Home > Dewasa > Cirit-Birit

Cirit-Birit

Pengenalan

Apakah itu cirit­-birit?

Cirit-birit adalah masalah sistem pencernaan yang disebabkan oleh :

  • jangkitan kuman seperti virus,bakteria dan parasit
  • alahan makanan
  • ubat-ubatan
  • pengawet makanan
  • pemakanan kimia

Organisma yang boleh menyebabkan cirit-birit berlaku ialah melalui pemakanan makanan dan air yang tercemar. WHO pada 2009 telah mengisytiharkan cirit-birit adalah penyebab kematian kedua di kalangan kanak-kanak and penyebab kematian sebanyak 1.5 juta kanak-kanak di dunia.

Tanda-tanda

Bagaimana saya mengetahui yang saya mengalami cirit-­birit?

Cirit-birit didefinasikan sebagai najis yang lembut atau berair yang lebih kerap dan banyak daripada biasa. Ia akan diikuti dengan tanda-tanda lain seperti :

  • Sakit dan kekejangan perut
  • Loya dan muntah
  • Keletihan
  • Demam

Komplikasi

Adakah cirit­-birit berbahaya?

Cirit-birit yang teruk mengakibatkan dehidrasi (kekeringan akibat kehilangan air) dan sekiranya mengandungi darah ia dikenali sebagai disenteri. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kematian.

Rawatan

Apakah yang harus saya lakukan sekiranya saya mengalami cirit­-birit?

Kebanyakan kes cirit-­birit akan pulih dengan sendirinya tanpa rawatan. Untuk mencegah dehidrasi dan mengurangkan tanda-tanda cirit­-birit, lakukan seperti berikut :

  • Minum banyak air.
  • Tambahkan makanan separa pejal dan kurang serat dengan beransur-ansur
  • Elakkan produk tenusu, makanan berlemak, tinggi serat dan bahan makanan yang mempunyai bahan pengawet yang tinggi.
  • Elakkan kafein dan alkohol.

Jika cirit-birit berterusan sekurang-kurangnya seminggu atau jika anda mengalami dehidrasi atau najis yang mengandungi darah, sila berjumpa doktor.

Tanda-tanda dehidrasi adalah :

  • Haus yang berlebihan
  • Mulut dan kulit kering
  • Kurang atau tiada air kencing
  • Keletihan yang teruk
  • Pitam
  • Kulit menjadi gelap

Cirit-birit di kalangan kanak-kanak lebih mudah mengalami dehidrasi. Sila berjumpa doktor jika cirit-birit berterusan lebih dari 12 hingga 24 jam atau bayi anda mengalami :

  • Lampin kering dalam masa 3 jam atau lebih
  • Demam panas
  • Najis mengandungi darah atau berwarna hitam
  • Mulut kering atau menangis tanpa air mata
  • Kerap tidur, tidak aktif, mudah meradang
  • Perut, mata atau pipi yang cengkung
  • Kulit yang tidak tegang / kembali ke asal sekiranya di cubit.

Jika doktor mengesahkan cirit-birit disebabkan ubatan / pemakanan, anda perlu hentikannya.

Doktor akan memberikan antibiotik jika cirit-birit disebabkan parasit atau bakteria. Tetapi ia tidak berkesan dalam jangkitan virus .

Pencegahan

Apakah yang boleh saya lakukan untuk mencegah cirit-birit?

Berikut adalah cara-cara mencegah jangkitan cirit-birit:

  • Cuci tangan sebelum makan
  • Makan makanan semasa masih panas, yang disediakan dan dimasak dengan betul.
  • Elakkan daripada makan buah-buahan, sayur-sayuran yang belum dibasuh dan elakkan dari makan makanan tenusu atau daging mentah. Basuh sayuran dengan bersih atau makan buah-buahan yang telah di kupas .
  • Elakkan makan makanan yang anda alah dan ubatan yang menyebabkan cirit­birit.
  • Minum air dari bekalan air bersih, dibotolkan atau air yang telah dimasak. Elakkan minum minuman keras dan berkafein kerana cirit-­birit boleh bertambah teruk.
  • Pastikan anak anda berada dirumah semasa mengalami jangkitan cirit­-birit

Kumpulan sokongan

Hubungi klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Untuk dan layari laman web : http://www.who.int/topics/diarrhoea/en/

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Fuad Hashim
Penyemak : Dr. Sri Wahyu Taher