A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Demam – FAQ

Soalan 1 :

Apakah punca seseorang demam dalam tempoh yang lama?

Demam yang kurang dari tempoh 14 hari adalah tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan dan penyakit-penyakit lain. Ia bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan anda mempunyai jangkitan kuman atau virus. Namun begitu, demam yang berpanjangan mungkin disebabkan oleh penyakit yang lebih serius. Demam yang bepanjangan ditakrifkan sebagai demam yang berlanjutan untuk tempoh 14 hari ke atas.

 

Sebab-sebab umum demam adalah seperti berikut :

  • Jangkitan virus penyebab kepada selsema, sakit tekak dan cirit-birit
  • Jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia), batuk kering (TB) dan jangkitan saraf (meningitis)
  • Demam malaria/denggi
  • Penyakit sendi
  • Mengambil ubat seperti antibiotik dan sebagainya
  • Barah/Kanser
  • HIV

Secara amnya, untuk menentukan diagnosa, penilaian klinikal perlu dilakukan oleh seorang doktor. Doktor tersebut akan mengambil sejarah kesihatan dan melakukan pemeriksaan fizikal serta ujian yang berkaitan. Ini adalah bagi mengetahui punca sebenar penyakit supaya rawatan yang sewajarnya dapat diberikan. Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor di Klinik Kesihatan yang berhampiran untuk pemeriksaan lanjut bagi menentukan apa penyakit yang anda alami.

 

Soalan 2 :

Saya demam dan mengalami sakit pinggang, apa sebenarnya penyakit saya?

Demam adalah tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan dan penyakit-penyakit lain. Ia bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan anda mempunyai jangkitan kuman atau virus.

Sebab-sebab umum demam adalah seperti berikut :

  • Jangkitan virus penyebab kepada selsema, sakit tekak dan cirit-birit
  • Jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia), batuk kering (TB) dan jangkitan saraf (meningitis)
  • Demam malaria/denggi
  • Penyakit sendi
  • Mengambil ubat seperti antibiotik dan sebagainya
  • Barah/Kanser
  • HIV

Manakala sakit pinggang disebabkan oleh pelbagai penyakit contohnya berpunca daripada postur lemah, otot belakang tercedera,  tulang patah atau pemampatan tulang, masalah spina, batu karang (kidney stones), jangkitan kuman dan kemungkinan-kemungkinan penyakit lain yang berkaitan.

Secara amnya, untuk menentukan diagnosa, penilaian klinikal perlu dilakukan oleh seorang doktor. Doktor tersebut akan mengambil sejarah kesihatan dan melakukan pemeriksaan fizikal serta ujian yang berkaitan. Ini adalah bagi mengetahui punca sebenar penyakit supaya rawatan yang sewajarnya dapat diberikan. Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor di Klinik Kesihatan yang berhampiran untuk pemeriksaan lanjut bagi menentukan apa penyakit yang anda alami.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Demam, Sakit belakang

 

Soalan 3 :

Apakah demam denggi dan bilakah saya perlu menjalani ujian darah?

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti oleh virus tersebut. Antara tanda dan gejala demam denggi adalah seperti berikut :

  • Demam panas
  • Sakit kepala
  • Sakit tulang belakang
  • Sakit sendi-sendi
  • Loya dan muntah-muntah
  • Sakit biji mata
  • Ruam

Jika anda mengalami tanda dan gejala demam denggi, sila pergi ke Klinik Kesihatan yang berdekatan.Jika anda duduk di kawasan yang ada wabak denggi dan doktor anda mengesyaki anda dijangkiti denggi, doktor anda akan menjalankan ujian darah Dengue Combo Rapid Test. Ujian ini boleh dijalankan dari hari pertama hingga hari ke lima demam. Sila pergi ke Klinik Kesihatan yang berdekatan untuk pemeriksaan doktor dan ujian.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Demam Denggi

 

Soalan 4 :

Adakah demam denggi boleh berjangkit?

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes (Aegypti/Albopictus) yang telah dijangkiti oleh virus tersebut. Seseorang individu boleh dijangkiti demam denggi akibat gigitan nyamuk yang telah terkena jangkitan virus denggi.

