Tingkah Laku Devian

Sepasang suami isteri sedang membeli belah di sebuah pasaraya terkemuka. Selesai membeli belah mereka kemudiannya singgah sebentar menjamu selera sambil memerhatikan gelagat pengunjung di sana.

Isteri: Abang…Tengoklah perilaku anak-anak muda sekarang. Tanpa segan silu mereka berpimpin tangan dan berpelukan. Lihat hujung itu bang, mereka melakukan perbuatan sumbang tanpa segan silu dan memakai pakaian sekolah. Apa hendak jadi sekarang inikan bang. Kita ini Negara Islam dan bermasyarakat majmuk tetapi ramai yang telah menerima budaya barat di dalam hidup mereka.

Suami: Semakin maju teknologi, makin kurang adap sopan dan makin kurang nilai murni yang diamalkan. Kita pula yang jadi segan melihat dan sakit mata dibuatnya. Ditegur nanti kita dikatakan orang kampung dan tidak berfikiran terbuka. Entahlah, saya pun tidak tahu hendak buat apa.

Isteri: Saya ada terbaca dalam sebuah buku tetapi saya tidak ingat buku apa. Perlakuan ini dinamakan perlakuan tingkah laku Devian. Mereka ini biasanya melakukan sesuatu yang tidak sopan dan bercanggah dengan ilai murni dan adap sopan masyarakat setempat.

Suami:: Eh… Saya pun ada terbaca juga berkaitan tingkahlaku Devian ini. Biasanya Devian ini untuk orang dewasa tapi bagi mereka dibawah umur dan masih bersekolah, mereka di rujuk sebagai tingkah laku Delinkuen. Samalah ertinya dengan pembuli, gangster sekolah, bersekedudukan tanpa nikah dan pelbagai lagi perlakuan negatif itu.

Isteri:: Betul itu bang… Tetapi hendak disalahkan mereka sepenuhnya pun tidak boleh juga. Banyak punca yang mendorong mereka untuk berbuat demikian. Mungkin mereka mempunyai pengalaman dan konflik di mana mereka telah ditindas di awalnya. Oleh itu mereka akan membalas kembali perbuatan tersebut kepada individu lain. Inilah yang kita lihat di kaca televisyen dan media sosial di mana kerapkali pelajarsekolah dibudi dan dianiaya dengan kejam. Fenomena ini pula makin menjadi-jadi hingga ada yang mengorbankan nyawa pelajar dan ada kejadian yang di rakam oleh rakan masing-masing tersebar hingga menjadi viral.

Suami:: Bukan budak sekolah sahaja terlibat dengan tingkah laku Devian ini. Contoh depan mata yang hangat sekarang ini apa bila ada perlawanan bola. Sikap penyokong bagaikan lupa diri dan tidak bertanggungjawab dengan membaling botol, batu serta mercun ke padang dan ke pasukan lawan. Tidak cukup dengan itu ada yang menyalakan suar dan membuat provokasi sehingga tercetusnya huru hara yang menyebabkan berlaku pergaduhan sesama mereka.

Isteri:: Penyokong perlawanan bola juga menunjukkan sikap semakin agresif sekarang ini. Provokasi dan komposisi penyokong seperti kelas sosial dan kepentingan identiti menjadi faktor yang menyumbang kepada faktor tingkah laku Devian di kalangan penyokong pasukan bola sepak di Malaysia.

Suami:: Betul itu, banyak faktor yang mendorong perlakuan tingkahlaku Devian ini. Mereka ini mempunyai kumpulan yang besar dan budaya yang tersendiri. Kekangan ekonomi membuatkan mereka berubah dan melanggar norma serta tingkat laku setempat.

Isteri:: Tetapi bang, ada juga yang mengamalkan Teori Interaksionisme yang mana mereka sengaja memilih tingkah laku Devian ini. Bagi mereka tingkah laku Devian ini dipilih mengikut kemahuan yang mereka rasakan sesuai setelah mereka membuat interpretasi terhadap perlakuan yang melanggar norma setempat tetapi di pilih untuk dijadikan tingkah laku normal.

Suami:: Paling penting nilai kendiri itu, kalau nilai kendiri kita rendah dan melihat diri dari sudut negatif sahaja maka diri akan jadi negatif. Tambahan pula jika matlamat hidup tidak ditetapkan maka akan lebih terpesonglah hidup itu nanti. Sikap bantu membantu dan bekerjasama juga semakin terhakis dek pembinaan “dinding-dinding konkrit Metropolitan” menyebabkan semakin kurangnya sumbangan dan bantuan kepada masyarakat setempat. Hasilnya lahirlah masyarakat yang anti-sosial yang mengurangkan ukhwah sesama insan.

