A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Cara Kematian Dalam Aspek...

Cara Kematian Dalam Aspek Forensik

Takrifan cara kematian adalah situasi yang menyebabkan suatu kematian itu berlaku. Ia adalah situasi atau keadaaan di mana berlangsungnya satu-satu proses fisiologi yang akhirnya menjurus kepada sesuatu kematian.

Dalam penyiasatan sesuatu kematian, sebab/punca kematian, mekanisma kematian dan cara kematian itu berlaku akan ditentukan dengan pemeriksaan bedah siasat. Hasil pemeriksaan bedah siasat mungkin boleh membantu dalam memberikan petunjuk tentang bagaimana dan kenapa seseorang itu meninggal dunia. Walau bagaimanapun, artikel ini hanya akan mengulas berkenaan cara kematian sahaja.

Bagi memahami dengan lebih mendalam berkenaan cara kematian, pemahaman berkenaan sebab/punca kematian dan mekanisma kematian perlu diketahui. Sebab kematian didefinisikan sebagai penyakit atau kecederaan yang memulakan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kematian manakala mekanisma kematian ditakrifkan sebagai keabnormalan fizikal yang dihasilkan oleh punca kematian yang tidak selari dengan kehidupan.

Kes senario berikut dapat menerangkan istilah punca/sebab kematian dan mekanisma kematian dengan lebih jelas.

Michael telah membakar rumah David. Pergaduhan berlaku dan David menikam dada Michael dengan sebilah pisau. Michael meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.’

Dalam kes senario ini, punca/sebab kematian Michael adalah luka tikaman pada bahagian dada dan mekanisma kematian yang terlibat ialah kehilangan darah yang banyak.

Cara kematian.

Takrifan cara kematian adalah situasi yang menyebabkan suatu kematian itu berlaku. Ia adalah situasi atau keadaaan di mana berlangsungnya satu-satu proses fisiologi yang akhirnya menjurus kepada sesuatu kematian.

Contohnya, jika seseorang itu mati disebabkan oleh penyakit semulajadi seperti penyakit kencing manis, cara kematian yang terlibat ialah ‘semulajadi’.

Walau bagaimanapun, jika proses fisiologi adalah berpunca daripada keadaan yang melibatkan kecederaan, cara kematian itu bukan lagi dikira sebagai semulajadi. Ia mungkin melibatkan kemalangan, bunuh diri atau dibunuh. Sebagai contoh, seorang pejalan kaki telah dilanggar oleh sebuah lori kerana pemandu lori tersebut ingin mengelak lubang di jalan. Ini kemudiannya menyebabkan lori tersebut secara tidak sengaja melanggar pejalan kaki tersebut. Dalam situasi ini, cara kematian adalah ‘kemalangan’. Tetapi sekiranya, pemandu lori sengaja melanggar pejalan kaki tersebut, di mana kemungkinan telah berlakunya satu pertelingkahan antara kedua-dua nya sebelum itu, cara kematian pejalan kaki tersebut adalah ‘homisid’. Pemandu tersebut berniat untuk mencederakan pejalan kaki tersebut dan menggunakan kenderaannya sebagai senjata.

Mengikut Guidelines for the Determination of Manner of Death by Illinois Coroners and Medical Examiners Association, cara kematian didefinisikan sebagai cara yang paling sesuai dikategorikan bagi kematian seseorang individu. Kategori-kategori ini telah dikenalpasti sejak beratus tahun dahulu dan kini diseragamkan kepada lima kategori utama iaitu Kematian Semulajadi, Kemalangan, Bunuh diri, Homisid dan Kematian yang tidak dapat dipastikan.

  1. Kematian Semulajadi

    Kematian secara semulajadi merupakan kematian yang paling kerap berlaku di Malaysia. Ia ditakrifkan sebagai kematian berpunca daripada gangguan atau kegagalan fungsi badan akibat usia atau penyakit. Contoh kematian semulajadi adalah serangan sakit jantung iskemia, kegagalan buah pinggang dan radang paru-paru.


    Kematian semulajadi : Hypertensive Cardiovascular Disease

  2. Kematian akibat kemalangan

    Kematian akibat kemalangan berpunca daripada kejadian yang tidak dirancang atau tanpa niat untuk menyebabkan kecederaan atau kematian. Contoh adalah seperti kemalangan jalan raya dan kemalangan industri.


    Kematian akibat kemalangan : Kematian jalan raya

  3. Homisid

    Homisid ditakrifkan sebagai perbuatan menyebabkan kehilangan nyawa orang lain. Kematian secara homisid selalunya melibatkan motif disebalik perbuatan membunuh tersebut. Dendam, iri hati, kemarahan dan niat untuk menutup jenayah lain dan sebagainya adalah antara motif-motif yang dikaitkan dengan homisid. Contoh sebab kematian dalam kategori homisid adalah luka tetakan di leher, tetakan berganda dan jerutan.


    Homisid : Pembunuhan

  4. Bunuh Diri

    Tindakan meragut nyawa sendiri adalah bunuh diri. Perbuatan membunuh diri termasuklah gantung diri, terjun bangunan dan makan racun. Tiga cara bunuh diri yang paling kerap di Malaysia adalah gantung diri, terjun dari bangunan tinggi dan pengambilan racun. Nota bunuh diri berkemungkinan dijumpai di mana si mati meninggalkan nota terakhir untuk ahli keluarga atau waris atau orang tersayang.


    Kematian bunuh diri : Keracunan karbon monoksida

  5. Kematian yang tidak dapat dipastikan

    Kematian yang tidak dapat dipastikan adalah satu cara kematian di mana sebab kematian tidak diketahui dan cara kematian tersebut tidak dapat dikategorikan langsung, samada secara semulajadi, kemalangan, bunuh diri atau pun homisid. Hasil pemeriksaan bedah siasat tidak dapat mencapai kesimpulan yang muktamad untuk mendapat sebab kematian. Pemeriksaan sampingan seperti ujian makmal juga tidak dapat membantu dalam mengenalpasti sebab-sebab kematian tersebut. Kes yang melibatkan mayat yang reput dan tulang-temulang dimana sebab kematian tidak dapat dipastikan antara contoh dalam kategori cara kematian ini.

    IMG_0733
    Kematian yang tidak dapat dipastikan : skeletal remains

Kepentingan Cara Kematian

Kenapa cara kematian perlu diketahui?

Apabila suatu kematian itu berlaku, impaknya bukan sahaja kepada si mati, tetapi juga melibatkan ahli keluarga, waris, suspek, pihak polis serta pihak mahkamah. Kepentingan cara kematian kepada pihak-pihak yang terlibat adalah seperti berikut :

  • Keluarga/waris

    Dalam kes jatuh dari tempat tinggi, terdapat tiga cara kematian yang mungkin terlibat iaitu bunuh diri, kemalangan atau homisid. Penyiasatan yang teliti dan komprehensif adalah penting untuk menetukan cara kematian tersebut. Kesedihan yang dirasai oleh ahli keluarga dan waris atas kematian orang tersayang dapat dikurangkan apabila pelbagai soalan berkaitan kematian tersebut terjawab. Sekiranya cara kematian tersebut adalah bunuh diri, penderitaan yang dialami oleh waris mungkin bertambah memandangkan kematian sebegini masih mempunyai stigma masyarakat dan ianya juga mungkin boleh menjejaskan tuntutan insurans

  • Suspek

    Mengenalpasti cara kematian juga penting dalam pertuduhan seseorang yang disyaki melakukan jenayah, samada untuk menahan atau melepaskan suspek tersebut. Pertuduhan seorang suspek di mana perbuatannya disyaki menyebabkan kematian seseorang, bergantung kepada samada ia adalah satu kemalangan atau homisid. Sebagai contoh, seorang rakan yang secara tidak sengaja tertembak rakannya mungkin dituduh sebagai membunuh tanpa niat dan bukannya membunuh dengan niat.

  • Pihak polis

    Bagi pihak polis, cara kematian akan menentukan siasatan lanjutan yang akan dijalankan dalam penyiasatan sesuatu kes. Penyiasatan kes bunuh adalah lebih mendalam berbanding penyiasatan kes kematian semulajadi.

  • Mahkamah undang-undang

    Seperti disebut di atas, pertuduhan kes jenayah adalah khusus untuk satu-satu cara kematian (kemalangan atau homisid). Sekiranya tertuduh didapati bersalah di akhir perbicaraan di mahkamah kelak, hukuman yang dijatuhkan adalah berdasarkan kepada pertuduhan tersebut.

  • Organisasi

    Bagi kematian yang berlaku dalam suasana tempat kerja atau industri, cara kematian boleh mendorong satu-satu organisasi untuk menjalankan siasatan, di mana sistem yang sedia ada dapat diperiksa dengan teliti sekiranya terdapat faktor-faktor yang menyumbangkan atau menyebabkan kematian itu, walaupun ia adalah satu kemalangan atau kematian semula jadi.

Kesimpulannya, penentuan cara kematian dalam penyiasatan kes kematian adalah sangat penting untuk membantu sistem perundangan dan untuk kebaikan pihak keluarga dan waris si mati. Ia merupakan sebahagian daripada proses melindungi hak-hak individu si mati dan menegakkan keadilan.

Rujukan

  1. Photographs courtesy of Department of Forensic Medicine, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
  2. Cox WA. Cause, mechanism, and manner of death. In: Forensic Medicine with Dr Cox.2009. forensicmd.wordpress.com
  3. Departments of Forensic Medicine and Psychiatry & Mental Health. National Suicide Registry Malaysia Preliminary report: July – December 2007. Kuala Lumpur: Suicide Registry Unit, Hospital Kuala Lumpur, 2008.
  4. DiMaio VJ, DiMaio D. Forensic pathology, 2nd ed. Boca Raton: CRC Press, 2001.
  5. Illinois Coroners and Medical Examiners Association. Guidelines for the Determination of Manner of Death. 2007.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Suhailey bt. Md Noor
Akreditor : Dr. Sri Marni bt. Zainal Abidin
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Mangsa Rogol dan Liwat

Kes rogol atau liwat bukanlah perkara asing kini, walaupun penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan. Namun masyarakat perlu mempunyai pengetahuan untuk bertindak sekiranya kes-kes ini berlaku kepada kita atau orang terdekat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,422,412

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia