A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Cap Jari Dalam Forensik

Cap Jari Dalam Forensik

Cap jari, istilah yang merujuk kepada corak permukaan kulit pada jari. Ia turut merangkumi corak pada tapak tangan.

Pengenalan Kepada Analisis Cap Jari

Cap jari, istilah yang merujuk kepada corak permukaan kulit pada jari. Ia turut merangkumi corak pada tapak tangan. Corak cap jari terbentuk daripada rabung (ridges) and lekuk (furrows) pada permukaan kulit. Ini termasuklah tapak dan jari kaki (Gurdoglanyan, 2001).

Corak permukaan ini mempunyai ciri-ciri yang unik. Ia terbentuk sebelum kelahiran dan kekal hingga seseorang itu mati dan mereput. Keunikan ini membolehkan cap jari digunakan sebagai kaedah pengecaman yang berkesan (Wertheim, 2011).

Pada abad ke-19, seorang saintis bernama Francis Galton telah menemui cap jari. Beliau telah menjalankan kajian yang mendalam dan mencipta sistem pengelasan cap jari. Sistem pengelasan tersebut dibuat berdasarkan corak rabung pada jari. Sistem tersebut dijadikan rujukan dalam analisis cap jari (Gurdoglanyan, 2001).

Corak-corak Cap Jari

Berdasarkan Sistem Pengelasan Galton, cap jari dibahagikan kepada tiga bentuk utama iaitu; 1) Gerbang (arches), 2) Membulat (loop) dan 3) Pusaran (whorls).

  1. Bentuk Gerbang – jenis cap jari ini dikenalpasti melalui corak laluan rabung yang bermula dari satu tempat dan berakhir di satu tempat lain pada permukaan jari.Bentuk cap jari ini boleh dikategorikan lagi kepada dua jenis iaitu Gerbang Biasa (plain arch) dan Gerbang Khemah (tented arch). Bentuk Gerbang Biasa merupakan bentuk cap jari yang paling mudah. Bentuk Gerbang Khemah hampir sama dengan bentuk gerbang biasa, namun terdapat sedikit perbezaan pada bentuknya seperti yang tertera pada rajah di bawah:
     
    Cap jari bentuk Gerbang: Kiri – Gerbang Biasa, Kanan – Gerbang Khemah
    (sumber: www.sciencespot.net/Media/FrnsScience/Fingerprintbasicscard)
  2. Bentuk Membulat (loop) – bentuk cap jari Membulat boleh dilihat melalui corak rabung yang bermula dari satu tempat dan berakhir di tempat yang sama pada permukaan jari (seperti dalam rajah). Bentuk membulat ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu jenis Membulat Ulnar (ibu jari kanan) dan jenis Membulat Radial (ibu jari kiri).
     
    Cap jari bentuk Membulat: Kiri – Membulat Radial, Kanan – Membulat Ulnar
    (sumber: www.sciencespot.net/Media/FrnsScience/Fingerprintbasicscard)
  3. Bentuk Pusaran – bentuk cap jari ini terjadi apabila corak rabung membentuk jaluran yang bertemu di bahagian tengah jari, seperti rajah di bawah:
    Cap jari bentuk Pusaran
    (sumber: www.sciencespot.net/Media/FrnsScience/Fingerprintbasicscard)

Aplikasi Cap Jari dalam Forensik

Dalam aplikasi forensik, cap jari digunakan sebagai kaedah untuk mengenal pasti seseorang kerana: 1) cap jari adalah unik dan 2) cap jari bersifat kekal

Sebagaimana yang telah dijelaskan, cap jari terhasil daripada rabung dan lekuk yang membentuk suatu corak yang unik. Dalam proses identifikasi, pakar analisis cap jari mengaplikasi ciri-ciri cap jari yang membentuk corak yang unik pada setiap individu. Antara ciri-ciri yang digunakan dalam proses identifikasi adalah corak di mana rabung dan lekuk bertemu atau berpisah antara satu dengan yang lain. Corak unik yang terbentuk ini menjadi asas kepada identifikasi individu melaui cap jari.

Persoalan – Bila dan bagaimanakah pakar cap jari memperolehi corak cap jari seseorang? Corak cap jari diklasifikasikan kepada 3 jenis; cap jari lama, cap jari nyata, dan cap jari acuan.

Cap jari lama merupakan jenis cap jari yang paling biasa dianalisa oleh pakar cap jari. Cap jari lama terbentuk melalui peluh pada tangan yang menyentuh permukaan sesuatu objek. Serbuk hitam atau kelabu merupakan kaedah biasa yang digunakan untuk memperolehi cap jari lama.


Alat yang digunakan untuk memperolehi cap jari lama

Kaedah lain yang biasa digunakan untuk mendapatkan cap jari lama adalah pengewapan ‘cyanoacrylate’ yang menggunakan sejenis bahan kimia yang dipanggil ‘ninhydrin’.


Teknik pengewapan ‘cyanoacrylate’

Aspek Perundangan

‘Tiada dua cap jari yang sama’. Itulah cadangan ‘Galton’ yang percaya bahawa cap jari bukan diwarisi, malah kembar seiras turut memiliki cap jari yang berbeza.

Dalam melaksanakan pendakwaan, identifikasi cap jari amat penting dalam mengenalpasti pembunuh, perompak, dan pesalah undang-undang. Cap jari membolehkan kes jenayah diselesaikan walaupun tiada bukti lain seperti senjata dan sebagainya.

Batas dan Isu

Analisis cap jari telah diterima pakai sebagai ‘gold standard’ dalam mengenalpasti seseorang individu. Di Malaysia, penggunaan analisis cap jari sebagai kaedah mengenalpasti seseorang individu mempunyai beberapa kekangan dan isu. Dalam artikel ini, dua isu utama akan dihuraikan iaitu kelayakan saksi pakar dan warga asing.

  1. Kelayakan saksi pakarSaksi yang telah dilantik untuk memberi keterangan cap jari di mahkamah haruslah diiktiraf kelayakannya sebagai pakar cap jari. Di Malaysia, bilangan saksi pakar dalam analisis cap jari adalah terhad dan hanya dilatih oleh Polis DiRaja Malaysia. Polis DiRaja Malaysia telah melancarkan sebuah pengkalan data cap jari yang dikenali sebagai ‘Malaysia Automated Fingerprint Identification System’ atau MAFIS. Pengkalan data ini menyimpan dan merekodkan cap jari semua warga Malaysia dan setiap individu yang mempunyai rekod jenayah.
  2. Warga AsingPencerobohan warga asing di Malaysia sering menjadi isu debat di kalangan rakyat dan pihak berkuasa serta pentadbir. Warga asing yang membanjiri negara ini merupakan penyumbang kepada kes-kes jenayah di Malaysia. Namun, kita tidak mempunyai pengkalan data untuk warga asing bagi mencari dan membuat perbandingan ke atas cap jari mereka sekiranya ditemui di tempat kejadian jenayah. Justeru, walaupun identifikasi cap jari merupakan kaedah yang berkesan untuk mengenalpasti individu, keberkesananya tidak akan tercapai tanpa pengkalan data yang komprehensif.

    Kesimpulannya, sistem identifikasi menggunakan cap jari merupakan kaedah yang sangat efektif dalam mengenalpasti individu. Namun, reputasi sistem ini sebagai ‘gold standard’ hanya akan kekal dengan adanya pakar yang diiktiraf.

Rujukan

  1. Andre A. Moenssens, S. B. M. (2011). Finger Prints and the Law: National Institute of Justice.
  2. Brian Yamashita, M. r. (2011). Latent Print Development: National Institute of Justice.
  3. Gurdoglanyan, D. (2001). Fingerprints used in Forensic Investigations, from http://www.bxscience.edu/publications/forensics/articles/fingerprinting/r-fing01.htm
  4. Wertheim, K. (2011). Embryology and Morphology of Friction Ridge Skin: National Institute of Justice.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Noor Asyikin bt. Suaidi
Akreditor : Dr. Shahidan b. Md Noor
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Diserang Lintah dan Pacat : Rawatan Awal

Lazimnya lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota tubuh kita akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya. Namun, keadaan yang lebih membimbangkan sekiranya lintah dan pacat memasuki rongga tubuh termasuklah melalui bahagian kemaluan serta dubur.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,220,980

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia