A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Diabetes dan Kesihatan Oral

Pengenalan

Terlalu banyak glukos (gula) dalam darah akibat diabetes boleh mangakibatkan jangkitan dan masalah lain dalam mulut. Mulut anda merangkumi gigi, gusi, rahang, tisu seperti lidah, lelangit dan lantai mulut serta bahagian dalam pipi.

Glukos hadir dalam air liur iaitu cecair yang membasahkan mulut. Apabila diabetes tidak terkawal, paras gula yang tinggi dalam air liur menolong  kuman (plak) membiak. Beberapa jenis plak menyebabkan kerosakan gigi atau gigi berlubang. Jenis plak yang lain menyebabkan penyakit gusi.

Penyakit gusi boleh berlaku lebih kerap, lebih teruk dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh jika anda mengidap diabetes. Jika anda mengalami penyakit gusi , ini akan menyukarkan kawalan gula dalam darah. Ada kajian yang menunjukkan bahawa merawat penyakit gusi menyenangkan kawalan gula dalam darah.

Kategori diabetes:  Jenis I, yang diakibatkan oleh ketiadaan insulin.

Jenis II, yang diakibatkan oleh kerentaan terhadap insulin dan kecacatan rembesan insulin (Ship 2003).

Aspek sistemik penyakit Diabetes

Bermulanya gejala-gejala dan tanda dalam penyakit Jenis I diabetes adalah cepat, dan ia termasuk tiga tanda-tanda klasik polyphagia (sentiasa lapar), polydipsia (sentiasa dahaga) dan polyuria (kerap buang air kecil), serta kehilangan berat badan, lebih sensitif, mengantuk dan keletihan. Gejala diabetes Jenis II berkembang lebih lambat, dan biasanya tanpa adanya tanda-tanda klasik; sebaliknya, pesakit ini mungkin mengalami masalah kegemukan dan boleh mempunyai pruritis (kegatalan), neuropati periferal (kekebasan) dan penglihatan menjadi kabur.

Tanda-tanda dan gejala penyakit Diabetes di rongga mulut

Karies gigi : Pesakit diabetes lebih mudah terdedah kepada gangguan sensori (deria rasa), gangguan tisu periodontium (gusi) dan kelenjar air liur, yang boleh meningkatkan risiko mereka mendapat karies gigi baru dan berulang. Beberapa kajian menunjukkan lebih banyak karies gigi terjadi pada pesakit diabetes (Moore, Weyant & Mongeluzzo, 1999). Faktor-faktor yang mempengaruhi terjadinya pembentukan karies adalah termasuk kadar bakteria Streptococcus mutans, kejadian karies sebelumnya dan penyakit diabetes yang tidak terkawal (Twetman, et al 2002), ini menekankan keperluan agar personel kesihatan pergigian membuat pemeriksaan dan rawatan secara berkala kepada semua pesakit diabetes yang mempunyai karies gigi sama ada yang baru atau berulang.

Disfungsi kelenjar air liur : Keadaan mulut yang kering, atau xerostomia, telah dilaporkan terjadi pada orang yang menghidap penyakit diabetes (Guggenheimer, Moore, & Rossie, 2000a). Pengeluaran air liur mungkin terjejas oleh pelbagai keadaan, termasuk neuropati (mengikut tahap) dan kekeringan mulut yang disertai rasa dahaga.

Penyakit kelainan tisu mukosa : Diabetes juga dikaitkan dengan kebarangkalian yang lebih besar mendapat kelainan tisu mukosa yang tertentu (Guggenheimer, Moore, & Rossie, 2000b). Terdapat laporan yang menunjukkan prevalen yang lebih tinggi untuk mendapat Lichen planus (Petrou-Amerikanou, et al 1998) dan ulser yang berulang (Lorini, Scaramuzza, & Vitali, 1996) serta jangkitan kulat.

Jangkitan kulat : Satu lagi manifestasi diabetes dan tanda oral penurunan tahap imun sistemik adalah terjadinya jangkitan oportunistik, seperti kandidiasis oral. Jangkitan fungus pada permukaan mukosa mulut dan prostesis boleh tanggal lebih kerap ditemui di kalangan orang dewasa yang menghidap diabetes. Candida pseudohyphae, tanda ‘kardinal’ (pasti) jangkitan kandidiasis oral, ada hubungan yang signifikan dengan orang yang menghisap rokok, penggunaan gigi palsu dan tahap glukosa dalam darah (glisemia) yang tidak terkawal di kalangan orang dewasa yang menghidap diabetes (Guggenheimer, Moore & Rossie, 2000b).

Gangguan deria rasa : Deria rasa adalah komponen penting dalam kesihatan mulut yang mungkin terjejas teruk di kalangan pesakit diabetes (Settle, 1991). Satu kajian melaporkan bahawa lebih daripada satu pertiga daripada orang dewasa yang menghidap diabetes mengalami deria rasa yang berkurangan. Disfungsi deria rasa menghalang keupayaan untuk mengekalkan diet yang betul dan ini boleh membawa kepada tahap glisemia yang tidak terkawal (Ship, 2003).

Gingivitis dan periodontitis : Diabetes juga dikaitkan dengan kejadian dan perkembangan komplikasi berkaitan diabetes seperti gingivitis, periodontitis dan kehilangan tulang alveolar (Taylor, 1999). Diabetes yang tidak terkawal, terutama hubungannya dengan merokok, adalah faktor risiko untuk mendapat periodontitis (Moore, Weyant, & Mongeluzzo, 1999). Infeksi daripada penyakit periodontitis juga menyumbang kepada masalah kawalan glisemia pada pesakit diabetes (Taylor, et al 1998). Merawat penyakit periodontitis kronik juga adalah penting untuk merawat penyakit diabetes (Grossi, 2001).

Pencegahan daripada mendapat komplikasi mulut pada pesakit diabetes

  • Ikut nasihat doktor anda tentang pemakanan dan ubat-ubatan untuk mengekalkan paras glukosa darah anda sehampir mungkin dengan yang normal.
  • Bersihkan gigi dan gusi anda dengan berus gigi yang sesuai dan-ubat gigi yang mengandungi fluorida.
  • Lawati doktor gigi anda secara tetap dan berkala untuk mendapatkan nasihat tentang penjagaan pergigian di rumah, pencegahan awal dan rawatan pergigian pencegahan bertujuan untuk mengekalkan gigi dan gusi anda sentiasa sihat. Doktor pergigian anda perlu tahu mengenai paras glukosa darah dan ubat-ubatan yang anda ambil.
  • Elakkan keadaan mulut yang kering, minum banyak air dan mengunyah gula-gula getah yang tidak mengandungi gula untuk merangsang pengeluaran air liur.
  • Jika anda merokok, berusahalah untuk berhenti merokok.

Kesimpulan

Kawalan penyakit pergigian boleh dicapai dengan mengawal kadar glukosa dalam darah dan mengawal kebersihan mulut (Hallmon & Mealay, 1992). Oleh itu, pendidikan tentang diabetes terutama berkaitan kawalan glisemia (gula dalam darah), pembersihan plak pergigian, menguruskan masalah mulut kering, menghentikan penggunaan tembakau/rokok, menguruskan diet/pemakanan dan mendapatkan khidmat rawatan dan penjagaan pergigian profesional (Rees 2000)
Kajian telah menunjukkan kesihatan pergigian yang baik akan membantu kawalan gula pada pesakit yang bermasalah dalam mengawal penyakit diabetes.

Kumpulan sokongan

Persatuan Diabetes Malaysia  (Tel : 03 – 7957 4062)
Sekretariat :
No.2, Lorong 11/4E,
46200 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan

Rujukan

  1. Diabetes and Oral Health (2010). Caring for your teeth and gums. Retrieved April 18, 2011, from http://www.betterhealth.vic.gov.au/bhcv2/bhcarticles.nsf/pages/Diabetes_and_oral_health
  2. Grossi S., (2001). Treatment of periodontal disease and control of diabetes : an assessment of the evidence and need for future research . Annals of  Periodontology;
    6(1):138-45.
  3. Guggenheimer, J., Moore P.A., &  Rossie, K. (2000a) Insulin-dependent diabetes mellitus and oral soft tissue pathologies part 1 : prevalence and characteristics of non-candidal lesions. Oral Surgery Oral Medicine Oral Pathology Oral Radiology Endodontology; 89 : 563-9.
  4. Guggenheimer, J., Moore, P.A., & Rossie K(2000b) Insulin-dependent diabetes mellitus and oral soft tissue pathologies part II : prevalence and characteristics of Candida and candidal lesions. Oral Surgery Oral Medicine Oral Pathology Oral Radiology Endodontology; 89 : 570-6.
  5. Hallmon, W.W., Mealey, B.L. (1992) Implications of diabetes mellitus and periodontal disease. Diabetes Educator Jul–Aug;18(4):310–5.
  6. Jones, J.A., Miller, D.R., Wehler, C.J., Rich, S.E., Krall-Kaye, E.A., McCoy, L.C. (2007). Does periodontal care improve glycemic control? The Department of Veterans Affairs Dental Diabetes Study. Journal of Clin Periodontology Jan;34(1):46–52.
  7. King, H & Rewers,M. (1993) Global estimates for prevalence of diabetes mellitus and impaired glucose tolerance in adults. WHO Ad Hoc Diabetes Reporting Group. Diabetes Care. 16: 157-77.
  8. Lamster, I.B., Lalla, E, Borgnakke, W.S., & Taylor, G.W. (2008). The Relationship between oral health and diabetes mellitus Journal of American Dental Association ; 139 (10 suppl): 19S-24S.
  9. Letchumanan, G.R., Wan Nazaimoon W.M., Wan Mohamad, W.B., Chandran, L.R., Tee, G.H., Jamaiyah, H., Isa, M.R., Zanariah, H., Fatanah, I., & Ahmad Faudzi, Y. (2010). Prevalence of Diabetes in the Malaysian National Health:Morbidity Survey III. Medical Journal of Malaysia Vol 65 No 3 September: 173
  10. Little J.W., Falace D.A., Miller C.S., Rhodus N.L., (2002) Diabetes In: Little JW, ed. Dental magement of the medically compromised patient. 6th ed. St. Louis: Mosby:248-70.
  11. Lorini, R. Scaramuzza, A., &  Vitali, L., (1996) Clinical aspects of coeliac disease in children with insuli-dependent diabetes mellitus . Journal of  Paediatric Endocrinology; 9 (supplement 1): 101-11.
  12. Moore, P.A., Weyant, R.J., Mongelluzzo, M.B., (1999). Type 1 diabetes mellitus and oral health: assessment of periodontal disease. Journal of Periodontology; 70:409-17.
  13. Petrou-Amerikanou, C, Markopoulos, A.K., Belazi, M., Karamitsos, D., Papanayotou, P. (1998). Prevalence of oral lichen planus in diabetes mellitus according to the type of diabetes. Oral Disease 1998; 4(1) ;37-40.
  14. Rees, T.D. (2000). Periodontal management of the patient with diabetes mellitus. Periodontology  Jun;23:63–72.
  15. Settle, R.G. (1991). The chemical senses in diabetes mellitus. New York : Raven Press:829-43.
  16. Ship, J.A.,(2003). Diabetes and Oral Health: An Overview. Journal of American Dental Association  Vol. 134, October:4S-10S
  17. Taylor G.W., Burt B.A., Becker M.P., Genco R.J., & Shlossman M (1998). Glycemic control and alveolar bone loss progression in type 2 diabetes. Annals of Periodontology; 3(1):30-9.
  18. Taylor, G.W.,(1999) Periodontal treatment and its effects on glycemic control: a review of the evidence.; Oral Surgery Oral Medicine Oral Pathology Oral Radiology Endodontology: 87: 311-6.
  19. Twetman, S., Johansson, I., Birkhead, D., Nederfors,T. (2002) Caries incidence in young type 1 diabetes mellitus patients in relation to metabolic control and caries-associated risk factors. Caries Research; 36(1):31-5.
  20. Wild, S., Roglic, G., Green, A., Sicree, R., & King H. (2004) Global Prevalence of Diabetes. Estimates for the year 2000 and projections for 2030. Diabetes Care. 27: 1047-53.
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Uma a/p Subramaniam
Penterjemah : Dr. Noordin b. Kasan
Akreditor : Dr. Chan Yoong Kian
Penyemak : Dr. Sharol Lail b. Sujak

 

 

Artikel Berkaitan

Rawatan Salur Akar

Latar belakang Rawatan kanal akar (rawatan endodontik) merupakan rawatan alternatif

Rawatan Fraktur Tulang Pipi

Rawatan pembedahan tidak diperlukan jika fraktur tulang pipi tersebut stabil, tidak tergerak dan tiada sebarang komplikasi terhadap struktur muka yang bersebelahan. Namun begitu, pembedahan digalakkan jka ada masalah kosmetik atau ia mengganggu kehidupan harian.

Fake Braces

Fake braces ialah braces palsu yang dipasang pada gigi yang menyerupai braces sebenar (aplian tetap ortodontik). Walau bagaimanapun ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,534

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia