A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Cabutan Gigi Untuk Pendakap

Rawatan ortodontik untuk susunan gigi yang sesak biasanya melibatkan pemakaian pendakap dan sering termasuk cabutan gigi.

Pengenalan

Rawatan ortodontik untuk susunan gigi yang sesak biasanya melibatkan pemakaian pendakap dan sering termasuk cabutan gigi. Keputusan untuk mencabut gigi bagi pendakap adalah sukar dan menakutkan. Berikut adalah beberapa fakta untuk melegakan minda anda!

Kenapa gigi mesti dicabut untuk pendakap?

Cabutan gigi untuk pendakap biasanya diperlukan apabila ruang tidak mencukupi pada rahang. Kesesakan dan gigi berlapis terjadi apabila rahang terlalu kecil untuk kesemua gigi tersusun secara normal. Jadi, untuk menyusun semula gigi, pakar ortodontik mungkin perlu menyediakan ruang dengan mencabut berapa gigi agar gigi yang lainnya boleh disusun dengan teratur.
Secara amnya, apabila ruang yang diperlukan untuk menyusun gigi kurang daripada ruang yang telah sedia ada, samada saiz rahang mesti diperbesarkan ataupun bilangan (atau saiz) gigi dikurangkan. Kesesakan gigi tahap sedikit atau sederhana biasanya diperbaiki dengan pengembangan rahang. Walaubagaimanapun, jumlah pengembangan dihadkan oleh struktur tulang, penampilan muka, atau tisu sokongan (gusi). Jika pesakit menghadapi kesesakan gigi tahap sederhana atau teruk, gigi kekal mungkin perlu dicabut untuk menyediakan ruang.
Sebab lain gigi perlu dicabut ialah protrusi (gigi jongang). Sekiranya gigi hadapan jongang, cabutan gigi pada setiap sisi membolehkan pakar ortodontik menggerakkan gigi kebelakang untuk memulihkan posisi bibir.

Bila saya perlu mencabut gigi saya?

Anda boleh mula mencabut gigi anda selepas berbincang dan telah pasti dengan rancangan rawatan oleh pakar ortodontik anda. Biasanya surat rujukan akan diberikan yang menyatakan gigi yang mana dan berapa bilangan gigi perlu dicabut.
Untuk mengurangkan trauma, anda boleh mencabut sebatang gigi untuk satu minggu. Kemungkinan beberapa minggu diperlukan untuk melengkapkan prosedur, bergantung kepada bilangan gigi yang perlu dicabut. Selepas cabutan gigi, pemasangan pendakap bolehlah diatur.

Gigi yang mana perlu dicabut?

Gigi yang biasanya dicabut untuk pendakap adalah gigi geraham kecil (premolar). Gigi ini adalah gigi yang terletak ditengah-tengah diantara gigi taring(kanin) dan gigi molar (gigi yang terbesar dibelakang). Dalam sesetengah kes, gigi dengan tampalan yang besar, terimpak atau yang telah  rosak akan menjadi pilihan untuk dicabut.
Tetapi ingat, setiap pesakit mempunyai perancangan cabutan gigi yang berbeza!

Adakah ruang cabutan akan ditutup?

Ya. Ruang cabutan biasanya akan ditutup dengan kaedah khas (getah berantai) yang merapatkan gigi-gigi ini sepanjang rawatan pendakap. Biasanya gigi bergerak sebanyak satu milimeter setiap bulan. Tempoh masa yang diperlukan untuk menutup ruang bergantung kepada kes individu. Ianya mungkin mengambil masa beberapa bulan sehingga ke beberapa tahun.

Bolehkah saya memakai pendakap tanpa mencabut gigi?

Dalam sesetengah kes, ada kemungkinan gigi boleh disusun dalam rahang tanpa perlu mencabut gigi. Jika ruang yang diperlukan untuk memperbetulkan susunan gigi anda adalah sedikit, pakar ortodontik boleh mendapatkan ruang yang diperlukan dengan mengubah saiz gigi, mencondongkan gigi kacip (gigi yang dihadapan) dan mengembangkan rahang. Walau bagaimanapun ada had untuk kesemua cara ini.
Selepas cabutan1
Selepas rawatan pendakap1
Selepas cabutan2
Selepas rawatan pendakap2
Selepas cabutan
Selepas rawatan pendakap

Penutup

Terdapat banyak sebab kenapa pakar ortodontik anda mungkin mencadangkan cabutan gigi sebagai sebahagian daripada rawatan pendakap anda. Seperti biasa, anda (dan ibubapa) mesti terlibat didalam peringkat perancangan oleh kerana ini adalah masa terbaik untuk berbincang mengenai rancangan dan sasaran rawatan dengan pakar ortodontik anda. Pesakit yang berpengetahuan adalah pesakit yang terbaik!

Rujukan

1.  British Orthodontic Society Patient Information Leaflet.
2. Rinchuse DJ, Busch LS, DiBagno D, Cozzani M. Extraction treatment, Part 2: Guidelines for making the extraction decision. J Clin Orthod 2015; 49: 29-34.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Soon Hooi Im
Penterjemah   Dr. Noorhanizar bt. Mansor
Akreditor : Dr. Lillybia Emily Ebin
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,269,665

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia