Home > Umum > Forensik > DNA : Suatu Kepastian?

DNA : Suatu Kepastian?


Sumber: http://www.numerex.com/inside-our-DNA/applications

Masyarakat umum telah mula terdidik dengan penggunaan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) dalam kes-kes jenayah terutamanya rogol dan liwat. Maklumat-maklumat berkaitan aplikasi DNA dalam kes-kes sebegini, banyak dilaporkan di dada-dada akhbar serta disampaikan melalui berita.

Tidak dinafikan, masyarakat telah dibekalkan dengan maklumat yang secukupnya untuk memahami peranan DNA dalam kejadian rogol dan liwat seperti ini. Malah, tidak keterlaluan rasanya andai tanggapan dibuat tentang pemahaman mereka mengenai DNA, bahawa bukti DNA adalah segala-galanya.


Menyusuri kehebatan ciptaan Yang Maha Esa.
Sumber: http://rec-dna-app.weebly.com/

Mengulang kembali sejarah penggunaan DNA dalam menyelesaikan jenayah, ia dipelopori di British apabila seorang saintis genetik mereka telah menghasilkan teknik cap jari DNA (DNA fingerprinting) yang seterusnya menemukan profil DNA pada tahun 1985. Profesor Sir Alec John Jeffreys (Wellcome Trust) telah mengkaji yang mendalam dan cuba menggunakan teknik tersebut dalam membantu penyiasatan polis.

Beliau telah memperkenalkan aplikasi profil DNA dalam siasatan polis semenjak daripada itu. Sehingga kini, aplikasi DNA telah diperluaskan kepada pelbagai tujuan dalam bidang sains forensik.

Secara amnya, tujuan penggunaan DNA adalah untuk mengenalpasti seseorang individu daripada sampel biologi yang ditinggalkan pada sesuatu permukaan: sama ada di tempat kejadian jenayah, pada tubuh mangsa serangan jenayah, mahu pun pada tubuh orang yang dituduh.
Di antara kegunaan DNA dalam adalah seperti berikut (Butler, 2008):

Menguji kebarangkalian orang yang dituduh adalah penjenayah


Antara aplikasi DNA dalam forensik. Sumber: http://www.mhhe.com

Teori asas dalam forensik yang diperkenalkan oleh Edmund Locard; “every contact leaves a trace” (Petherick, 2010) memberi impak yang besar kepada bidang penyiasatan forensik. Berdasarkan teori ini, tempat kejadian akan dipelihara oleh pihak polis sehingga siasatan terperinci dijalankan.

Semasa siasatan ini, unit forensik akan mengumpulkan bahan bukti yang ditemui untuk dianalisis di makmal forensik. Semua sampel biologi seperti kesan darah, rambut dan lain-lain lagi akan dikutip dan disimpan dengan selamat.

Setelah siasatan di makmal dijalankan, mereka akan memperolehi set profil DNA bagi sampel yang dikutip di tempat kejadian. Untuk meneruskan penyiasatan, satu set DNA daripada suspek perlu diambil sebagai perbandingan.

Andai kata kedua-dua sampel daripada tempat kejadian dan suspek mempunyai profil DNA yang sama, maka kebarangkalian untuk mengaitkan suspek dengan tempat kejadian adalah tinggi.

Ujian paterniti dan materniti

Dewasa ini, seringkali dipaparkan di dalam media tentang kejadian pembuangan bayi. Bayi yang dilahirkan tanpa ikatan pernikahan yang sah dibuang seperti sampah. Andai bayi itu bernasib baik, ia akan sempat diselamatkan oleh insane prihatin yang lalu-lalang. Namun, jika tidak, bayi itu akan mati ditinggalkan tanpa makanan dan minuman serta berisiko menjadi santapan binatang.

 
Petikan akhbar tentang pembuangan bayi.
Sumber: http://www.teratakarmo.com/2010/04/kes-buang-bayi-berleluasa.html

Untuk mencari ibu dan bapa yang kejam ini, perbandingan profil DNA perlu dijalankan. Sampel DNA perlu diambil daripada bayi yang malang tersebut untuk mendapatkan profil DNAnya. Kemudian, ia akan dibandingkan dengan profil DNA pasangan wanita dan lelaki yang dituduh sebagai ibu dan bapa tersebut.

Prinsipnya mudah. Set kromosom seseorang individu diperolehi daripada ibu dan bapanya. Sekiranya padanan profil DNA bayi tersebut dapat dibuat terhadap sampel wanita dan lelaki yang syaki, maka wujud kebarangkalian bahawa bayi itu adalah anak mereka. Siasatan selanjutnya akan dilaksanakan oleh pihak polis untuk mendapatkan pengakuan dan bukti-bukti lain yang boleh membantu.

Siasatan tulang atau tinggalan manusia

Sama seperti dalam kes-kes yang lain, set profil DNA daripada tulang yang ditemui daripada sesuatu kawasan kejadian perlu diperolehi sebagai rujukan. Masalah yang mungkin timbul adalah ketiadaan profil untuk dibandingkan.

Dalam situasi ini, jika tulang yang ditemui itu disyaki milik seseorang individu yang dikenalpasti, sampel DNA individu tersebut boleh diperolehi daripada barang-barang peribadinya. DNAnya boleh diekstrak daripada berus giginya, atau helaian rambut yang gugur di rumahnya. Profil DNA yang diperolehi ini boleh digunapakai sebagai perbandingan.


Dua set DNA daripada barangan peribadi dan tinggalan tulang.
Sumber: http://maxwellinstitute.byu.edu/files/Forensic-DNA-Testing.pdf

Bencana ramai mangsa

Dalam situasi yang hampir menyerupai situasi di atas, set padanan DNA perlu diperolehi untuk mengesahkan identiti mangsa. Namun, ada satu lagi isu yang boleh timbul daripada kejadian bencana ramai mangsa.

Kebiasaan bagi kes-kes bencana ramai mangsa seperti banjir besar, tsunami dan gempa bumi, mayat mangsa malapetaka ini sukar dibawa keluar daripada kawasan kejadian dalam waktu yang terdekat. Ia mengambil masa berikutan pelbagai faktor yang menekan seperti aspek keselamatan, kesesuaian lokasi, peralatan yang digunakan daln lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, mayat-mayat mangsa sudah pun mereput pada ketika ia dapat dibawa keluar untuk tindakan selanjutnya. Bagaimana ia boleh dikenalpasti? Andai mayat mangsa masih utuh dalam satu jasad, proses pengenalpastian mudah untuk dilaksanakan. Namun jika ada anggota badan yang telah terputus dan bercampur-aduk dalam satu kawasan bencana yang besar, ia boleh menimbulkan masalah.

Di antara masalahnya adalah; adakah cebisan tulang atau anggota badan ini milik seorang lelaki atau pun wanita? Lantaran itu, teknik pengecaman melalui DNA banyak membantu pihak penyiasat untuk mengenalpasti mangsa daripada cebisan kecil sampel yang ditemui.


Satu sampel menunjukkan mangsa seorang lelaki manakala satu lagi wanita berdasarkan kromosom X dan Y.
Source: http://maxwellinstitute.byu.edu/files/Forensic-DNA-Testing.pdf

Kesimpulan

Tujuan sebenar penggunaan DNA dalam bidang forensik adalah untuk mengenalpasti individu yang terlibat dengan sesuatu kejadian. Namun, tidak mustahil pada suatu masa nanti, DNA memainkan peranan yang lebih penting menjangkaui jangkaan kita kini.

Rujukan

  1. Butler, J. M. (2008, 08 21). Forensic DNA Testing: How Are Crimes Solved with DNA Analysis? Retrieved 07 08, 2013, from http://maxwellinstitute.byu.edu/: http://maxwellinstitute.byu.edu/files/Forensic-DNA-Testing.pdf
  2. Petherick. (2010). Forensic Science Central. Retrieved 07 08, 2013, from http://forensicsciencecentral.co.uk/edmondlocard.shtml
  3. Wellcome Trust. (n.d.). The Human Genome. Retrieved 07 08, 2013, from http://genome.wellcome.ac.uk/: http://genome.wellcome.ac.uk/doc_wtd020877.html

 

Semakan Akhir : 7 Januari 2014
Penulis : Khairul Adli b. Nikman
Akreditor : Dr. Shahidan bin Md Noor