Home > Ubat & Anda > Tip/Panduan > Tanya Ahli Farmasi Anda

Tanya Ahli Farmasi Anda

Pengetahuan pesakit tentang maklumat ubat-ubatan yang diambil adalah penting bagi meningkatkan keberkesanan rawatan.Tahukan anda, kajian menunjukkan, antara kekangan bagi menjadikan amalan penggunaan ubat yang rasional dalam kalangan pesakit adalah berpunca daripada:

  1. kurangnya pengetahuan pesakit berkenaan ubat yang digunakan
  2. pesakit tidak yakin dengan rawatan yang diberikan
  3. pesakit risau akan kesan sampingan ubat-ubatan yang diambil

Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk memastikan kesemua persoalan berkaitan ubat-ubatan terjawab sebelum pulang ke rumah. Pesakit juga disarankan untuk mendapatkan maklumat berkaitan ubat-ubatan daripada doktor atau ahli farmasi yang bertauliah bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan sahih.

Berikut adalah contoh persoalan yang pesakit perlu tahu berkenaan ubat-ubatan yang diberikan atau dipreskripsikan.

  1. Apakah nama ubat yang diberikan atau dipreskripsikan dan apakah kesan pengambilan ubat tersebut?

    Setiap ubat mempunyai nama generik ubat atau nama jenama ubat.

    1. Nama generik ubat adalah nama bahan aktif setiap ubat dan ianya sama diseluruh dunia
    2. Nama jenama ubat adalah nama dagangan mengikut syarikat pengeluar. Terdapat pelbagai nama jenama bagi setiap jenis ubat.

    Sekiranya anda tahu atau mempunyai rekod nama ubat yang diambil, ini dapat memudahkan doktor untuk membuat keputusan tentang rawatan anda.

    Selain itu, pesakit juga perlu mengetahui kesan dan faedah kepada pengambilan ubat yang diberikan bagi meningkatkan kepatuhan pesakit kepada rawatan.

  2. Berapakah dos dan kekerapan pengambilan ubat? Apakah teknik yang betul pengambilan ubat?

    Pesakit perlu mengambil ubat mengikut dos dan kekerapan seperti yang diarahkan oleh doktor dan ahli farmasi. Pengambilan ubat-ubatan yang tidak mengikut dos dan kekerapan yang ditetapkan akan menjejaskan keberkesanan rawatan atau pesakit berisiko mendapat kesan mudarat ubat.

    Teknik pengambilan ubat yang betul juga adalah salah satu faktor penyumbang kepada keberkesanan sesuatu rawatan. Sebagai contoh penggunaan inhaler yang tidak betul menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk.

    Arahan penggambilan ubat sebelum atau selepas makan perlu dipatuhi bagi mendapat keberkesanaan rawatan yang optimum.

    Sebelum makan: Ubat tersebut perlu diambil semasa perut kosong. Ini kerana makanan boleh mempengaruhi penyerapan sesetengah ubat. Kebiasaan ubat ini diambil 1 jam sebelum makan atau 2 jam selepas makan.

    Selepas makan: Bermaksud ubat tersebut tidak boleh diambil semasa perut kosong. Ini bagi mengelak ketidakselesaan atau iritasi perut.

  3. Berapa lama tempoh pengambilan ubat?
    1. Pengambilan ubat bagi tempoh yang singkat
      Untuk rawatan penyakit akut contohnya demam, batuk, selesema
    2. Pengambilan ubat bagi tempoh yang panjang atau sepanjang hayat
      Untuk rawatan penyakit kronik contohnya hipertensi, diabetes

    Sekiranya anda tahu tempoh pengambilan ubat yang dipreskripsikan, ia dapat membantu anda melakukan perubahan gaya hidup harian anda.

  4. Bagaimanakah cara penyimpanan ubat ini?

    Kebanyakan ubat-ubatan perlu disimpan di tempat yang kering dan dingin. Terdapat juga ubat-ubatan yang perlu disimpan di dalam peti sejuk. Cara penyimpanan ubat yang betul boleh didapati pada label ubat.

  5. Apakah yang perlu dilakukkan jika terlupa mengambil ubat?

    Sekiranya anda terlupa mengambil ubat, ambil ubat tersebut dengan segera. Sekiranya ianya hampir dengan masa untuk dos seterusnya, abaikan dos yang terlupa. Ambil dos seterusnya seperti biasa. Jangan gandakan dos ubat anda.

  6. Adakah ubat ini akan memberi kesan ke atas ubat lain serta makanan dan minuman yang saya ambil sekarang?

    Interaksi ubat boleh berlaku dengan ubat lain, makanan dan minuman. Interaksi ini boleh menyebabkan ubat tersebut kurang berkesan atau sebaliknya dan boleh membahayakan pesakit. Oleh itu, anda disarankan untuk memaklumkan sebarang pengambilan ubat termasuk suplemen, vitamin, dan persediaan tradisional lain kepada doktor atau ahli farmasi anda.

  7. Maklumkan kepada doktor sekiranya anda:
    1. mempunyai sebarang alahan terhadap ubat-ubatan atau pernah mengalami sebarang kesan sampingan yang mendatangkan masalah akibat pengambilan ubat-ubatan.
    2. sedang menerima rawatan untuk sebarang penyakit atau anda mempunyai masalah lain contohnya anda tidak mampu untuk menelan ubat tablet.
    3. anda sedang hamil, merancang untuk hamil, atau menyusukan bayi.

    Maklumat–maklumat ini adalah penting bagi memudahkan doktor anda membuat penilaian bagi memilih ubat-ubatan yang bersesuaian dengan anda.

  8. Apakah kesan sampingan yang dijangka akan berlaku? Apakah yang perlu dilakukan sekiranya kesan sampingan tersebut dialami?

    Ubat-ubatan boleh mempunyai kesan sampingan, walau bagaimanapun, bukan semua individu akan mendapat kesan sampingan ubat kerana ia bergantung kepada cara ubat bertindak dalam badan pesakit. Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi akan kesan sampingan yang boleh berlaku, tindakan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko berlakunya kesan sampingan dan tindakan yang perlu diambil sekiranya mengalami kesan sampingan ubat yang berlarutan.

Rujukan

  1. Beena J. & Jimmy J. (2011). Patient Medication Adherence: Measures in Daily Practice, Oman Med J. 2011 May; 26(3): 155–159. Diambil pada 8 Jun 2016 dari http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3191684/
  2. Pusat rujukan persuratan melayu, diambil pada Jun 8, 2016 dari http://prpm.dbp.gov.my/
  3. Othman H., Baharuddin S. N. F., Din R., Mohd Taib H. & Mohd Helmi N.E. (2011). Dapatkan Maklumat Pengubatan daripada Doktor / Pegawai Farmasi Anda. MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia. Diambil pada Jun 8, 2015 dari http://www.myhealth.gov.my/dapatkan-maklumat-pengubatan-daripada-doktor-pegawai-farmasi-anda/
  4. Gupta S. (2015) 6 Questions You Should Ask Your Pharmacist. Everyday HEALTH. Diambil pada Jun 8, 2016, dari http://www.everydayhealth.com/news/questions-you-should-ask-your-pharmacist/
Semakan Akhir : 24 Oktober 2016
Penulis : Maisara bt. Abdul Rahman
Akreditor : Munira bt. Muhammad
(Visited 307 times, 1 visits today)