Walaupun begitu, seseorang individu tidak boleh dijangkiti demam denggi melalui:

  • Sentuhan dengan penghidap demam denggi
  • Berkongsi makanan/minuman penghidap demam denggi
  • Berkongsi peralatan seperti sudu, garpu, cawan dan pinggan yang telah digunakan penghidap demam denggi
  • Berkongsi tandas bersama penghidap demam denggi
  • Terkena air liur penghidap demam denggi
  • Melakukan hubungan intim bersama penghidap demam denggi

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Demam Denggi


Soalan 5 :

Saya demam. Perlukah saya berjumpa doktor?

Jangkitan ringan selalunya akan sembuh tanpa rawatan kerana sistem imunisasi berjaya menangani jangkitan. Anda tidak perlu berjumpa dengan doktor sekiranya anda mempunyai jangkitan ringan. Namun begitu, jika anda mempunyai sejarah perubatan, tanda atau gejala seperti di bawah, anda perlu pergi ke klinik kesihatan yang berdekatan dengan kadar segera untuk berjumpa dengan doktor.

Sejarah perubatan, tanda atau gejala yang serius:

  • Suhu badan melebihi ?38°C dan rawatan di rumah tidak membantu.
  • Baru pulang dari perjalanan luar negara.
  • Mendapat gejala lain seperti ruam, pendarahan, sawan, mengantuk, sesak nafas, sakit-sakit sendi, atau bengkak-bengkak badan
  • Sakit perut, mata atau tulang pipi.
  • Mempunyai lain-lain penyakit seperti kencing manis dan barah.
  • Tidak dapat mengambil makanan dan bendalir yang cukup.
  • Sering buang air kecil dan mengalami kesakitan atau dengan kadar yang sedikit.
  • Tidak ada perubahan selepas 4 ke 5 hari
  • Rumah berdekatan dengan kawasan wabak denggi.
  • Demam masih berlarutan walaupun dengan rawatan di rumah.
  • Demam berkaitan dengan kecederaan

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Demam

 

Soalan 6 :

Saya demam. Perlukah saya pergi ke hospital?.

Demam adalah tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan dan penyakit-penyakit lain. Ia bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan anda mempunyai jangkitan kuman atau virus. Suhu badan normal adalah 36.5°C-37.2 °C, jika melebihi suhu 37.2°C ini anda disahkan demam.

Anda tidak perlu ke hospital. Anda perlu pergi ke klinik kesihatan berhampiran. Doktor di klinik kesihatan akan mendapatkan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal selanjutnya dan ujian-ujian tertentu akan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar demam anda. Setelah punca dikenalpati, rawatan yang sewajarnya dapat diberikan.

 

Soalan 7 :

Saya demam. Pemeriksaan doktor mengesahkan tonsil saya bengkak. Ubat antibiotik yang diberi tidak sesuai dengan saya. Apa perlu saya buat?

Tonsil yang membengkak adalah tanda tonsillitis. Ia bermaksud radang yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Ia mudah berlaku disebabkan tonsil bertindak sebagai tapisan  apabila virus dan bekteria memasuki rongga hidung dan dan mulut. Tonsilitis biasanya akan datang bersama dengan demam. Tonsillitis yang disebabkan oleh jangkitan virus boleh dilegakan dengan memakan ubat demam/ tahan sakit dan berkumur dengan ubat tekak atau garam masakan yang dilarutkan dalam air suam. Manakala jangkitan bakteria perlu dirawat dengan antibiotik atas nasihat doktor. Sekiranya anda merasakan ubatan yang diberikan tidak sesuai, anda perlu berjumpa semula dengan doktor yang merawat anda. Bincanglah dengan doktor anda tentang pilihan antibiotik lain yang lebih sesuai. Ini adalah kerana antibiotik diperlukan bagi menyembuhkan tonsilitis yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Radang Tonsil

 

Soalan 8 :

Kenapa anak saya kerap demam dan apakah tindakan yang perlu saya lakukan?

Demam virus khususnya selesema kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang ditempatkan di rumah asuhan (nursery) kerana senang dijangkiti daripada kanak-kanak lain. Jika anak anda kerap demam, ini tidak bermakna daya imuniti anak anda kurang daripada kanak-kanak yang lain. Sekiranya anda masih menghantar anak anda yang tidak sihat ke rumah pengasuh/pusat jagaan kanak-kanak, anak anda akan berisiko tinggi terdedah dengan pelbagai kuman daripada kanak-kanak yang lain. Justeru menyebabkan proses penyembuhan terjejas. Oleh itu, amalkanlah tips ini untuk mengurangkan jangkitan kepada anak anda.

  • Jangan hantar anak anda ke taska/rumah pengasuh jika anak anda sakit. Ini merupakan tips yang paling penting, kerana jika anak anda masih sakit, dan dihantar ke taska/pengasuh, beliau akan terdedah kepada banyak kuman daripada budak-budak yang lain di situ. Ini menyukarkan anak anda untuk pulih sepenuhnya daripada jangkitan penyakit yang sedia ada. Tambahan lagi, anak anda akan kerap demam semula disebabkan terdedah kepada kuman lain.
  • Berilah imunisasi kepada anak anda. Dengan cara ini, anak anda dilindungi dari penyakit berjangkit yang serius seperti TB, Polio, Pertussis (Batuk Kokol), Difteria dan Haemophilus Influenza Type B (Radang paru-paru disebabkan Influenza). Pastikan anda mengikuti jadual imunisasi yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk anak anda.. Anda digalakkan untuk dapatkan pneumococcal vaccine yang boleh didapati di klinik/hospital swasta. Vaksinasi ini dapat melindungi anak anda daripada penyakit pneumonia atau radang paru-paru. Untuk pengetahuan anda, pneumonia atau radang paru-paru adalah antara penyebab utama kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Malaysia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-22 yang bersidang pada 24 November 1988 telah memutuskan bahawa hukum memberi imunisasi adalah harus kecuali Vaksin Rotateq (Vaksin Rotateq tidak termasuk dalam Jadual Imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia).

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Imunisasi

  • Bawa anak anda ke klinik jika dia sakit.
  • Kerap basuh tangan anda sebelum memegang anak
  • Amalkan etika batuk yang betul. Tutup mulut anda dengan tangan/tuala kecil ketika batuk supaya kuman dari batuk tidak menjangkiti anak anda

 

Soalan 9:

Saya kerap demam, apakah yang perlu saya lakukan?

apakah bahaya yang tersembunyi di tangan andaJika anda kerap demam, anda dinasihatkan untuk pergi ke klinik yang berdekatan dengan anda bagi mendapatkan pemeriksaan fizikal serta ujian-ujian yang berkaitan. Ini amat perlu untuk mengenalpasti sama ada anda mengidap penyakit yang lebih serius. Jika hasil temubual dengan doktor, pemeriksaan fizikal dan keputusan ujian yang dilakukan adalah normal, anda digalakkan untuk mengikuti tips kesihatan berikut;

  • Elakkan dari mendekati seseorang yang demam berpunca daripada penyakit berjangkit seperti TB
  • Mengamalkan kebersihan. Kerap basuh tangan anda terutama sebelum makan, sebelum bersentuhan dengan anak dan setelah selesai di tandas.

Cara membasuh tangan yang betul :

Cara membasuh tangan yang betul

  • Menjauhi tempat-tempat yang sesak seperti perhimpunan jalanan dan pusat membeli belah yang sesak
  • Sentiasa aktif dan melakukan senaman secara berkala. Anda digalakkan untuk meningkatkan aktiviti fizikal seperti naik tangga atau berjalan kaki di dalam kehidupan seharian anda. Anda di syorkan untuk bersenam 5 kali seminggu selama 30 minit setiap sesi. Ini adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan kesihatan jantung anda.
  • Ambil diet yang seimbang dan sihat. Lebihkan pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan dan kurangkan pengambilan gula, garam serta makanan berlemak dalam setiap hidangan harian anda. Sayur-sayuran dan buah-buahan segar merupakan sumber yang kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral untuk badan anda.
  • diet seimbang1 diet seimbang2
  • Lengkapkan pengambilan antibiotik jika diberikan oleh doktor bagi memastikan kuman yang menjangkiti anda dapat dibasmi sepenuhnya.
  • Ambil ubat seperti yang diarahkan apabila anda demam

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH> Demam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,348,494

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia