A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Diet Pesakit Kanser

Pengenalan

Setiap orang perlukan makanan yang seimbang bagi memenuhi segala keperluan nutrien. Begitu juga dengan pesakit kanser.

Pemakanan adalah faktor penting dan perlu diambil berat oleh pesakit kanser. Ini adalah kerana kanser dan jenis rawatan yang diambil akan meningkatkan keperluan nutrient badan. Corak pengambilan makanan juga biasanya akan terganggu akibat daripada kesan sampingan ubat-ubatan semasa perawatan kanser.

Oleh itu, amalan pemakanan yang baik sebelum, semasa dan selepas rawatan adalah penting dan boleh membuat anda rasa lebih sihat dan bertenaga. Tiada makanan khusus yang dapat menyembuhkan kanser dan tiada makanan spesifik yang perlu dielakkan secara total jika anda menghidap kanser.

Kepentingan Amalan Pemakanan yang Baik

  1. Membantu mempercepatkan penyembuhan luka dan tisu yang rosak terutamanya selepas pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau rawatan perubatan lain.
  2. Membantu menghadapi kesan sampingan rawatan dengan lebih baik dan sembuh dengan lebih cepat.
  3. Meningkatkan sistem imun / ketahanan badan bagi membolehkan anda melawan jangkitan.
  4. Membantu anda mencapai dan mengekalkan berat badan ideal.

Pemakanan Sebelum Rawatan

Makan pelbagai jenis makanan akan menolong anda mendapat segala nutrien atau zat yang diperlukan. Badan akan menukar makanan kepada bentuk tenaga. Anda memerlukan tenaga walaupun anda tidak aktif seperti biasa. Oleh itu pengambilan makanan bertenaga dari sumber karbohidrat, protein dan lemak perlu mencukupi.

Makanan berprotein juga amat penting untuk mengekalkan jisim otot, memperbaiki tisu yang rosak dan seterusnya menguatkan sistem imun badan bagi melawan jangkitan kuman atau infeksi. Jisim otot yang kuat amat penting sebagai persediaan untuk menghadapi perawatan sama ada pembedahan, kemoterapi, radioterapi atau rawatan lain.

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran menyumbangkan vitamin, mineral dan serat yang diperlukan oleh badan. Disamping itu, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah kaya dengan fitokimia dan antioksidan yang penting untuk meningkatkan sistem imun badan.

Oleh itu anda disarankan untuk sentiasa mengambil pelbagai jenis makanan yang seimbang dan mencukupi keperluan nutrien. Elakkan berpantang dengan keterlaluan kerana ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada keseimbangan pengambilan nutrien.

Masalah Pemakanan Semasa Rawatan dan Cara Mengatasi

Rawatan kanser diperlukan untuk memusnahkan sel-sel kanser, namun begitu ia juga akan merosakkan sel-sel yang sihat. Pelbagai kesan sampingan akan dialami. Kesan sampingan berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada bahagian badan yang dirawat, tempoh masa rawatan dan dos rawatan. Kebanyakan kesan sampingan adalah bersifat sementara dan berakhir selepas rawatan selesai.

Kesan sampingan rawatan kanser akan mengganggu corak pengambilan makanan dan menyebabkan anda mengalami masalah pemakanan. Antara masalah yang dihadapi dan saranan untuk mengawal adalah seperti jadual di bawah:

