Home > Umum > Forensik > CSI : Antara Drama & Realiti

CSI : Antara Drama & Realiti


Montaj drama bersiri CSI: Crime Scene Investigation yang menjadi kegilaan ramai.
Sumber dari http://pantomineandfarces.files.wordpress.com

Tanpa sedar, sudah lebih sedekad drama CSI (Crime Scene Investigation) disiarkan di kaca televisyen. Produksi ini yang dimulakan pada tahun 2000 telah menarik jutaan penonton dari seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia. Malah pada tahun 2008, drama CSI ini telah mencatatkan sejumlah 84 juta penonton (tv.com, 2013). Jumlah ini menjadikan drama penyiasatan ini sebagai rancangan televisyen yang paling banyak ditonton di seluruh dunia.

Watak-watak seperti Grissom, Catherine, Nick dan Sara Sidle adalah antara watak yang memainkan peranan penting dalam menaikkan nama drama ini. Tambahan pula, teknik penyiasatan forensik yang menjadi tunjang jalan ceritanya telah digarap dengan begitu menarik sehingga membangkitkan keterujaan penonton.

Sesiapa sahaja akan menjadi kagum andai sebuah kes jenayah dapat diselesaikan dalam masa yang singkat menggunakan teknik siasatan forensik yang hebat. Apabila penyiasat forensik tiba ke lokasi jenayah, kehebatan mereka terserlah sehinggakan bahan bukti seperti fiber yang sehalus seutas benang atau rambut mampu dikesan oleh mereka. Malah, bukti itulah yang digunakan untuk menyabitkan kesalahan seorang penjenayah.

Semudah itukah kes jenayah dapat diselesaikan? Adakah benar seutas benang atau rambut itu dapat mengenalpasti penjenayah yang sebenar?

Inilah yang dikatakan sebagai cereka dan drama. Ia sebuah cereka yang menggarap idea penyiasatan hebat dengan baik sekali sehingga orang ramai mempercayainya.

Hakikat yang dilupakan oleh ramai peminat adalah, berapa kerapkan masyarakat di negara ini membersihkan rumah mereka daripada sampah-sampah mikro seperti rambut yang gugur setiap hari? Berapa ramaikah pula yang menggugurkan rambut mereka dalam sesuatu kawasan itu? Tidakkah ada peluang bagi kesilapan dalam mengenalpasti pemilik sebenar seutas rambut itu? Adakah benar rambut itu boleh dikenalpasti pemiliknya?

Banyak persoalan yang jika disenaraikan hanya memeningkan kepala penonton setia drama sebegini. Namun, ia adalah baik untuk dibincangkan agar memberi pemahaman yang lebih baik kepada masyarakat tentang penyiasatan forensik. Ia juga baik untuk memberi gambaran sebenar tentang realiti aplikasi sains forensik dalam siasatan kes jenayah.

Lubuk Emas

Sebuah produksi sentiasa memikirkan keuntungan daripada karya-karya mereka yang dijual kepada penonton. Untuk mengaut keuntungan sedemikian, karya yang dihasilkan mestilah sebuah karya yang dapat menarik minat penonton untuk menonton. Bagi menarik minat penonton, garapan idea mestilah boleh menjana keterujaan penonton.

Itulah yang ditonjolkan oleh drama CSI ini. Dengan melakarkan watak-watak penyiasat yang hebat dibantu oleh peralatan makmal yang canggih dan berteknologi tinggi, pasti membuatkan penonton kekal setia di hadapan televisyen. Kehebatan teknik penyiasatan mereka membuatkan para penonton terpaku sehingga terpengaruh dengan kesan khas yang dihasilkan computerize graphic image (CGI). Tambahan pula kesan khas tersebut membuatkan drama itu kelihatan seperti sebuah realiti.

Oleh kerana itu, dengan memaku peminat di hadapan televisyen pada setiap tayangannya, drama CSI ini menjadi lubuk emas yang sungguh menguntungkan. Kemudian lahir lagi beberapa drama penyiasatan bersiri dengan konsep yang sama untuk sama-sama menikmati kemewahan yang diizinkan oleh penonton.

Tanpa sedar, masyarakat yang telah dipengaruhi oleh cereka ini mempercayai sebahagian besar daripada paparan plot yang dihidangkan. Ia memberikan banyak kesan kepada pembangunan penyiasatan forensik di Malaysia. Secara tidak langsung, masyarakat yang terdidik dengan teknologi penyiasatan moden ini belajar memahami prinsip siasatan yang sebelumnya asing dalam kamus kehidupan mereka. Ia adalah suatu perkembangan yang baik namun dalam kebaikan itu, terdapat juga kesan negatifnya.

Tidak hairanlah andai semakin banyak universiti baik awam mahupun swasta menawarkan bidang pengajian yang berkait dengan forensik. Program sains forensik telah banyak ditawarkan di universiti – universiti di Malaysia. Malah, lain-lain program yang berkaitan seperti forensik komputer, forensik akauntan dan sebagainya mula menjadi tumpuan para graduan.

Wawasan 2020 menggariskan sembilan cabaran dan salah satunya adalah berkait rapat dengan perkembangan tamadun ilmu ke arah tamadun saintifik dan berteknologi maju (Mohamad, 2008). Cabaran keenam ini kelihatannya hampir berjaya dengan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat tentang aplikasi teknologi moden dalam kehidupan.

Situasi ini adalah sesuatu yang baik. Masyarakat Malaysia secara amnya mula meneroka bidang ilmu yang setara dengan dunia luar. Semakin ramai juga profesional tempatan yang mahir dalam bidang forensik berkhidmat untuk negara. Secara tidak langsung, ia adalah satu perkembangan yang sihat dan selari dengan Wawasan 2020.

Realiti Bukan Fantasi

Dalam kehidupan sebenar, petugas-petugas yang berkhidmat di dalam analisis forensik ini amat berbeza dengan yang dipaparkan di kaca televisyen. Mereka ini tidak memiliki kereta mewah seperti Humvee atau kereta sport tetapi hanya kereta nasional kebanyakannya. Mereka juga tidak bermekap berlebih-lebihan dengan dandanan seperti model tetapi cukup sekadar berpakaian selayaknya sebagai kakitangan kerajaan.

Peralatan analisis yang digunakan makmal-makmal analisis forensik awam juga walaupun berteknologi moden tetapi tidaklah secanggih yang dipertontonkan. Aplikasinya juga mengikut teknologi semasa dan berkadaran dengan belanjawan yang diluluskan oleh pihak kerajaan.

 

Di antara peralatan makmal yang digunakan dalam analisis forrensik di makmal forensik awam di Malaysia. Sumber dari Makmal Perubatan Forensik, Hospital Sg. Buloh

Secara realitinya juga, dalam satu hari bekerja, bukan satu sahaja kes yang perlu mereka kendalikan. Kes jenayah berlaku setiap masa. Oleh kerana itu, beban kerja mereka dari aspek analisis adalah besar.

Dalam keadaan sebenar, bagi satu kes yang disiasat, ia memakan masa sehingga dua bulan atau lebih untuk mendapatkan keputusannya. Selain daripada sampel yang sedang mereka analisis, terdapat ratusan lagi sampel lain yang menunggu giliran untuk diuji. Analisis pula perlu dilakukan secara menyeluruh (screening) dan untuk memastikannya, kaedah khas perlu dijalankan (confirmation).

Berbeza dengan yang dipaparkan di dalam drama CSI tersebut. Sampel yang dianalisis apabila dimasukkan ke dalam peralatan analisis akan terus mengeluarkan keputusan yang dikehendaki. Ia tidak berlaku sebegitu. Ada banyak proses sebelum, semasa dan selepas analisis itu yang perlu dilaksanakan. Keputusan analisis pula tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peralatan tetapi juga kepada interpretasi maklumat yang dikeluarkan oleh peralatan tersebut.

Benar juga jika dikatakan tempoh tayangan yang pendek tidak mampu memberikan gambaran keseluruhan proses kerja yang sepenuhnya. Maka bahagian-bahagian yang menarik sahaja diberikan tumpuan. Tetapi, disebabkan itu, ia menjadikan proses sebenar analisis itu diringkaskan. Segala yang ditonton boleh disalahertikan sebagai proses kerja yang sebenarnya.

Beri Implikasi Negatif

Tayangan drama CSI ini bukan sahaja memberikan kebaikan kepada perkembangan bidang forensik di Malaysia malah ada kesan negatif yang ditinggalkan. Pihak polis mula berdepan dengan penjenayah yang tahu selok-belok penyiasatan mereka. Bukan itu sahaja, teknik yang selama ini diaplikasikan dalam penyiasatan juga telah didedahkan kepada umum tanpa tapisan.