Isteri:: Faktor keluarga turut menyebabkan berlakunya tingkah laku Devian ini. Anak-anak yang mana ibu bapa mereka mempunyai masalah kewangan mahupun masalah perhubungan akan menimbulkan kesan negatif dan ketidakstabilan emosi didalam diri mereka. Jika mereka melihat ibu bapa bergaduh dan ibunya dipukul akan menyebabkan mereka akan cenderong untuk memukul. Kesan Psikologi akibat penceraian ibu bapa, keluarga yang tidak bahagia, hubungan keluarga yang longgar dan kurang perhatian daripada ibubapa menyebabkan emosi mereka terganggu dan tekanan di dalam kehidupan mereka seharian.

Suami:: Media sosial pun sepatutnya memainkan peranan positif dalam menerapkan nilai murni didalam masyakat. Tapi saya lihat makin banyak adengan negatif ditayangkan dan semakin meningkat masalah moral apabila ada anak-anak yang meniru perlakuan tersebut. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga memberi kesan perlakuan anak-anak ini. Bukan anak-anak sahaja terpengaruh, orang dewasa juga boleh terpengaruh dengan rakan-rakan mereka. Jadi pantaulah dengan siapa anak-anak berkawan dan kita yang dewasa ini pun pandai-pandailah memilih kawan.

Isteri:: Perlaku Devian ini pun ada jenis-jenisnya. Pertamanya mereka melakukan kerana ingin  memenuhi matlamat hidup mereka. Yang kedua adalah kerana ingin mengulang perbuatan tingkah laku Devian ini. Selepas itu yang ketiga adalah apabila mereka mengundur diri dan tidak lagi berminat untuk dangan perlakuan itu seterusnya yang keempat adalah mereka yang menentang perlakuan Devian ini dan menggantikannya dengan matlamat yang lain.

Suami:: Betul itu. Banyak cara untuk mengatasinya. Peranan keluarga amat penting. Justeru itu binalah rumahtangga yang bahagia dan harmoni. Selain itu komunikasi berkesan antara satu sama lain, pengaruh rakan sebaya dan media sosial tidak boleh diketepikan. Penerapan nilai murni membantu mereka yang mengamalkan tingkah laku Devian ini untuk merubah menjadi yang lebih baik. Kaunselor juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu perlaku tersebut berubah ke arah yang lebih baik.

Isteri:: Hebat betul suami saya berceramah hari ini. Kita mulakan nilai positif dalam keluarga kita dahulu ye abang agar anak-anak kita terhindar dari perilaku Devian ini.

Suami:: Betul tu… Tingkahlaku Devian, kita boleh mengubahnya.

Rujukan:

  1. Abd. Rahim Abd Rashid, Sufean Hussin dan Che Hashim Hassan (2006). Krisis dan Konflik Institusi Keluarga. Utusan Publicatians & Distributur Sdn. Bhd.
  2. Azizi Yahaya dan Muhamad Jumat Aliju. Teori-Teori Tingkah Laku Negatif. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
  3. Dr. Masitah Hj. Mohd Yusof; Prof. Madya Dr. Ismi Ariff Ismail; Prof. Madya Dr. Russayani Ismail; Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan; Prof. Madya Dr. Balan A/L Ratlakrishan; Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri; Dr. Janice Ng. Lay Hui; Dr. Wendy Yee Mei Tei; Dr. Aishah Kasa; Mastura Mohamad; Shahnanim Yahya; Shariffah Mamat; dan Mohd Rizal Mohd Sham(2015)Indeks Belia Malaysia 2015 (IBM’15):Mengukur Kesejahteraan Hidup Belia Malaysia. Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
  4. Haris Abd. Wahab(2004) Masalah Sosial di Bandar Semenanjung Malaysia: Tinjauan Daripada Perspektif Masyarakat Malaysia. Jati, Bilangan 9.
  5. Nur Hafizah Yusoff (2015) Faktor Situasi dan Pembentukan Ruang Rekreasi: Kajian Awal Tingkahlaku Devian Para Penyokong Bolasepak Di Malaysia. Geografia Online™ Malaysia Journal of Society Space 11 issue 1 (116-123)© 2015, ISSN 2180-2491.
  6. Wan Su Hj Haron. Hubungan Personaliti, Kemahiran Sosial, Kebimbangan dan Rakan Sebaya Dengan Tingkah Laku Devian Di Kalangan Pelajar Universiti. Universiti Malaysia Perlis.
Semakan Akhir : 17 Januari 2017
Penulis : Tn. Hj. Hairol Kamal b. Abdul Rahman
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod