ubat-ubatan, terutamanya phentermine
  • Ubat-ubatan lain yang anda sedang ambil (ubat preskripsi dan ubat yang dibeli di atas kaunter)
  • Masalah kesihatan/penyakit termasuk tekanan darah tinggi, masalah jantung, arteriosclerosis, thyroid, kencing manis, glaukoma ataupun ketagihan dadah.
  • Mengandung, disyaki mengandung, merancang untuk mengandung ataupun sedang menyusu. Sekiranya anda mengandung semasa mengambil Duromine sila maklumkan doktor anda.
  • Sekiranya anda mudah menjadi resah.

Selain itu,

  • Anda harus selalu berjumpa dengan doktor untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan
  • Maklumkan doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami penurunan berat badan mendadak, kesusahan untuk bernafas, sakit dada, pengsan, bengkak kaki dan tidak dapat melakukan senaman seperti biasa.
  • Berhati-hati semasa memandu dan mengendalikan mesin berat. Duromine boleh menyebabkan mengantuk.
  • Jangan minum alkohol semasa menerima rawatan Duromine
  • Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat batuk atau selsema.

Apakah tindakan yang harus diambil sekiranya terlupa ambil ubat?

Ambil dos yang terlupa secepat mungkin. Jika sekiranya sudah tiba masa untuk dos yang seterusnya, anda harus tunggu sampai masa untuk dos yang seterusnya dan makan ubat tepat pada masa.

Jangan ambil dos tambahan untuk menggantikan dos yang terlupa. Sekiranya anda terlupa untuk mengambil Duromine semasa sarapan, ambil dos tersebut selewat-lewatnya sebelum makan tengah hari.

Jika tidak, biarkan sahaja dos yang tertinggal dan ambil dos yang seterusnya seperti biasa pada hari berikutnya. Sekiranya dos Duromine diambil lewat daripada masa tengah hari, anda mungkin akan menghadapi kesusahan untuk tidur pada waktu malam.

Jangan sesekali cuba menggandakan dos ubat bagi menggantikan dos yang tertinggal.

Apakah kesan sampingan Duromine?

Kesan sampingan Duromine adalah termasuk rasa loya, muntah, cirit-birit, mulut kering, sembelit, perubahan rasa, gatal-gatal kulit, mati pucuk, jantung berdebar, dan tekanan darah tinggi.

Kesan sampingan ke atas sistem saraf tunjang termasuklah hiperaktif, kesusahan untuk tidur, menggigil, pening dan gelisah.

Maklumkan doktor atau ahli farmasi anda dengan segera:-

  • Sekiranya anda rasa tidak sihat semasa mengambil Duromine.
  • Sekiranya anda mengalami penurunan berat badan mendadak, kesusahan untuk bernafas, sakit dada, pengsan, bengkak kaki dan tidak dapat melakukan senaman seperti biasa.

Bolehkah saya mengambil Duromine sekiranya mengandung atau merancang untuk mengandung?

Mati pucuk/impoten dan perubahan pada nafsu seks adalah antara kesan sampingan umum Duromine. Jangan ambil Duromine sekiranya anda sedang mengandung ataupun merancang untuk mengandung. Duromine harus dielakkan di kalangan wanita yang sedang menyusu. Bincang dengan doktor anda untuk mengetahui tentang cara penyelesaian masalah berkenaan.

Apakah kontraindikasi Duromine?

Duromine tidak boleh diambil oleh pesakit yang mengalami masalah kesihatan seperti di bawah:

  • Tekanan darah yang sangat tinggi
  • Tekanan darah tinggi pada paru-paru
  • Masalah pada injap jantung
  • Penyakit berkaitan dengan sistem salur darah di otak
  • Masalah jantung serius termasuk perubahan pada kadar denyutan jantung
  • Arterioschlerosis atau atheroschlerosis
  • Masalah kelenjar thyroid
  • Penyakit psikiatrik seperti anorexia nervosa (tiada selera makan) dan kegelisahan
  • Glaukoma (tekanan tinggi dalam mata)

 

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Debbie Sim Sook En
Akreditor : Siti Aisah bt. Bahari
Penyemak : Rokiah bt. Isahak