Apabila mereka ini melakukan jenayah, mereka telah tahu perkara-perkara yang menjadi keutamaan pihak polis. Hampir segalanya telah mereka pelajari daripada drama-drama penyiasatan seperti CSI ini. Daripada teknik untuk menghilangkan cap jari kepada cara untuk menghapuskan kesan DNA pada tempat kejadian. Mereka boleh belajar kaedah untuk memecahkan peti besi dengan efisyen malah turut boleh membuat sendiri bom.

Sebagai akibat daripada keadaan ini, pihak polis sukar menjejak penjenayah yang sebenar dan proses penyiasatan menjadi lebih panjang. Dengan memanjangkan proses siasatan, mereka mengundang kemarahan orang awam.


Contoh kes jenayah terancang yang mengambil kira aspek penghapusan bukti pembunuhan bagi menyukarkan siasatan.
Sumber dari http://berita-harian-online.com/bukti-dalam-lumpur/

Masyarakat yang berilmu mula membuat perbandingan di antara teknik penyiasatan yang mereka tonton di kaca televisyen dengan siasatan kes jenayah yang sebenarnya. Istilah seperti ujian deoxyribonucleic acid atau DNA sentiasa meniti mulut segenap lapisan masyarakat. Sungguhpun mereka tidak tahu secara teliti kaedah siasatan DNA, namun mereka telah mempunyai idea tentangnya.

Anggota masyarakat meletakkan jangkaan yang tinggi kepada barisan penyiasat yang diketuai oleh pegawai polis. Jangkaan yang tinggi sebegini secara tidak langsung mengganggu siasatan mereka. Kes-kes jenayah dibincangkan secara meluas di segenap media malah di kedai-kedai kopi dan di mana sahaja ruang bual bicara. Mereka menghukum tindakan-tindakan polis dan lain-lain komponen siasatan seolah-olah mereka telah menguasai bidang dan kemahiran siasatan forensik.

Akhir-akhir ini, corak jenayah telah dikesan menjadi semakin kejam. Untuk menghapuskan bukti, mangsa rogol kebiasaannya dibunuh dan dibakar. Penjenayah telah belajar bahawa keterangan mangsa mungkin boleh disangkal tetapi bukti yang ditemui pada mangsa (air mani, air liur, darah – sumber DNA) (Jabatan Kimia Malaysia, 2004) tidak akan dapat disangkal di mahkamah.

Para penjenayah telah mula tahu bukti yang bagaimana diperlukan oleh polis. Maka mereka mengambil tindakan paling mudah walaupun kejam semata-mata untuk lepas daripada tindakan perundangan. Adakah perkara ini perlu dibiarkan sebegitu sahaja tanpa dibendung?

Lantaran itu, pihak berwajib seperti Kementerian Penerangan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan sebagainya perlulah mengambil langkah proaktif untuk mengkaji sama ada terdapat kesesuaian tayangan drama siasatan sebegini di Malaysia. Walaupun ia ditayangkan oleh stesen televisyen swasta, ia tetap perlu dipantau. Kita tidak mahu kejadian jenayah kejam berleluasa semata-mata pengaruh tidak baik drama-drama seperti ini.

Rujukan

  1. Jabatan Kimia Malaysia. (2004). Laman Web Rasmi Jabatan Kimia Malaysia. Retrieved 0620, 2013, from http://www.kimia.gov.my:
    http://www.kimia.gov.my/images/document/forensik/borang%20kimia%2015.pdf
  2. Mahathir, M. (2008). Official Website Prime Minister Office of Malaysia. Retrieved 0620, 2013, from http://www.pmo.gov.my: http://www.pmo.gov.my/?menu=page&page=1904
  3. tv.com (n.d) tv.com. Retrieved 0619, 2013, from http://www.tv.com/shows/csi-crimescene-investigation
  4. http://pantomineandfarces.files.wordpress.com
  5. http://berita-harian-online.com/bukti-dalam-lumpur/

 

Semakan Akhir : 7 Januari 2014
Penulis : Khairul Adli b. Nikman
Akreditor : Khoo Lay See