Masalah pemakanan
Saranan untuk mengatasi
Hilang selera makan
  1. Pilih makanan kegemaran sebagai pembuka selera. Makan sedikit tetapi kerap.
  2. Tingkatkan kalori dan protein dalam makanan.
  3. Ambil minuman/makanan tambahan yang tinggi kalori dan protein.
  4. Kurangkan pengambilan air pada waktu makan.
  5. Makan di tempat persekitaran yang sesuai.
  6. Pastikan mulut sentiasa bersih. Elakkan merokok kerana ia boleh kurangkan selera makan dan mengubah rasa makanan.
  7. Senaman yang tetap jika anda mampu untuk tingkatkan selera makan.
Kesukaran mengunyah dan menelan akibat luka dalam mulut dan tekak
  1. Tingkatkan kalori dan protein dalam makanan.
  2. Ambil minuman/makanan tambahan yang tinggi kalori dan protein.
  3. Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik.
  4. Tingkatkan pengambilan cecair dan kuah.
  5. Makan dan minum secara perlahan.
  6. Pilih makanan yang lembut dan senang dikunyah, campurkan kuah dalam makanan.
  7. Elakkan makanan yang pedas dan berasid/masam.
Mulut kering
  1. Tingkatkan pengambilan cecair. Lebihkan pengambilan kuah semasa makan.
  2. Pilih makanan yang lembut dan senang dikunyah seperti bubur nasi atau campurkan kuah dalam makanan.
  3. Ambil makanan yang merangsang pengeluaran air liur seperti lemon atau ‘chewing gum’.
  4. Hisap air batu/ais untuk sejukkan mulut.
Perubahan rasa dan bau makanan
  1. Elakkan makanan yang berbau kuat.
  2. Kenalpasti makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan deria rasa dan bau.
  3. Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik.
  4. Gunakan perisa seperti garam, rempah, herba, gula atau bawang putih bagi menambahkan rasa makanan.
  5. Jauhkan diri dari dapur semasa makanan sedang dimasak. Minta kawan atau keluarga masak untuk anda.
Loya dan muntah
  1. Makan sedikit tetapi kerap. Perut yang kosong menyebabkan loya bertambah teruk.
  2. Makan snek seperti biskut kering atau roti bakar.
  3. Makan makanan masam dan masin sebagai pembuka selera.
  4. Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik seperti puding, salad.
  5. Elakkan makanan yang terlalu banyak lemak/minyak.
  6. Makan dan minum secara perlahan.
  7. Kurangkan pengambilan air pada waktu makan.
  8. Elakkan makanan yang terlalu banyak perisa seperti rempah.
  9. Jangan baring 1 jam selepas makan.
  10. Ambil ubat tahan muntah atas saranan doktor.
Sembelit
  1. Tingkatkan pengambilan cecair sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari seperti jus buah, sup, minuman bersusu.
  2. Tingkatkan pengambilan serat seperti buah, sayur dan makanan ‘whole grain’, serta makanan berserat larut air seperti oat, chia seeds, barli.
  3. Lakukan senaman yang tetap jika mampu seperti berjalan.
  4. Ambil ubat atas saranan doktor.
Cirit-birit
  1. Ambil ubat atas saranan doktor.
  2. Tingkatkan pengambilan cecair untuk ganti cecair yang hilang.
  3. Makan sedikit tetapi kerap. Makan 3 waktu makan utama dan 3 snek.
  4. Elak alkohol, hadkan kafein dan makanan pedas.
  5. Elakkan makanan bergoreng, berlemak dan berminyak.
  6. Elakkan pengambilan susu jika anda mengalami tidak toleransi terhadap gula dalam susu (laktosa).
  7. Kurangkan pengambilan makanan tinggi serat. Pilih buah yang dimasak lembut dan tanpa kulit atau buah dalam tin.
Pedih Ulu Hati (Heartburn)
  1. Makan sedikit tetapi kerap. Makan 3 waktu makan utama dan 3 snek.
  2. Minum air 30 minit selepas makan.
  3. Duduk bersandar sebentar selepas makan (30 minit), jangan baring.
  4. Makan dengan perlahan.
  5. Elakkan pakaian terlalu ketat.
  6. Elakkan makanan seperti coklat, kopi, teh, minuman ringan, alkohol, makanan tinggi lemak, buah sitrus dan tomato.

Pemakanan Selepas Rawatan

Selepas rawatan, kesan sampingan yang dialami akan beransur hilang. Selera makan mungkin akan meningkat secara berperingkat. Anda masih perlu menjaga pengambilan makanan agar sentiasa cergas dan sihat. Antara amalan pemakanan yang disarankan adalah:

  1. Makan makanan seimbang dan berkhasiat. Pelbagaikan makanan anda.
  2. Makan 5 atau lebih pelbagai hidangan sayur dan buah setiap hari.
  3. Pilih karbohidrat kompleks dan bijirin penuh bagi meningkatkan pengambilan serat dalam diet anda.
  4. Kurangkan pengambilan lemak dan garam dalam makanan.
  5. Pilih makanan yang boleh kekalkan berat badan sihat.
  6. Seimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal untuk mengembalikan jisim otot dan meningkatkan kecergasan.

Rujukan

  1. www.cancer.org (American Cancer Society)
  2. www.cancercouncil.com.au (New South Wales, Australia)
  3. www.eatright.org (American Dietetic Association)
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Amilia bt. Abdullah
Penyemak : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

Pemakanan dan Stres

Apa yang kita makan akan menentukan tahap kesihatan kita. Amalan diet yang seimbang dapat membantu menghindarkan stres. Stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu ‘mood’, mengurangkan tumpuan dan juga boleh memberi kesan kepada semua organ serta fungsi tubuh kita. Dengan pengambilan diet yang seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan di samping memastikan tahap mental dan fizikal sentiasa stabil.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,234,096

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia