Home > Umum > Forensik > Daripada Kematian Kepada Kehidupan

Daripada Kematian Kepada Kehidupan

Pendermaan Organ/Tisu: Daripada Kematian Kepada Kehidupan

Apakah yang dimaksudkan dengan Pendermaan Organ/Tisu?

Berdasarkan Akta Tisu Manusia 1974, pendermaan organ didefinisikan sebagai penggunaan sebahagian daripada anggota tubuh badan seseorang yang telah mati untuk tujuan yang berikut; terapeutik atau penyembuhan, pendidikan perubatan, dan penyelidikan.

Pendermaan organ merupakan satu prosedur pembedahan yang melibatkan proses mengambil organ-organ dan tisu daripada badan penderma. Organ-organ ini akan digunakan untuk transplan dan tujuan seperti di atas. Secara amnya, terdapat dua jenis pendermaan organ iaitu:

  1. Pendermaan organ daripada penderma yang telah mati
  2. Pendermaan organ daripada penderma yang masih hidup

Artikel ini akan memberi huraian kepada jenis pendermaan organ daripada penderma yang telah mati. Organ-organ dan tisu akan diambil daripada penderma yang telah meninggal dunia, namun organ masih dalam keadaan baik. Penderma yang sudah diisytiharkan mati otak boleh mendermakan organ-organ seperti jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan pankreas. Mereka juga boleh mendermakan tisu-tisu tubuh iaitu kulit, kornea mata, tendon, dan tulang. 

Siapa yang Layak Mendermakan Organ/Tisu?

Secara amnya, sesiapa sahaja boleh menjadi penderma organ kerana tiada had umur untuk menjadi penderma. Mengikut undang-undang, sekiranya seseorang itu mengisytiharkan secara lisan atau secara bertulis (bersama-sama dua orang atau lebih saksi) bahawa dia ingin mendermakan tubuh badannya atau mana-mana anggota tubuhnya untuk tujuan terapeutik, pendidikan perubatan, dan penyelidikan, maka individu tersebut adalah penderma organ yang sah.

Di Malaysia, bagaimanapun, kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit mental tidak dibenarkan untuk menderma organ ketika mereka masih hidup. Banduan juga tidak dibenarkan menderma organ melainkan dalam keadaan yang mengancam nyawa melibatkan ahli keluarga dan saudara terdekat. Kes begini turut memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Untuk menjadi penderma sebenar amat bergantung kepada beberapa keadaan; di mana si penderma mati dan bagaimana si penderma mati. Kesesuaian organ untuk didermakan adalah ditentukan oleh mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang perubatan. Individu yang mempunyai penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B atau C, dan Sifilis tidak dibenarkan untuk menderma organ.

Untuk menjadi penderma organ, calon-calon yang berpotensi mestilah mempunyai kesihatan yang baik. Individu yang memiliki masalah kesihatan tertentu mungkin tidak dibenarkan untuk menjadi penderma organ. Ini bergantung kepada penilaian dan keputusan pakar dan anggota perubatan yang terlibat dalam proses transplan.

Jenis-jenis Organ dan Tisu yang boleh Didermakan

Terdapat pebagai jenis organ yang boleh didermakan kepada penerima organ. Ini termasuklah jantung, buah pinggang, usus, hati, paru-paru dan pankreas. Tisu daripada tubuh juga boleh didermakan seperti kornea mata, injap jantung dan kulit.

Seseorang yang telah meninggal dunia boleh mendermakan kesemua organ dan tisu tubuhnya iaitu buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, kornea mata, injap jantung, dan tulang.

Prosedur Pendermaan Organ

Sekiranya seseorang individu ingin menjadi penderma organ, individu tersebut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada keluarga, rakan-rakan dan pegawai perubatan mengenai pengisytiharan mereka sebagai penderma organ. Untuk menjadi penderma organ secara sah, individu terbabit perlu memberi kebenaran secara bertulis dan membuat ikrar sebagai penderma organ. Mereka juga dikehendaki memiliki kad penderma, mengikut sistem dan tatacara yang diamalkan di negara masing-masing.

Di Malaysia, sistem yang diamalkan adalah sistem ‘opting-in’ bagi pendermaan organ daripada individu yang sudah meninggal dunia, di mana pengambilan organ dan tisu memerlukan kebenaran daripada ahli keluarga.

Dalam keadaan di mana penderma dalam keadaan mati otak, prosedur transplan organ dilakukan oleh pakar bedah di dalam bilik pembedahan. Dalam skop yang lebih luas, pakar patologi forensik terlibat dalam pendermaan organ dari penderma yang sudah mati. Mereka juga terlibat dalam pengambilan tisu tubuh untuk tujuan bedah siasat diagnostik, penyelidikan dan latihan.

Beberapa jenis tisu boleh diambil daripada penderma yang sudah mati bagi tujuan transplan. Dalam kes sebegini, kolaborasi pasukan pakar bedah dan pasukan patologi forensik diperlukan bagi mendapatkan tisu-tisu yang sesuai untuk didermakan. Proses pengambilan tisu dijalankan di dalam bilik autopsi atau bedah siasat.

Peranan Kumpulan Forensik dalam Pendermaan dan Pengambilan Organ/Tisu

Dari aspek perubatan forensik, pakar forensik patologi dan pasukan perubatan forensik (sebagai contoh: pegawai pemeriksa perubatan dan pembantu pegawai perubatan) memainkan peranan penting dalam proses pengambilan organ dan tisu yang didermakan oleh si mati bagi tujuan transplan. Mereka bertanggungjawab dalam memberi kebenaran atau menghalang proses pengambilan organ mengikut keperluan kes. Ini kerana kebanyakan penderma organ adalah tertakluk di bawah bidang kuasa undang-undang perubatan (‘medico-legal’).

Peranan kumpulan forensik dalam proses pendermaan dan pengambilan organ serta tisu adalah seperti senarai di bawah:

  1. Memberi kebenaran untuk melaksanakan proses pengambilan organ dan tisu, kerana hampir semua individu yang sesuai dan layak menjadi penderma organ adalah tertakluk kepada bidang kuasa pegawai pemeriksa perubatan dan undang-undang perubatan (‘medico-legal’).
  2. Menentukan dan mengesahkan sebab dan cara kematian.
  3. Memberi kebenaran atau menghalang proses pengambilan organ atau tisu daripada si mati sekiranya diperlukan untuk memperkukuh pendapat dalam menentukan sebab dan cara kematian.
  4. Menyempurnakan pemeriksaan luaran dan dalaman apabila si mati dibedah, seperti kecederaan dan kandungan darah dalam rongga-rongga badan.
  5. Mengumpul, memelihara, dokumentasi bukti-bukti yang telah diperolehi.
  6. Menyediakan fasiliti dan perlatan seperti bilik bedah siasat dan set bedah siasat dalam pengambilan organ dan tisu daripada penderma yang telah mati.

Fasiliti-fasiliti yang Terlibat dalam Pengambilan Organ/Tisu

Proses pengambilan organ dan tisu dalam kes kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung biasanya dijalankan di dalam bilik bedah siasat. Bagi penderma yang mengalami mati otak, proses ini dilaksanakan di dalam bilik pembedahan. Bagi pendermaan organ daripada penderma yang masih hidup, boleh dilakukan di kebanyakan hospital kerajaan atau hospital swasta, malah boleh dilakukan di rumah (bagi pendermaan mata sahaja).

Selepas diambil daripada penderma, organ dan tisu tubuh dihantar ke pelbagai bank tisu dan fasiliti seperti senarai di bawah:

  1. Bank Tisu, Universiti Sains Malaysia (HUSM)
  2. Bank Tulang, Hospital Kuala Lumpur (HKL)
  3. Bank Kornea Mata, Hospital Sungai Buloh
  4. Institut Jantung Negara (IJN)
  5. Agensi Nuklear Kebangsaan  (untuk proses sterilisasi atau nyahkuman)

Organ-organ dan tisu yang telah didermakan akan digunakan bagi tujuan transplan yang hanya boleh dijalankan di institusi bertauliah yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pasukan yang Terlibat dalam Pengambilan Organ/Tisu

Dalam kebanyakan kes, kedua-dua pasukan perubatan forensik dan pasukan pembedahan akan hadir dalam proses pengambilan organ dan tisu. Pasukan perubatan forensik terdiri daripada Pakar Patologi Forensik, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK). Pasukan pembedahan pula akan dianggotai oleh Pakar Bedah, Pegawai Perubatan, Doktor Pelatih, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih. Pasukan ini akan bekerjasama dalam memastikan organ dan tisu diambil dalam keadaan baik tanpa merosakkan keadaan fizikal asal penderma organ terbabit.

Kad Penderma Organ

Setelah membuat ikrar sebagai penderma organ, seorang penderma akan menerima satu kad penderma. Kad penderma ini digunakan sebagai identifikasi dan kebenaran bertulis daripada penderma sekiranya penderma meninggal dunia.

Kesimpulan

Di Malaysia, terdapat permintaan yang tinggi bagi pendermaan organ. Ini disebabkan oleh meningkatnya bilangan pesakit yang memerlukan transplan. Amatlah penting untuk mengetahui bahawa pengambilan organ dan tisu daripada badan penderma tidak akan mencacatkan keadaan fizikal asal penderma terbabit. Malah dari perspektif agama, menderma organ adalah dibenarkan kerana ia mempunyai dan memenuhi tujuan yang murni iaitu untuk menyelamat dan memelihara nyawa manusia.

Kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ dan tisu seharusnya disebarkan dan disampaikan kepada semua lapisan masyarakat. Peranan ini haruslah dimainkan oleh sektor kerajaan dan sektor swasta. Ini kerana, sehingga kini negara kita mempunyai lebih 16,000 orang pesakit yang memerlukan dan menunggu giliran untuk transplan, yang mana sebahagian besarnya memerlukan transplan buah pinggang. Seorang penderma yang telah meninggal dunia mampu menyelamatkan sekurang-kurangnya lapan pesakit dengan mendermakan organ kepada mereka yang memerlukan.


Rajah: Seorang penderma yang telah meninggal dunia mampu menyelamatkan sekurang-kurangnya lapan orang pesakit apabila dia mendermakan organ dan tisu kepada yang memerlukan

Rujukan

  1. Cadaveric Tissue Donation: A Pathologist’s Perspective, Journal of Medical Ethics, 29:135-136, 2003
  2. Human Tissue Act 1974, Laws of Malaysia (Reprint), The Commissioner of Law Revision Malaysia, 2006
  3. Living Organ Donation: What You Need to Know, Transplantation Unit, Medical Development Division, Ministry of Health Malaysia, 2011
  4. National Association of Medical Examiners Position Paper on the Medical Examiner Release of Organs and Tissues for Transplantation, The American Journal of Forensic Medicine and Pathology, Vol.28 No.3, 2007
  5. Organ Donation, The Journal of The American Medical Association, Vol.299 No.2, 2008
  6. Transplantation Unit & National Transplant Resource Center. Website: http://www.dermaorgan.gov.my/en/
  7. Who can be a Living Organ Donor? Questions and Answers about Live Organ Donation, 2012.

 

Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Nor Asyikin bt. Suaidi
Akreditor : Saravanakumar a/l Maniam