Dilema Kahwin Lambat

Pengenalan

“Kenapalah lambat sangat kahwin. Cerewet ni nak pilih pasangan…?”
“Belajar tinggi,kerja besar,gaji banyak…tapi sayang,tak kahwin-kahwin lagi…”
“Eh, dah 35 tahun baru kahwin?”
“Ishh,tak takut ke nanti susah nak dapat anak?Maklumlah,lagi lambat kahwin,kesuburan pun makin kurang”
Itulah antara ayat-ayat yang sering dinyatakan kepada individu yang lambat kahwin. Pertanyaan dan pernyataan tersebut memberi impak terhadap emosi si pendengar.
Si pendengar ini mungkin dalam kategori individu lambat kahwin yang masih belum menamatkan zaman bujang ataupun yang telah menamatkan zaman bujang pada usia yang melewati jangkaan umur perkahwinan masyarakat setempat.

Sehubungan itu, dua situasi dilema lambat kahwin ini perlu kita amati iaitu:

  1. Dilema lambat kahwin bagi individu yang masih belum bertemu jodoh
  2. Dilema lambat kahwin bagi individu yang berkahwin pada usia yang lewat

Definisi

Isu berkaitan dilema lambat kahwin ini perlu dijelaskan dengan mengambil kira sosiobudaya setempat serta kesan psikologi akibat lambat kahwin ini.

Secara ringkasnya, dilema lambat kahwin boleh dijelaskan sebagai konflik yang terjadi apabila seseorang individu telah melewati anggaran usia perkahwinan mengikut sosiobudaya setempat.

Fenomena / Trend Terkini

Perangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia 2014 mempamerkan bancian statistik purata umur perkahwinan pertama pada tahun 2010 di kalangan lelaki ialah 28 tahun dan perempuan ialah 25.7 tahun.

Berikut adalah jadual statistik umur minima perkahwinan pertama, Malaysia:

Kenapa Berlaku

Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengenalpasti tiga sebab utama seseorang melambatkan perkahwinan. Faktor yang telah dikenalpasti dalam kajian tersebut ialah:

  1. Keadaan kewangan yang kurang stabil
  2. Tiada calon yang sesuai
  3. Kepentingan kerjaya

Kesan Perlakuan

Soll (2003) dalam artikelnya Marriage Today ada membincangkan kesan trend lambat kahwin. Berikut adalah kesan-kesan yang dibincangkan Soll dalam artikelnya:

  1. Individu yang lambat kahwin cenderung untuk menjadi lebih cerewet kerana pasangan yang sesuai menjadi lebih terhad
  2. Risiko tidak subur dan sukar mendapat anak juga menjadi kerisauan individu yang lambat kahwin. Perasaan kegagalan juga mungkin tercetus terutamanya di kalangan wanita akibat kesukaran mendapat anak
  3. Individu yang lambat kahwin juga cenderung untuk mengalami kemurungan akibat perasaan sepi serta kerisauan dalam kehidupan
  4. Individu yang lambat kahwin juga tidak dapat menikmati peluang awal untuk merasai nikmat dalam perkahwinan. Umumnya, antara kelebihan berkahwin ialah:
  • mempunyai peneman untuk berkongsi suka duka kehidupan
  • memenuhi keperluan emosi dan fizikal untuk hidup berpasangan dan berkasih sayang.

Rawatan Psikologi

Rawatan psikologi disarankan sekiranya individu mengalami tahap serta simptom kemurungan dan kerisauan yang tinggi sehingga menjejaskan fungsi kehidupan seharian.

Rawatan psikologi terhadap isu murung dan/atau risau akibat dilema lambat kahwin boleh ditangani dengan memperbaiki atau meningkatkan gaya daya tindak individu yang mengalami dilema lambat kahwin.

Komponen gaya daya tindak yang boleh difokuskan ialah:

  1. Gaya daya tindak berfokuskan emosi. Contohnya, berdoa, berkongsi perasaan, dan menyibukkan diri dengan aktiviti sihat.
  2. Gaya daya tindak berfokuskan penyelesaian masalah. Contohnya mencari sokongan sosial, mendapatkan penilaian dan rawatan daripada pakar, dan mengambil inisiatif untuk mencari lebih banyak maklumat mengenai sesuatu permasalahan.

Gaya daya tindak yang konstruktif adalah penting bagi individu tersebut untuk menangani dan menghadapi tekanan yang berkaitan dengan dilema lambat kahwin. Kegagalan untuk uruskan tekanan tersebut dapat  membawa kepada kemurungan dan kerisauan yang berpanjangan.

Anda digalakkan untuk mendapatkan penilaian dan juga intervensi spesifik selanjutnya daripada Pegawai Perubatan Psikiatri dan/atau Pegawai Psikologi untuk tahap dan simptom kemurungan dan kerisauan yang anda alami akibat dilema lambat kahwin.

Rujukan

  1. Wartawan Sinar Harian. (2012, May 8). 2.5 juta rakyat Malaysia belum berkahwin, lelaki lebih ramai. Sinar Harian Online. Retrieved from http://www.sinarharian.com.my/nasional/2-5-juta-rakyat-malaysia-tidak-kahwin-lelaki-lebih-ramai-1.46330
  2. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat:Perangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia 2014. Retrieved from http://www.kpwkm.gov.my/
  3. Jadual 5.5: Jadual Min Perkahwinan Pertama, Malaysia. Retrieved Aug 24, 2015 from http://www.kpwkm.gov.my/
  4. Abdul Rahman, Muhamad Rafiq (Julai 2011). Laporan Khas:Mengapa Mereka Kahwin Lewat?. Dewan Masyarakat. Retrieved Aug 24, 2015, from http://infolib.bernama.com/doc/mag/640.pdf
  5. Soll,Lindsay.(2003).Marriage Today.Retrieved August 30,2015 from http://iml.jou.ufl.edu/projects/spring03/soll/cons.htm
  6. Macleod,Saul.(2015).Stress Management. Retrieved September 1,2015 from http://www.simplypsychology.org/stress-management.html

 

Semakan Akhir : 5 Januari 2017
Penulis / Penterjemah : Pn. Noor Hafizah bt. Abdul Halim
Akreditor : Tn. Hj Hairol Kamal b. Abdul Rahman